Permohonan Anwar untuk hakim tarik diri ditolak

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beliau menarik diri daripada terus mendengar kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu.

Hakim Mohamad Zabidin berkata, beliau tidak nampak sebarang sebab kenapa beliau perlu menarik diri daripada mendengar kes itu.

"Saya tidak mahu lari daripada tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sebagai seorang hakim," katanya.

Mohamad Zabidin berkata, untuk membolehkan beliau menarik diri, pihak pembelaan perlu menunjukkan bahawa hakim yang mendengar kes bertindak berat sebelah atau pun mungkin bertindak berat sebelah.

"Pemohon juga perlu menunjukkan kepada mahkamah bahawa hakim mungkin membuat keputusan bukan berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang dikemukakan di mahkamah tetapi berdasarkan perkara-perkara lain," katanya.

Rabu lalu, Anwar membuat permohonan agar Mohamad Zabidin menarik diri dengan alasan kononnya hakim itu berat sebelah.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, membuat permohonan itu setelah Mohamad Zabidin menolak permohonan pihak pembelaan berhubung dua artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai mempunyai elemen berat sebelah.

Anwar, 63, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. - Bernama

Ulasan

Catatan Popular