Laksanakan Amanah H30K
 “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa  apabila dikatakan kepada kamu, berangkatlah ke jalan Allah, kamu merasa berat  dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyayangi kehidupan dunia  daripada kehidupan akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan)  dengan akhirat hanyalah sedikit”Surah At-Taubah : 38 
 Para Pemuda Ansoorullah  sekelian
 1. Saya percaya kita mampu dan utuh berdepan  dengan cabaran musuh yang sentiasa menunggu peluang untuk menyerang. Namun, saya  khuatir dan takut jika kita sebagai pejuang Pemuda PAS ditundukkan dengan godaan  syahwat yang sentiasa merayu untuk dituruti meskipun ia adalah sekecil-kecil  jihad di sisi Allah. Akhirnya, ia menyebabkan kita longlai, berjiwa tua, malas  dan tidak merasai kemanisan berkorban dalam perjuangan.
 2. Saff pejuang yang hadir dalam Himpunan 30  Ribu Pemuda PAS di Kedah pada hari ini sewajarnya dikalungkan dengan jutaan  terima kasih dan tahniah kerana sanggup menyahut seruan jihad meskipun berdepan  dengan pelbagai cabaran. Tanamkanlah sepenuh keikhlasan semoga Allah SWT  memberikan ganjaran yang setimpal atas pengorbanan kecil yang telah kita  dilakukan.
 “Beberapa darjat daripadaNya,  keampunan serta rahmah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”  –
 Surah An-Nisa’ : 96
 3. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk  menyampaikan setinggi penghargaan kepada seluruh jentera PAS Negeri serta  pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Kedah, terutamanya kabinet kerajaan  yang dipimpin oleh Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Al-Fadhil Dato’ Seri Ustaz  Azizan Abd Razak. Tidak dilupakan juga kepada saf seperjuangan Dewan Pemuda PAS  Negeri Kedah yang diketuai oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Yahya atas komitmen dan  pengorbanan untuk merealisasikan himpunan yang bersejarah ini.
 4. Meskipun pusat pentadbirannya jauh di Utara  Semenanjung, namun maslahah dan kebaikan yang dilakukan oleh pihak kerajaan  negeri tetap dirasai oleh seluruh rakyat di negara ini. Pendekatan politik  muafakat, berkebajikan, berhikmah, bingkas, berwawasan, mengutamakan rakyat dan  diam-diam berisi adalah antara wajah politik yang digambarkan dalam kepimpinan  Ustaz Azizan.
 5. InsyaAllah, kita berharap agar kepimpinan  seorang alim yang dibantu oleh sekumpulan pakar profesional dalam bidang  masing-masing ini mampu untuk terus mengembangkan dan menampilkan keadilan Islam  disegenap jiwa rakyat. 
 6. Tatkala demografi sosio-politik nasional  pada hari ini menggusarkan kita, Pemuda PAS harus tangkas meluruskan krisis  keyakinan rakyat terhadap Islam. Apabila ruang demokrasi itu dibuka  seluas-luasnya, maka inilah peluang yang terbaik untuk kita terus melebarkan  agenda politik PAS kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik yang  dianuti.
 7. Tarbiyah, siyasah dan dakwah adalah nadi  gerakan. Pemuda PAS sebagai tiang seri perjuangan akan sentiasa melazimi  perkara ini tanpa jemu dan henti. Malah, kita merasa bangga kerana ia  merupakan budaya kerja para rasul yang diutuskan Allah sepertimana firmanNya  yang bermaksud,
 “Dan serulah (wahai Muhammad) umat  manusia kepada Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada pada jalan yang lurus”  –
 Surah Al-Haj : 67
 8. bMenurut Imam An-Nawawi, “Tanggungjawab  melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar tidak akan gugur daripada seorang  mukallaf walaupun pada pandangannya ia tidak membawa faedah. Malah ia tetap  wajib dilaksanakan kerana memberi peringatan itu memberi faedah kepada  orang-orang yang beriman. Tanggungjawabnya ialah menyuruh dan melarang dan  bukannya memastikan manusia menerimanya” 
 Oleh yang demikian, Pemuda PAS akan memastikan  risalah kebenaran ini disampaikan. Kita tegar berjuang untuk memastikan  bahawa Syari’at Allah SWT itu mesti didaulatkan.
 9. Matlamat perjuangan yang jelas mestilah  disusuli dengan pendekatan yang betul. Ketaqwaan, penyerahan tekad yang total  kepada Allah, ikhlas, tidak riya’, tidak mengejar pangkat dan nama, tidak  mencari keredhaan manusia sehingga sanggup menggadaikan prinsip adalah antara  pendekatan yang mesti diiltizamkan. Marilah kita bersama-sama merenung firman  Allah SWT yang mengisahkan keadaan Nabi Nuh A.S terhadap umatnya  (bermaksud);
 “Sekiranya kamu membelakangkan  peringatanku, maka tidak menjadi hal kepadaku kerana aku tidak meminta sebarang  balasan daripada kamu, balasanku hanyalah dari Allah, dan aku diperintahkan  menjadi orang-orang yang menyerahkan diri kepada Allah” –
 Surah Yunus : 72 
 10. Kejatuhan regim pemerintahan zalim di  Tunisia dan Mesir baru-baru ini dan kini kebangkitan ummah merebak ke Yemen dan  Algeria, telah memetakan satu lagi sejarah kemenangan revolusi di tangan rakyat.  Kita juga tidak pernah lupa bagaimana Shah Mohammed Reza Pahlawi, Ferdinand  Marcos, Boris Yeltsin, Suharto dan ramai lagi pemimpin negara rebah digulingkan  oleh kebangkitan rakyat.
 Mengapakah perkara ini boleh berlaku?  
 11. Di Iran, meskipun rakyat berdepan dengan  gerombolan-gerombolan tentera antara yang terhebat di dunia, namun disebabkan  oleh kesempitan hidup, lonjakan inflasi, amalan sekularisme, rasuah dan dalang  perisikan tajaan Amerika (SAVAK), akhirnya rakyat menolak pemerintahan  diktator.
 12. Rakyat Iran terpaksa membayar harga  revolusi itu dengan selaut pengorbanan termasuklah para mahasiswa, anak muda dan  tokoh disegani, Ali Shari’ati dibunuh dengan penuh kontroversi. Meskipun  terpaksa melalui dua fasa getir revolusi, akhirnya panji kezaliman berjaya  ditumbangkan pada tahun 1979.
 13. The 1986 People Power Revolution  di Filipina juga mencatat sejarah revolusi yang getir. Pembunuhan misteri  pemimpin pembangkang, Benigno Aquino menjadi kemuncak pemusatan kuasa rakyat  untuk meniarapkan Marcos.
 14. Selain itu, ironisnya, Emelda Marcos  (isteri Ferdinand Marcos) menjadi salah satu punca kejatuhan regim tersebut  kerana dia sibuk mencampuri urusan kerajaan, berbelanja terlalu boros dan  memegang beberapa jawatan dalam kerajaan termasuklah menjadi seorang ahli  Parlimen. 
 15. Negara jiran kita, Indonesia juga pernah  mengharungi nasib yang sama. Tahun 1998 telah bergoncanglah ibu kota Jakarta  dengan rantaian beberapa siri reformasi yang digerakkan oleh saff mahasiswa,  anak muda dan golongan marhaen iaitu Tragedi Trisakti, Tragedi Semanggi 1 dan  Tragedi Semanggi 2.
 16. Apabila Krisis Kewangan Asia 1997 mendekam  Indonesia, rakyat melarat kepayahan. Rupiah Indonesia menjunam teruk, hutang  negara melambung tinggi, kronisme dan kapitalis bertempiaran sehingga rakyat  berani turun ke jalan raya menghentam Suharto dan menolak Orde Baru. Akhirnya,  regim Suharto juga tersungkur!
 17. Semangat revolusi rakyat Indonesia masih  lagi dapat dirasai sehingga ke hari ini. Dendangan sajak reformasi yang  dideklamasikan oleh WS Rendra, seorang penyajak utama Indonesia yang diberikan  jolokan Burung Merak dan terkenal dengan drama Kasidah Berzanji masih lagi  menjadi siulan mereka, 
 “Saudara-saudara sebangsa dan setanah  air,
 Saat ini kita masih terperangkap dalam  lingkaran setan, 
 Kemiskinan, ketidak pedulian,  korupsi
 Kerja asal-asalan, 
 Ayuh, kita tidak mahu lagi dijajah oleh  kemiskinan dan kesusahan, 
 Kini saatnya Revolusi Kebangsaan”  
 18. Revolusi, reformasi dan perubahan  adalah satu sunnatullah. Tidak ada satu kerajaan zalim pun dalam dunia ini yang  akan memerintah untuk selama-lamanya. Gahnya tirani Fir’aun tenggelam  jua. Teguhnya Konstantinopel ditembusi jua oleh Sultan Mahmud Al-Fateh.  Benarlah firman Allah SWT,
 “Katakanlah (wahai Muhammad),  ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Kau berikan kerajaan kepada orang yang  Engkau kehendaki, dan Kau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki.  Kau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Kau hinakan orang yang Engkau  kehendaki. DitanganMu segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa atas  tiap-tiap sesuatu” 
 – Surah Ali-‘Imran : 26  
 19. Kita mesti meyakini bahawa masa depan dunia  adalah di tangan Islam. Agama yang paling tinggi martabatnya adalah Islam.  Inilah yang diungkapkan oleh Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya  ‘Al-Mubasyyiraat bi Intisaaril Islam’. Antara sunnah Ilahi itu ialah  Sunnah Al-Mudawalah (Sunnah Pertukaran Kuasa). Beliau  mengistinbathkan dalam satu ayat yang diturunkan selepas Peperangan Uhud.
 “Jika kamu (dalam Peperangan Uhud)  mendapat luka maka sesungguhnya kaum (musyrik) itu juga telah mendapat luka yang  sama (dalam Peperangan Badar). Dan demikianlah hari-hari Kami tukar gantikan  antara manusia” 
 – Surah Ali-‘Imran : 140
 Manakala, dalam satu ayat yang lain pula, Allah  SWT berfirman (bermaksud),
 “Dan demi sesungguhnya, Kami telah  menulis dalam Kitab Zabur (semua kitab yang Allah turunkan kepada nabi-nabinya)  selepas tertulis di Az-Zikr (Luh Mahfuz), bahawa bumi ini akan diwarisi oleh  hamba-hambaKu yang soleh”
 – Surah Al-Anbiya’ : 105
 20. Inilah motivasi (taghrib ‘aqidah) yang kita  imani sehingga kita tidak gentar dan terus istiqamah dalam jalan dakwah ini.  Benar, jalannya payah, jerih, jauh dan berliku. Namun, Pemuda PAS tidak akan  sekali-kali berundur daripada jalan yang dipilih ini, insyaAllah.
 Ayuh, saya ungkapkan kata-kata keramat  Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi,
 “Sekiranya kurun ke-19 adalah kurun untuk  Kristian, kurun ke-20 adalah kurun untuk Yahudi dan terbinanya negara haram  Israel serta penjajahan mereka ke atas lebih 20 buah negara Arab, maka kurun  ke-21 adalah kurun untuk Islam!” 
 Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS di Kedah pada hari  ini adalah manifestasi kepada dua perkara, iaitu;
 a) Misi “PAS Ganti  UMNO”
 b) Misi persiapan  pusingan terakhir Pemuda PAS berdepan dengan Pilihanraya Umum  Ke-13
 21. Hari ini, rakyat ditakut-takutkan dengan  kehilangan kuasa politik Melayu. UMNO mengancam orang Melayu dengan gambaran  sekiranya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, hak keistimewaan Melayu dibuang,  maruah orang Melayu diperlekehkan, Islam digugat, raja-raja Melayu dihina dan  tanah-tanah Melayu digadai kepada bangsa lain. Ini semua adalah KHURAFAT UMNO  dan BARISAN NASIONAL!
 22. Tidak cukupkah segala bukti ini menunjukkan  bahawa UMNO telah mencabul bangsanya sendiri. Kini, sudah tidak ada apa-apa lagi  sumbangan yang boleh dibangga-banggakan oleh UMNO kepada orang Melayu melainkan  mereka hanya cuba untuk membaiki labu yang telah rosak. Untuk mereka :  Enough is enough!
 Amanah Perjuangan dari Dewan Pemuda PAS  Malaysia
 23. Melihat kepada situasi ini, saya ingin  melontarkan beberapa tindakan penting untuk Pemuda PAS berikan perhatian yang  sepenuhnya.
 a. Hubungan dengan Allah SWT mestilah semakin  intim dan manis. Kemenangan Islam yang kita dambakan hanya akan tiba setelah  kita benar-benar meletakkan kecintaan kepada Allah dan Rasul sepenuhnya. Marilah  kita sama-sama terus melazimi solat berjemaah, bertahajjud dan solat hajat.  Mudah-mudahan kekuatan ini mampu meneguhkan derap perjalanan kita di medan  perjuangan ini.
 b. Rapatkan saff dan ikatkanlah ukhuwwah antara  kita sekuat-kuatnya. Jangan biarkan jarum halus fitnah, berburuk sangka, dengki  dan dendam menyuntik dalam hubungan kita ini. Saya bimbang terutamanya menjelang  musim permilihan parti menjadi gelanggang untuk melonggarkan ribath tentera  Pemuda dan akhirnya lemah sehingga mudah dilapah musuh.
 c. Pastikan semua gerak kerja pemuda  diperingkat kawasan dan cawangan terus fokus kepada sasaran pengundi boleh  menang. Markaz operasi pilihanraya Pemuda PAS mestilah dibuka sekurang-kurangnya  20 jam sehari dengan hasil-hasil kerja yang memberansangkan. 
 24. saudara sekelian .... Sesungguhnya  kemenangan yang kita impi-impikan umpama detik kedatangan Rasulullah SAW dan  para sahabat baginda meninggalkan Marru Dzahran menuju Ummul Qura’ (Makkah) pada  17 Ramadhan tahun kelapan hijrah.
 25. Piagam kemenangan kita adalah :
 - keadilan yang digariskan oleh Islam,
 - membimbing dan menyelamat rakyat,
 - berkasih sayang,
 - tidak berdendam,
 - keamanan dan
 - mengangkat kemerdekaan yang sebenar.
 
Hari ini kita bersaksi bahawa Pemuda  PAS akan bersedia menjadi teras kemenangan yang dinanti-nantikan.
 Takbir! ALLAHU AKBAR!
Nasrudin Hassan at Tantawi
Nasrudin Hassan at Tantawi


Ulasan
Catat Ulasan