Zulkefly Mohamad Omar calon Pakatan Rakyat PRK Bagan Pinang

Hamdan MS & Nazri Abdullah
Tue | Sep 29, 09 | 10:50:36 pm MYT
TELUK KEMANG, 29 Sept : Pakatan Rakyat mengumumkan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Bin Omar, 45, sebagai calon mewakili PAS bagi Pilihan Raya Kecil N31 Bagan Pinang.

Pengumuman dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pada majlis pengumuman calon julung kalinya diadakan di Pusat Gerakan Induk DAP di Batu 9 Teluk Kemang sebentar tadi.

Zulkefly bakal berdepan calon Barisan Nasional dari Umno, Tan Sri Isa Samad yang diumum Umno petang tadi.

Dengan pengumuman itu, Isa yang terpalit dengan beberapa kes rasuah dan salah guna kuasa dilihat berdepan laluan sukar menentang Zulkefly yang dilihat serba serbi bersih rekodnya.

Presiden PAS, dalam pada itu menyifatkan pemilihan Zulkefly adalah calon yang tepat mewakili rakyat Malaysia, rakyat Negeri Sembilan malah lebih penting calon terbaik Pakatan Rakyat.

Image(Gambar:Zulkefly (tengah) dijulang oleh para pimpinan utama Pakatan Rakyat dalam majlis pengumuman calon di Pejabat Induk DAP, Batu 9, Telok Kemang malam tadi)

Lebih 2,000 orang penyokong Pakatan Rakyat hadir memberi sokongan pada majlis pengumuman gilang gemilang sebentar tadi termasuk mereka dari luar negeri ini.

Mengiringi pengumuman tersebut tembakan bunga api yang menerangi seluruh kawasan perkarangan majlis tersebut.

Turut berucap pada majlis tersebut Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali.

Hadir sama kesemua pimpinan tertinggi kesemua parti dalam Pakatan Rakyat.

Antaranya dari PAS, Timbalan Presiden Ustaz Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hassan Ali serta pimpinan PAS Negeri Sembilan.

Zulkefly merupakan lulusan Master Sains(UPM) dan Ijazah Komunikasi (UiTM) juga seorang ahli perniagaan. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sejak 2007 lagi.

Selain daripada itu, Zulkefly adalah seorang pengurus profesional yang mampu mengangkat umat dan bangsa.

Beliau dijangka akan menaikkan maruah orang Melayu di kawasan Bagan Pinang.

PAS Negeri Sembilan sebelum ini mencadangkan tiga nama kepada kepimpinan pusat, iaitu Zulkefly sendiri, Yang Dipertua PAS Teluk Kemang yang juga calon sebelum ini, Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Pilihan raya ini dijangka menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Umno dan PAS.

Penamaan calon ditetapkan pada hari Sabtu, 3 Oktober dan pengundian pada Ahad, 11 Oktober.

Image(Gambar:Zulkefly dan Isa bertemu di tanah perkuburan Bagan Pinang ketika memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Azman. Turut serta adalah Datuk Husam Musa, AJK PAS Pusat)

Pilihan raya kecil Bagan Pinang diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya daripada BN, Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu.

Isu pengundi pos, sebanyak 4,600 daripada 14,192 pengundi menjadi perhatian dalam pilihan raya ini, dengan PAS menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan calon PAS menemui pengundi pos terbabit dan menjaga kerahsiaan identiti mereka ketika membuang undi.

Bagan Pinang penting kepada kedua-dua Pakatan Rakyat dan BN. Pakatan mahu meneruskan momentum kemenangan manakala BN mahu menang untuk membina kembali moral yang terjejas teruk sejak Pilihan Raya Umum ke-12.

Biodata lengkap calon PAS ini adalah seperti berikut:

NAMA: ZULKEFLY MOHAMAD BIN OMAR

PROFESION: AHLI PERNIAGAAN

UMUR: 45 TAHUN

TARIKH LAHIR: 14/5/1964

KELULUSAN: MASTER SAINS (UPM) & IJAZAH KOMUNIKASI (UITM)

NAMA ISTERI: SAEIAH BINTI TARMIZI

ANAK:6 ORANG

AHMAD FAKHRURAZI 20 TAHUN

FARAH WAHIDAH 18 TAHUN

MOHAMAD FADLI 14 TAHUN

MOHAMAD FADHIL 11 TAHUN

FADHLIN SAKINAH 8 TAHUN

MOHAMAD FAWWAS 4 TAHUN

JAWATAN DALAM PAS:

PESURUHJAYA PAS NEGERI SEMBILAN- 2 PENGGAL (2007 - HINGGA SEKARANG)

TIMBALAN PESURUHJAYA PAS NEGERI SEMBILAN - 1 PENGGAL - (2005 - 2007)

SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SEMBILAN (2001-2005)

EXCO PEMUDA PAS PUSAT (2001 - 2005)

PEMANGKU KETUA PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (2004 - 2005)

TIMBALAN KETUA PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (2001 - 2004)

KETUA PENERANGAN PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (1999 - 2001)

BENDAHARI DEWAN PEMUDA PAS SEREMBAN (1997 - 1999)

LAIN-LAIN JAWATAN:

1.PENGERUSI 'NO INCINERATOR' BROGA

2.TIMBALAN PENGERUSI TERAS KEUPAYAAN MELAYU NEGERI SEMBILAN

PENGALAMAN KERJA:

1.PENGARAH URUSAN, L & R ENTERPRISE SDN BHD.

2.PENGURUS KANAN, IS TECHNOLOGIES TELECOMMUNICATION SDN BHD.

3.PERANCANG PEMASARAN, TELEKOM MALAYSIA BERHAD.

4.EKSKUTIF PERHUBUNGAN KORPORAT, PUSAT ZAKAT SELANGOR.

5.PEGAWAI PERHUBUNGAN, KOPERASI CELCOM BERHAD.

6.PEGAWAI PERHUBUNGAN, BIRO ANGKASA. _

Ulasan

Catatan Popular