Kenyataan Media DPPP : Kes Tembak Remaja

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
KES TEMBAK MATI REMAJA: PDRM DIMINTA BERI PENJELASAN
(27 April 2010)
Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) berasa kesal dengan tindakan seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menembak mati seorang remaja yang berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dalam satu kejadian yang berlaku di Seksyen 11, Shah Alam Selangor awal pagi kelmarin yang mana kejadian ini dapat dielakkan sekiranya pihak polis lebih berhati-hati dan profesional dalam menjalankan tugas
Remaja malang tersebut yang juga merupakan pelajar Sek.Men Seksyen 9, Shah Alam dikatakan cuba melarikan diri daripada sekatan polis menyebabkan polis melepaskan tembakan dari belakang dikepala yang mengakibatkan suspek mati serta merta ditempat kejadian.
Persoalannya, relevenkah tindakan pihak polis terhadap mangsa yang hanya berusia 15 tahun dan tidak bersenjata itu? Mengapakah pihak polis tidak memastikan dengan lebih teliti terlebih dahulu sebelum mengambil sesuatu tindakan yang drastik seperti ini? Bukankah pihak polis telah dilatih untuk menghadapi situasi seperti ini? Adakah ini sebagai jalan mudah pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab? Mengapa pihak polis didakwa cuba mengelak untuk memberitahu keadaan sebenar apabila ditanya oleh abang mangsa? Bagaimana dengan dakwaan bahawa rakan suspek yang menyerah diri telah dipijak dan dibelasah beramai-ramai oleh pihak polis?
Semua persoalan ini harus dijawab oleh PDRM secepat mungkin. DPPP mengesa agar siasatan secara terperinci dan telus dijalankan. Jangan hanya cepat bertindak sekiranya melibatkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedangkan jika melibatkan orang awam, banyak birokrasi yang berlaku. DPPP dengan ini mendesak agar pihak PDRM memberikan penjelasan berhubung insiden ini dan meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia umumnya dan keluarga mangsa khasnya jika didapati pihak polis cuai dalam menjalankan tugas dan tindakan tegas harus diambil. Dan semasa siasatan berlangsung, pegawai tersebut hendaklah digantung dari tugas tanpa gaji dan bukannya sekadar memindahkan pegawai tersebut ke lokasi lain
Disediakan oleh
HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Ulasan

Catatan Popular