KHABAR ANGIN : PKR KENA AMBIL PEDULI

Desas-desus baru ini mendakwa empat ADUN iaitu Haniza Mohd Talha dari kawasan Taman Medan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Suhaimi Shafie (Sri Muda) sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR.


Khabar angin mendakwa keempat-empat mereka akan keluar PKR sebagai tanda protes pucuk kepimpinan memutuskan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

Khabar angin ini mula tersebar sejak pagi tadi.

SMS itu berbunyi “empat ADUN PKR Selangor dikhabarkan akan meletak jawatan kerana tidak bersetuju Khalid kekal sebagai MB.”

Nik Nazmi merupakan bekas setiausaha politik Khalid. Beliau digantikan oleh setiausaha politik Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa bulan depan.

Amirudin memberitahu yang, beliau dan rakan-rakannya menghormati keputusan pucuk kepimpinan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

“Tidak, tidak... sebelum saudara tanya saya jawab soal dulu, tidak. Setakat ini tiada apa-apa, kami kekal dengan PKR,” kata Amirudin sebaik sahaja dihubungi The Malaysian Insider.

Menerusi ruangan twitter, Nik Nazmi berkata: “saya baru terima panggilan daripada pemberita, bertanya sama ada saya salah seorang daripada empat ADUN berkenaan yang mahu meletakkan jawatan.”

Dalam pada itu, Suhaimi juga melahirkan pandangan yang sama dengan berkata tidak tahu-menahu apa-apa cerita sebenar.

Khalid dan Azmin menjadi tumpuan selepas timbulnya desas-desus mengatakan wujud gerakan daripada sekumpulan puak di dalam PKR Selangor yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan menteri besar.

Kumpulan itu juga dikatakan mahu mendesak Khalid agar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Ulasan

Catatan Popular