PATUT LE EZAM LAGU TUE....

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menyifatkan Senator Mohamad Ezam Mohd Noor, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai orang yang “tidak lengkap tarbiyah.”


Ahli Parlimen Gombak ini melabelkan Ezam “tidak habis menjalani tarbiyah” dengan merujuk kepada tempoh menjadi setiausaha politik kepada Anwar, ketika itu memegang jawatan menteri kewangan, cuma dua tahun.

Itu sebabnya beliau tidak mempunyai idealisme yang kuat bagi mempertahankan PKR, kata Azmin.

Ezam baru sebulan dilantik oleh Umno-BN sebagai anggota Dewan Negara.

Beliau menyertai Umno pada 2008, dua tahun selepas meninggalkan PKR.

Azmin berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Kongres Nasional Keenam PKR di sini petang ini.

Dalam ucapannya Azmin tidak menyebut nama Ezam secara langsung, yang merupakan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan.

Sebaliknya beliau menyentuh isu lompat parti yang ditimbulkan oleh perwakilan dalam sesi perbahasan.

Azmin mendakwa, Anwar ketika memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pernah ditawarkan ganjaran sebagai balasan tidak menekankan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam jawatan kerajaan dan parti.

Ketika itu Anwar juga merupakan timbalan presiden Umno.

“Jangan dengar senator yang melacurkan dirinya, saya tahu sebagai setiausaha sulit dia (Anwar) ketika itu, hampir setiap perkara, (bekas menteri kewangan) Datuk (kini Tun) Daim Zainuddin akan menghubungi saya untuk menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama dengan (Allahyarham) Peguam Negara Datuk Mohtar Abdullah untuk membincangkan strategi Dr Mahathir untuk ketepikan jawatan kerajaan dan parti, tetapi memberikan imbuhan dan pulangan yang cukup besar asalkan tidak sentuh Dr Mahathir dalam jawatan parti dan kerajaan.

“Tetapi insan yang bernama Anwar bin Ibrahim menolak semua sogokan Dr Mahathir untuk mempertahankan rakyat dan prinsip,” kata Azmin dengan berkata, “siapa pelacur senator ini? saya tak sebut.”

Bagaimanapun kedengaran perwakilan menyahut dengan berkata, “Ezam.”

Beliau seterusnya berkata, “baru berkhidmat tidak lebih dua tahun, tetapi mengaku dia adalah anak didik Anwar Ibrahim,” katanya.

“Proses tarbiyah (pun) tak habis... yang paling lama (berkhidmat) ialah Khalid Jaafar, yang berkhidmat selama 13 tahun, Dr Mansor Othman (kini Timbalan Ketua Menteri I), dan sudah tentulah (saya) dari Gombak,” kata Azmin yang juga bekas setiausaha politik Anwar.

Azmin menambah, ini menunjukkan beliau, Khalid dan Mansor telah melalui proses tarbiyah yang sempurna dan lengkap serta tidak kehilangan idelisme perjuangan.

Ulasan

Catatan Popular