JAIS Tidak Profesional


1. Ketenangan dan kedamaian malam benar - benar terganggu apabila saya yang baru sahaja merebah badan untuk isterehat setelah 4 hari travel dihujani panggilan telefon berkait tangkapan JAIS ke atas Dr Mohd Asri Zainal Abidin bekas Mufti Perlis .

2. Saya ke Terengganu untuk merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu [ HIMPIT 2009 ] , ke Kelantan untuk menghadhiri perasmian penutup Sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia dan kemudiannya ke Sabak Bernam untuk meraikan perasmian penutup Jambori AMAL Kebangsaan bagi kali ke 17 .

3. Saya difahamkan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin [ Dr Maza ] ditangkap kerana menyampaikan kuliah tanpa memiliki tauliah .

4. Alasan yang sama membuatkan saya juga hampir tertangkap ketika menyampaikan kuliah dhuha di Surau Ar Raafiq Kota Damansara pada satu ketika dahulu .

5. Saya sangat kesal dengan tindakan JAIS yang menggunakan kuasa sewenang - wenangnya untuk menangkap penceramah agama dan alim ulama' semata - mata kerana mereka tidak memiliki tauliah sewaktu menyampaikan kuliah agama di negeri Selangor , sedang JAIS boleh menumpukan operasi membenteras aktiviti maksiat dan mungkar yang masih berleluasa di negeri Selangor .

6. Tambah malang apabila mereka turut mensasarkan penceramah agama yang sememangnya memiliki ijazah dalam bidang agama , pula diiktiraf kesarjanaan mereka oleh universiti yang menganugerahkan sijil pengiktirafan ilmu seperti BA , MA dan Phd .

7. Pihak JAIS boleh memanggil para penceramah agama ini untuk sessi temuduga bagi menganugerahkan tauliah jika itu merupakan satu prosuder yang mesti diambil , bukannya dengan menggunakan kuasa menghalang dan menangkap sedang penceramah - penceramah ini berbakti kepada agama dan masyarakat untuk membasmi kejahilan .

8. Terbaru Dr Mohd Asri menjadi mangsa tangkapan JAIS atas alasan beliau tidak memiliki tauliah . Dr. Mohd Asri adalah merupakan bekas Mufti dan kini beliau mengendalikan sebuah rancangan agama di Astro . Selain university , masyarakat juga mengiktiraf ilmu yang dimiliki oleh beliau . Tindakan JAIS merupaka satu lagi episod malang bagi perkembangan agama di negara ini .

9. Sebelum ini beliau selalu dikaitkan dengan wahabi biarpun beribu kali beliau menafikan bahawa beliau bukan penganut faham wahabi . Saya faham terkadang kenyataan dan pendekatan Dr. Mohd Asri sering mencetus kontraversi dalam negara kita . Tetapi saya lihat kontraversi itu masih dalam lingkaran perbahasan agama yang boleh ditangani secara ilmiah . Malah saya sendiri mempunyai banyak perbezaan pendekatan dengan beliau dalam isu - isu tertentu sebelum ini , namun itu tidak bermakna peranan beliau dalam memberi ilmu kepada masyarakat tidak disokong .

10. Jika terdapat ajaran salah atau sesat yang dibawa oleh Dr Mohd Asri , pihak JAIS wajar bertindak . Tetapi jika hanya kerana tidak memiliki tauliah atau sekadar tuduhan beliau menyebarkan fahaman wahabi sedang beliau bukanlah seorang wahabi bahkan pernah menafikannya berulang kali , maka saya kira JAIS telah bertindak keterlaluan dalam perkara ini .

11. Penyampaian kuliah di masjid surau sering dikekang oleh penguatkuasa yang memantau tauliah bukannya kesahihan ilmu yang disampaikan . Sementara maksiat dan mungkar berleluasa di sekitar masjid dan surau tanpa pemantauan berkesan dari pihak berkuasa agama .

12. Kini Selangor berada dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat . Secara umumnya , keadaan di Selangor banyak berubah terutama kebebasan para penceramah agama untuk menyampaikan kuliah dan tazkirah bagi membasmi kejahilan ummah berbanding di zaman pemerintahan UMNO dulu .
13. Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Selangor , rasanya inilah kes pertama tangkapan kerana isu tauliah yang mendapat liputan media .

14. Dewan Pemuda PAS Pusat turut melahirkan rasa kesal atas tindakan JAIS dengan menganggap isu seperti ini boleh diselesaikan secara lebih hikmah tanpa perlu membuat sebarang tangkapan yang boleh mencetus polemik dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap JAIS .

15. Dewan Pemuda PAS Pusat juga bersedia untuk mengadakan dialog dengan pihak mufti negeri Selangor atau Pengarah JAIS bagi menangani isu seperti ini [ pentauliahan ] demi masa depan dakwah Islamiyyah di negeri Selangor . Insyaallah , DPPP akan membuat temujanji dengan Pengarah JAIS dalam masa terdekat untuk tujuan tersebut .

**************************************************
JAIS sahkan Dr.Asri ditahan kerana mengajar agama tanpa tauliah




Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berbual bersama Datin Paduka Marina Mahathir (kanan) di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini. Mohd Asri diminta hadir untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan dipercayai mengajar ilmu agama tanpa tauliah - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT


SHAH ALAM: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi hari ini mengesahkan tangkapan yang telah dibuat ke atas bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin adalah di atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah dan bukannya mengamalkan fahaman Wahabi seperti yang didakwa sebelum ini.

Menurutnya, di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat JAIS, di Bangunan Sultan Idris, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid

Ulasan

Catatan Popular