Pemuda PAS PP tentang majlis antara agama

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang menentang sebarang usaha untuk menubuhkan majlis perundingan antara agama “dari dulu, sekarang dan sampai bila-bila”, kata ketuanya, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin.

“Kalau dialog agama kita setuju, tetapi bukan (sebagai sebuah) majlis,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mohamed Hafiz mengulas kenyataan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya dalam akhbar Utusan Malalysia hari ini yang mendakwa kerajaan negeri telah menubuhkan majlis berkenaan tahun lalu.



Akhbar tersebut memetik Shabudin sebagai berkata, cubaan menyamakan Islam dengan fahaman agama lain ternyata menghina Islam dan tindakan seperti itu mesti dihentikan.

Shabudin,yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Permatang Berangan dilaporkan berkata, MAINPP berasa cukup tersinggung apabila ada beberapa ahli jawatankuasa majlis tersebut terdiri daripada orang Melayu.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan laporan akhbar tersebut bahawa kerajaan negeri itu telah menubuhkan majlis perundingan antara agama tahun lalu.

Fail Saman fitnah

Beliau juga turut mengarahkan peguamnya supaya memfailkan saman fitnah terhadap akhbar tersebut kerana menyiarkan berita yang tidak benar.

Mengulas lanjut, Mohamed Hafiz berkata, Pemuda PAS Pulau Pinang menentang sebarang usaha untuk menyamaratakan Islam dengan agama-agama lain.

“Tetapi kalau usaha hendak menyamaratakan ekonomi orang Melayu (dengan bangsa lain) itu kita setuju,” tambahnya.

Menurutnya lagi, ketegasan Pemuda PAS berikutan isu itu telah dinyatakan sejak Ogos tahun lalu, melalui muktamar sayap kanan PAS ke-54 di Ipoh, Perak.

Ditanya sama ada perkara itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat PAS negeri, beliau berkata tidak pasti.

Ulasan

Catatan Popular