Ini jawapan Isa mengenai disiplin, Mahathir
Wednesday, 30 September 2009 16:23 | |
|
30 Sep 2009 2:18AM PD: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam reaksi spontannya sebaik sahaja diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, berkata beliau yakin akan dapat mempertahankan kerusi BN kerana “saya bertanding di kampung saya sendiri”.
Tambahan pula, dengan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin di semua peringkat, ahli-ahli parti serta orang-ramai, keyakinannya untuk menang di kerusi berkenaan adalah cerah.
"Insya-Allah kita boleh mempertahankan kerusi ini berdasarkan semangat yang ditunjukkan dan saya yakin kerana inilah kali pertama saya bertanding di kampung saya sendiri... pertama kali untuk orang kampung Bagan Pinang, sebelum ini saya bertanding di Linggi," katanya kertika di temui selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Umno Teluk Kemang bersama Perdana Menteri di sini petang Selasa.
Malah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau menerima amanah yang diberikan kepadanya sebagai satu tanggungjawab yang harus dipikul.
"Bila parti dah letakkan amanah, dah beri kepercayaan suruh bertanding, saya tak ada sebab untuk saya menolak. Ini adalah tanggungjawab dan saya sedia untuk memikulnya," kata beliau.
Isa turut mengakui bahawa beliau sebenarnya telah diberitahu mengenai pemilihannya sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui panggilan telefon beberapa jam sebelum keputusan itu diumumkan secara rasmi.
Ditanya persediaannya untuk menangkis serangan pembangkang yang mungkin akan membangkitkan isu tindakan disiplin yang pernah dikenakan ke atasnya kerana terlibat dengan politik wang pada pemilihan Umno, Isa dengan tenang menjawab, perkara itu sudah dijelaskan dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
"Saya bukan melakukan jenayah, ini merupakan pelanggaran kod etika pemilihan, itu istilah yang pertama kita gunakan. Saya telah jalankan hukuman selama tiga tahun, jadi benda tu tak timbul lagi.
"Malah kes-kes jenayah pun orang boleh terima, ada yang dah jadi Ketua Menteri, ada dah jadi Menteri dan ada yang bercita-cita nak jadi Perdana Menteri lagi, semua ada, jadi apa masalah dengan saya?" katanya.
Diminta mengulas mengenai pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengkrikik beliau baru-baru, beliau berkata hanya mampu tersenyum dengan kritikan-kritikan tersebut.
"Saya hanya tersenyum mendengar komen itu... saya tak ada marah apa-apa, malah antara orang yang saya paling hormati ialah Tun Mahathir.
Kerusi DUN itu kosong selepas Azman yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), di sini awal bulan lalu.
Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan selepas memperoleh 6,430 undi, menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.
Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR). Satu lagi kerusi iaitu DUN Linggi dimenangi BN. / Mstar
Ulasan
Catat Ulasan