Keberkatan Pimpinan Dua Tok Guru Masih Ada

oleh MSO


SELEPAS JAM 1:30 malam tadi para pencinta Pas sudah dapat tidur lena kerana mesyuarat khas parti itu yang dijangka hangat dan menerbitkan sesuatu yang gerun dihadapi, berakhir dengan satu konsensus yang jilah di kalangan ahli mesyuarat. Seperti mana dilaporkan dalam blog dan akhbar-akhbar hari ini mesyuarat itu telah mengambil tiga ketetapan besar.

Pertama, menamatkan dengan rasmi isu Unity Government, kedua, menyiasat Dr Hasa Ali mengenai tuduh ke atasnya kononnya beliau masih mahu meneruskan kerjasama dengan Umno dan ketiga seminar politik akan diadakan pada 7 November sebagai mengganti EGM yang dicadangkan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dengan adanya konsensus itu yang dibahas panjang lebar di mana mengambil masa empat jam setengah, ahli dan penyokong Pas boleh menarik nafas lega. Jelas bahawa Pas sebuah parti yang mementingkan semangat kerjasama dan pertautan ukhwan di kalangan mereka sungguh kemas dan erat.

Ternyata apa yang dicapai semalam mengecewakan pihak musuh Pas terutamanya UBN yang memang mahu melihat Pas berpecah menjadi dua pasukan. Hanya dengan kejadian itu saja UBN akan merasa bersemangat dan yakin untuk memulihkan kedudukan mereka menjelang pilihan raya akan datang. Bagi UBN kalau Pas berpadu bermakna jalan menuju masa depan gelap!

Lantaran itu semua orang Pas perlu bersyukur dan mengadakan sujud syukur dengan perkembangan baru itu. Sesiapa pun tidak mahu dua orang tok guru, (Nik Aziz dan Abdul Hadi) membelah al-Quran di dalam Pas. Mereka sendiri tahu betapa buruknya kalau membelah al-Quran di dalam sebuah jemaah. Dalam jemaah harus ada satu Quran yang qadim sahaja dan ia tidak boleh dibelahduakan oleh sesiapa jua.

Saya sendiri secara peribadi tertarik dengan apa yang berlaku di sekitar Pas khasnya mengenai kemelut yang timbul sehari dua ini. Ternyata isu yang kelihatan rumit itu dapat diselesai dengan baik dan tuntas. Nik Aziz dan Abdul Hadi tidak mudah termakan dengan hasutan syaitan. Ini menandakan Pas masih dibimbangi oleh Allah s.w.t. sepenuhnya dalam menyelesaikan apa juga isu yang timbul di sekelilingnya. Kejayaan itu juga menjelaskan Pas berjaya mengurus diri sendiri dan membuktikan bahawa semua pemimpin Pas seiya sekata. Di sini juga terserlahnya keberkatan pimpinan ulama.

Makanya Pas tidak perlu kepada pakar-pakar atau ahli motivasi daripada luar untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Mungkin dalam mesyuarat khas yang panjang lebar itu juga timbul beberapa idea baru ataupun formula bagi Pas mengukuhkan lagi jemaah itu dan merapatkan saf mereka. Barangkali di sinilah hikmahnya mesyuarat khas yang diadakan atas cetusan idea Nik Aziz itu. Tanpa mesyuarat khas semalam mungkin cetusan idea dan semangat baru Pas tidak akan berlaku. Telahan sesetengah pihak kemelut yang timbul itu akan memadukan Pas nampaknya menjadi realiti.

Eloklah kalau bermula malam tadi Pas menghentikan politiking sesama sendiri dengan memperkuatkan iltzim untuk menumbangkan UBN. Bukankah itu hanjat Pas sejak ia mula ditubuhkan 1951 sehingga hari ini? Hajat Pas bukan untuk kuat diawal dan berpecah di akhir?

Untuk itu saya rasa elok kalau semua jenis manusia dalam Pas bersikap tawakus, bersangka baik antara satu sama lain. Mulai saat ini Pas hendaklah membuangkan tanggapan-tangapan negatif yang ada dalam kepala masing-masing. Ahli, penyokong dan pemimpin janganlah termakan dengan gelaran-gelaran yang dilabelkan oleh mereka oleh mana-mana pihak.

Besar harapan seminar politik yang akan diadakan pada 7 November nanti akan menghuraikan lagi mengenai mustahaknya Pas berpadu dan menghindarkan fikiran negatif. Dalam konteks ini tragedi yang berlaku semasa muktamar lepas hendaklah dilupuskan sama sekali. Lupakan peristiwa yang tercetus di sepanjang menjelang moktamar itu. Kesemua pemimpin Pas harus mandi sunat membersihkan diri dan muncullah ke tengah masyarakat sebagai bayi yang baru lahir.

Sallahuddin Ayub yang diberi tanggungjawab menjayakan seminar berkenaan diharap dapat memainkan peranan untuk menterjemahkan hasil seminar itu dalam jemaah Pas. Kepercayaan ahli mesyuarat kepada Sallahuddin seharusnya diterima dengan penuh insaf dan di sini menyerlahkan akan wibawa Naib Presiden itu sebagai pemimpin masa depan. Sudah tentulah pemilihan Sallehuddin ini merupakan satu kredit untuknya.

InsyaAllah kalau ini dapat digapai, Pas akan menjadi bertambah kuat, dihormati dan tidak mustahil maksud atau tagline Pas yang berbunyi Pas Memimpin Ummah akan menjadi kenyataan.

Ulasan

Catatan Popular