FACEBOOK BELA PENGETUA SITI INSHAH

Walaupun dikritik hebat kerana mengeluarkan kenyataan berunsur rasis dengan didakwa menghina pelajar bukan Melayu, laman web sosial Facebook dengan nama “Sokong Cikgu Puan Hajah Siti Mangsa Politik” membela Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra Kulai Jaya, Johor.
Laman Facebook tersebut yang dibentuk Sabtu lalu setakat pagi tadi menarik lebih 1,300 peminat yang memberikan sokongan kepada pengetua itu Siti Inshah Mansor.
Salah seorang penyokong laman Facebook itu, Suzairi Latip berkata apabila orang Melayu bercakap tentang keadilan dikatakan rasis, tetapi orang bukan Melayu yang secara terang menghina orang Melayu dikatakan kebebasan bersuara.
“Itu tidak adil, jadi selagi ada kuasa yang ciput (sikit) ini ada lagi kita (orang Melayu) mesti bertindak. Bangun bangsa Melayu, ingatkan dan sedarkan bangsa sendiri siapa kita sebenarnya.
Awal minggu lalu, Siti Inshah didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai oleh pelajar India seperti rantai anjing adalah amat menjijikkan.
Siti Inshah diarah untuk mengambil cuti oleh Jabatan Pendidikan Negeri berikutan terdapat kira-kira 20 laporan polis telah dibuat pelajar yang menuduhnya membuat kenyataan menghina pelajar Cina dan India.
Pelajar-pelajar tersebut mendakwa Siti Inshah Mansor menggelarkan mereka sebagai “penumpang” dan menyamakan pelajar India yang memakai tali keagamaan sama seperti anjing.
Namun Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata ia hanya salah faham dan sudah diselesaikan.
Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengarahkan Alimuddin menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Muhyiddin berkata tindakan disiplin ke atas pengetua berkenaan akan diputuskan selepas laporan lengkap diterima.

Ulasan

Catatan Popular