Tiada Bukti 100 PLUS Boleh Mengubati Denggi

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Parlimen diberitahu hari ini bahawa tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa minuman isotonik 100 Plus boleh memulihkan pesakit demam denggi sebagaimana di gembar-gemburkan oleh masyarakat umum. Iklan




Demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menjawab solan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berhubung dakwaan minuman itu berjaya memulihkan penyakit demam denggi itu

"Bagaimanapun, saya ingin berkongsi pengalaman saya di mana ada saudara saya yang dijangkiti demam juga meminum air 100 Plus.

"Dan alhamdulillah sehingga kini beliau sihat dan tidak memudaratkan," katanya di Dewan Rakyat pagi tadi.

Ibrahim sebelum ini menyatakan ada khabar angin bahawa minuman itu merupakan ubat mujarab untuk mereka yang diserang penyakit demam denggi.

"Saya diberitahu ada di kalangan penghidap yang minum 100 Plus katanya pulih, secara kebetulan atau tidak saya tidak tahu.

"Persoalannya ialah saya bimbang jika ia menjadi kepercayaan kerana bagi yang kena demam denggi kalau ada diabetes dan minum 100 Plus, sepatutnya mati dua tahun lagi dia mati esok.

Bagaimana kementerian hendak beri kesedaran dan kepercayaan dari segi ubatan untuk memulih sakit seperti ini dan mereka diberi kefahaman jelas dan tidak ambil mudah," katanya.

Dalam pada itu, Harakahdaily turut mendapatkan maklumbalas beberapa doktor perubatan berhubung dakwaan itu dan rata-rata menyatakan ianya sesuatu yang belum pernah dibuktikan malahan ada antaranya menggangap sebagai gembar-gembur untuk mendapat keuntungan.

"Yang kita sarankan ialah minum air suam atau air kosong banyak-banyak bagi memulihkan demam denggi. "Barangkali dengan hebahan seperti itu, bukan beri keuntungan kepada pihak-pihak tertentu," kata seorang doktor yang enggan dikenali ketika ditemui.

Rosnah kemudiannya menjelaskan kementerian telah menjalankan pelbagai kempen kesedaran serta menyediakan talian khas bagi membolehkan orang ramai menghubungi kementerian sekiranya terdapat kemusykilan mengenai wabak demam denggi itu.

Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) sama ada penyakit demam denggi tersebar luas di Malaysia atau tidak, Rosnah berkata kes demam denggi di negara ini pada tahun ini menunjukkan penurunan.

Katanya sehingga 17 Oktober lepas, jumlah terkumpul kes denggi dilaporkan berjumlah 33,123 kes berbanding dengan 36,234 kes pada tempoh sama tahun lepas yang menunjukkan penurunan kes demam denggi sebanyak 3,111 kes.

Beliau berkata jumlah kematian denggi pada tahun ini juga berjaya dikurangkan kepada 72 kes berbanding 80 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas. _

Ulasan

Catatan Popular