BN Menang, Kedah Kecundang!

BN Menang, Kedah Kecundang!

Pada 12 November 2009 lalu, Umno Kedah telah melancarkan slogan atau tagline berbunyi "BN Menang Kedah Senang" yang kononnya bagi menaikkan semangat ahli-ahlinya supaya bekerja lebih kuat untuk menawan kembali negeri ini daripada pemerintahan PR. Bukan main hebat lagi nama tagline itu dan ia bertambah hebat, sebab yang melancarkannya ialah TPM, Muhyiddin Yassin sendiri.

Tapi BN Kedah yang ditunjangi Umno tentu tak senang duduk mendengar ucapan bajet yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kelmarin. Ini kerana walaupun belum memerintah sampai 2 tahun, kerajaan PR Kedah telah membuktikan mereka tidak perlukan BN untuk menjadikan Kedah senang. Malah berdasarkan angka-angka yang dipaparkan menunjukkan BN menang bukan akan menjadikan Kedah senang, tapi akan terus kecundang! Seperti apa yang dikatakan oleh Ustaz Azizan, sepanjang jangka waktu yang begitu singkat memerintah Kedah, kerajaan negeri di bawah PR telah membuktikan banyak kemajuan:

i) Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan kemasukan pelaburan asing ke Malaysia yang agak merosot, Kedah sebaliknya berjaya menarik banyak pelaburan sehingga Ogos lalu apabila menjadi negeri kelima mencatat jumlah pelaburan tertinggi selepas Sarawak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang dengan jumlah pelaburan keseluruhan berjumlah RM837,345,329.

ii) Ketika bilangan kemasukan pelancong ke negara ini umumnya menurun akibat krisis kewangan dunia, Kedah sebaliknya mencatat pertambahan pelancong dengan kemasukan 3.8 juta orang pada 2008 berbanding 3 juta pada 2006.

iii) Hasil balak juga meningkat sebanyak RM8 juta setahun kepada RM35 juta pada 2009 kerana polisi atau dasar tender terbuka yang diamalkan kerajaan negeri.

iv) Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sebelum ini rata-rata mencatatkan kerugian semasa diperintah BN, mula menampakkan keuntungan selepas penyusunan semula GLC di bawah kepimpinan kerajaan negeri PR. Hasilnya 11 buah syarikat berkaitan GLC berjaya menyumbangkan dividen kepada kerajaan negeri sebanyak RM30 juta tahun lepas, yang merupakan pembayaran kali pertama syarikat-syarikat itu selepas asyik menanggung kerugian tahun demi tahun akibat tidak kecekapan pengurusan ketika diperintah BN sebelum ini.

v) Berdasarkan sumber Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, kadar kemiskinan di Kedah juga telah berjaya dikurangkan dari 7% sebelum ini kepada 3% sahaja pada 2009.

v) Selain itu angka terbaru juga menunjukkan Kedah semakin sejahtera apabila kadar kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.3% kepada 0.3%, pendapatan kasar bulanan isi rumah pula meningkat daripada RM2,126 kepada RM2,408, manakala kadar pengangguran berkurangan daripada 3.8 % kepada 3.3%.

Dengan angka-angka itu, nampaknya selepas ini BN perlu mengubah tagline nya di Kedah. Tagline "BN Menang, Kedah Senang" tak sesuai lagi kerana apabila diberi peluang memerintah selama 50 tahun dan ketika ekonomi Malaysia di puncak prestasi, Kedah tidak sesenang mana. Sebaliknya BN perlu menggantikan slogan itu kepada slogan lain yang lebih sesuai dan tepat, misalnya:

BN Menang, Kedah Kecundang

Dan kerajaan negeri di bawah PR pula boleh menggunakan tagline ini:

BN Menang, Kedah Kecundang
PR Kalah, Kedah Susah


~ pendikar gunung kriang

Ulasan

Catatan Popular