Anwar bimbang cara penghakiman kes liwat

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bimbang dengan cara penghakiman kes liwat yang melibatkannya.

"Saya bimbang proses itu tidak dapat menjamin keadilan,” jelasnya ketika ditemui wartawan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, pagi ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Hakim Mohamad Zabidin Md Diah dan pasukan pendakwaraya supaya bersikap adil dalam sesi penghujahan saksi utama kes liwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang sepatutnya berlangsung hari ini.

“Sepatutnya Tuan Hakim (Zabidin) kena dengar permohonan (peguam bela), bukan batalkan dan tutup perbicaraan peguam sebelum beliau membuat keputusan.

"Yang saya nak tekankan di sini, kita dah bersedia seperti peguam Karpal katakan, kita sebenarnya bersedia memulakan perbicaraan hari ini,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang.

Perbicaraan kes liwat beliau pagi tadi ditangguhkan ekoran pasukan peguam bela membuat permohon mengetepikan Mohamad Zabidin dari mendengar perbicaraan kes tersebut.

Permohonan tersebut dibuat oleh Karpal Singh apabila Mohamad Zabidin enggan mengenakan tindakan ke atas Utusan Malaysia yang menyiarkan beberapa butiran eksklusif mahkamah, termasuk gambar saksi utama Saiful Bukhari, 25, menunjukkan lokasi kes liwat di Kondominium Desa Damansara.

Selain menganggap hakim cuba bersikap bias dalam proses perbicaraan, Karpal turut mendakwa pasukan pendakwaraya yang diketuai oleh Peguamcara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden cuba menghalang pasukan peguam bela Anwar menyoal Saiful berkaitan lokasi-lokasi yang ditunjukkannya Jumaat lalu.

Karpal Singh turut menganggap Mohamad Zabidin tidak melaksanakan tanggungjawabnya kerana membiarkan Utusan Malaysia menghina mahkamah dengan mendedahkan beberapa butiran eksklusif berhubung kes itu.

Ulasan

Catatan Popular