Pas dakwa penyokong UMNO cetus isu perkauman

KUALA TERENGGANU – Pembangkang semalam menuduh penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) cuba mencetuskan isu perkauman dengan pengedaran risalah memburukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, penyebaran risalah berkenaan dilihat cuba menaikkan sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat Melayu.

Menurutnya, ini kerana perkataan dalam risalah itu seolah-olah menggambarkan Abdul Khalid memenuhi sebahagian besar keperluan orang Cina dalam aspek pihak berkuasa tempatan (PBT) dan membelakangkan orang Melayu

“UMNOlah ni, memang tidak tulis nama, UMNO. Kempen kita secara terbuka, Pakatan Rakyat sama, kita tidak cakap pada Melayu demikian dan Cina demikian,” katanya kepada pemberita, semalam.

Antara perkataan yang dianggap ekstrem berbunyi ‘sampai bila orang Melayu akan terus terlena sehingga tuan menjadi hamba, hamba menjadi tuan’ dan ‘hanya kerana nak tebus kuasa, Tan Sri Khalid sanggup jual maruah bangsa Melayu’.

Beliau menganggap pelaku yang bertanggungjawab melakukan perbuatan berkenaan mahu melaga-lagakan rakyat di negara ini termasuk memburukkan pemimpin pembangkang.

“Kita harap pengundi tidak termakan dengan tindakan ekstrem yang dilakukan pemimpin UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, kita nak perpaduan, nak harmoni tetapi memecahbelahkan masyarakat, bukan PR tapi BN, ni yang kita payah nak sampai pada perpaduan ini,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular