KEPUTUSAN SAMAN PETRONAS HARI INI

Keputusan untuk menyaman Petronas berhubung tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan akan diketahui hari ini selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri membuat keputusan.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata peguam yang dilantik mengenai urusan itu terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dalam mesyuarat tersebut.
“Jika semua berjalan lancar fail saman itu akan didaftarkan di Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini iaitu sehari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan.
“Perbincangan esok bagi membolehkan pihak peguam membuat penjelasan dan berbincang mengenai draf writ saman yang akan dikemukakan nanti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac lalu sebulat suara meluluskan usul untuk memberikan mandat kepada kerajaan negeri untuk mengambil sebarang tindakan termasuk tindakan mahkamah bagi menuntut royalti minyak seperti mana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975.
Kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf penyaluran wang ihsan menggantikan royalti minyak oleh kerajaan pusat, dan telah menuntut lebih RM1 bilion royalti tersebut berikutan hasil minyak yang dikatakan dikeluarkan dari kawasan perairan negeri ini sejak beberapa tahun lalu.
Tuntutan itu dibuat sebelum pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Julai tahun lalu berdasarkan kepada perjanjian melalui Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974.

Kerajaan Pusat bagaimanapun hanya bersetuju memberikan wang ihsan sebanyak RM25 juta yang telah diberikan kepada rakyat Kelantan pada Mei lalu.
Mengulas perkara itu lagi Husam berkata mantan Pengerusi Petronas yang juga Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan persetujuan untuk memberikan afidavit bertulis dalam kes saman itu nanti.
“Apa pun pintu rundingan masih terbuka antara kerajaan Kelantan dan Pusat dan terpulanglah bagaimana kaedah untuk menyelesaikannya,” katanya. — Bernama

Ulasan

Catatan Popular