PEMUDA PAS : DAKWAAN BEKAS TENTERA IKHLAS TANPA PAKSAAN

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Dewan Pemuda PAS pusat menegaskan tidak pernah mempergunakan bekas anggota tentera untuk mendedahkan mengenai kepincangan undi pos yang dinafikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin semalam.

Sebaliknya Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS pusat, Mohd Adram Musa berkata, keempat-empat bekas anggota tentera yang mendedahkan perkara itu tidak pernah dipaksa.

“Saya merasa terkejut dengan kenyataan Penglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang telah menyalahkan Pemuda PAS kerana membuat sidang media berhubung dengan pendedahan empat orang bekas anggota tentera berkenaan undi pos.

“Kesemua bekas anggota tentera ini hanya menerangkan pengalaman berhubung dengan undi pos, tapi Tan Sri Zulkifeli juga telah menuduh Pemuda PAS mengambil kesempatan terhadap bekas anggota tentera tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, mustahil bagi pihaknya untuk mempergunakan bekas anggota tentera demi kepentingan politik.

Tambah Mohd Adram, tindakan Zulkifeli mengeluarkan kenyataan sedemikian menghina keempat-empat bekas anggota tentera itu.

“Saya ingin mempertegaskan bahawa Pemuda PAS tidak pernah mempergunakan mereka untuk membuat pendedahan. Mereka datang dengan penuh sedar, insaf dan sukarela.

“Mustahil bagi Pemuda PAS mampu mempergunakan bekas anggota tentera yang telah terdidik dengan disiplin dan jadi diri yang tinggi semasa dalam latihan dan perkhidmatan. Secara tidak langsung, Panglima Angkatan Tentera telah menghina ke atas empat anggota tentera tersebut,” katanya.

Kelmarin empat bekas anggota tentera membuat pengakuan bahawa mereka pernah mengundi bagi pihak anggota lain atas arahan pegawai atasan.

Pada satu sidang media di ibu pejabat PAS, kesemua mereka mengaku telah diarah mengundi bagi pihak anggota lain dan juga isteri anggota tentera.

Menurut Mohd Adram, pihaknya yakin lebih ramai bekas anggota tentera akan tampil membuat pendedahan berhubung manipulasi undi pos.

“Sepatutnya selepas mendapat maklumat berkenaan manipulasi undi pos, Panglima Angkatan Tentara perlu mendapatkan maklumat secara langsung daripada ke empat-empat bekas anggota tertera terbabit.

“Kemudian tubuh satu badan penyiasat dan kemukakan satu cadangan kepada pihak kerajaan. Menyalahkan Pemuda PAS dalam hal undi pos adalah tindakan yang tidak cermat,” katanya.


Ulasan

Catatan Popular