Matematik dan sains sebuah Keranda - Rahmat Haron



Tarikh tanda waktu, ingatan dan kenangan. Benar, hari itu tak ada yang dapat kujual. Benar, hari itu tak ada yang dapat kubeli. Tak ada urusniaga – masa tak dapat menjadi indeks dagangan.

Tanggal Sepuluh Rabiulawal tahun hijrah 1431, kalendar Gregoria 7 mac 2009, bulan dua tahun kerbau, hari 23 bulan Masi.



Nesan tanda kematian, nafas dan kehidupan sebuah KERANDA 152 - 3 Mac 1967,

42 tahun keranda berkubur sepi semadi dalam sunyi, hiba telah lama tertanam bersama isi perut dan kenyang hidangan di dewan petaka mengambus duka.

Kini kita melihat kengerian. Kesombongan Bebal Nasional mengeruk tanah kubur

mencari gali mencaci curi KERANDA 152. Jentera kuasa dan tajam kuku besinya mengorek menebak tubuh luka ibunda yang tua.

Kemudian kita melihat tanah telah dibongkar Kesombongan mencampakkan

kayu reput KERANDA 152, tulang-tulang bahasa budaya yang hancur. Kesombongan bukan mahu mengkaji DNA atau memasukkan data-data dan fakta untuk pro-fail dan anti-fail. Atau membawanya ke makmal mengkaji penawar, menguji benci, bukan itu hasrat Kesombongan.

Kita bersedih kerana pada saat-saat itu masih lagi mengkhayalkan yang tulang-tulang dan kayu reput KERANDA 152 itu mahu dibasuh mandi bersihkan dilangir wangian bunga-bunga cempaka, mawar, melati dan melur. Dijunjung dalam upacara pemakaman bersama keranda yang baru terukir awan larat dan pucung rebung.

Berat hujan, kita tambah sedih dan menangis. Tulang-tulang bahasa dan kayu reput KERANDA 152 diinjak-injak kasar kaki Bongkak bersepatu besi, diludah busuk lidah kesombongaN.

Mata kita tak terpejam. Kekejaman menyekang biji mata kita terjojol. Kemarahan mengudara. Kita mesti bergerak dan bertindak. Santun kita di balas pedih mata, loya tekak dan hiba dada.

Sains senjata kimia, begitu cepat pemerintah belajar cara menindas rakyatnya.

Tembakan peluru-peluru gas dan meriam meledakkan racun. Perisai dan belantan mesin. Kesombongan cuba mengertak. Tapi kita telah menjadi berani, kita telah kehilangan

Sedu Sedan Sendu Sedih Sayu.

Rakus berbangga, Kesombongan mengebom kayu reput KERANDA 152

dan serpih tulang-tulang bahasa yang telah tertanam begitu lama.

Bahasa aku

Bahasa engkau

Bahasa kita di ALTANTUYA kan mereka!

Dan tentunya ini bukan bahasa mereka – bahasa mereka Bebal Nasional

Kerana bahasa kita

Adalah Bahasa Jiwa

Bangsa Merdeka!.



Rahmat Haron

7-9 Mac 2009

Rasa Sayang, PJ

Ulasan

Catatan Popular