ASAL PEMBANGKANG JE...USUL UNDI TAK PERCAYA

Selepas gagal memaksa Abhisit Vejjajiva meletak jawatan menerusi bantahan jalanan dan keganasan oleh penunjuk perasaan antikerajaan, pembangkang hari ini membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Thailand itu.


Ketua Whip Pembangkang Wittaya Buranasiri mengemukakan usul itu kepada Presiden Parlimen Chai Chidchob.

Usul undi tidak percaya yang serupa dan ditandatangani oleh 184 Anggota Parlimen pembangkang daripada parti Pheu Thai juga dikemukakan oleh mereka terhadap Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan, Suthep Thausuban dan empat menteri lain.

Menteri-menteri itu ialah Korn Chatikavanij (Kewangan), Chavarat Chanweerakul (Dalam Negeri), Kasit Piromya (Luar Negeri) dan Sopon Sarum (Pengangkutan).

Chai berkata beliau akan meneliti butiran usul itu dalam masa tujuh hari sebelum meminta kerajaan memberi jawapan dan Parlimen menetapkan tarikh untuk perbahasan.

Bantahan itu berlarutan selama 10 minggu sejak 12 Mac dan berakhir pada 19 Mei dengan 85 kematian dan lebih 1,400 cedera, disifatkan sebagai keganasan paling buruk dalam sejarah moden Thai.

Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi, Trairong Suwannakhiri hari ini berkata keganasan politik mengakibatkan ekonomi Thai mengalami kerugian kira-kira 150 bilion Baht.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara mungkin berkurangan antara 1 dan 1.5 peratus tahun ini ekoran pergolakan politik baru-baru ini.

Ia turut menjejaskan pelancongan sebanyak 10 peratus, pelaburan tiga peratus dan kepenggunaan tiga peratus.

Kerajaan hari ini mengumumkan pertumbuhan 12 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku pertama tahun ini berikutan asas ekonomi Thailand yang kukuh.

Bagaimanapun, Trairong memberi ingatan bahawa pergolakan politik baru-baru ini dapat menjejaskan pencapaian ekonomi negara pada suku keempat tahun ini.

Ulasan

Catatan Popular