Ramadhan Menjenguk Lagi

BismiLlahirrahmanirrahim

AlhamduliLlah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya serta kasih sayangNya telah mengizinkan kita untuk berjumpa lagi dengan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan.

Ramadhan menjenguk lagi. Saya nyatakan 'menjenguk' kerana Ramadhan hanya datang sebulan sahaja di dalam setahun. Selepas berakhirnya sebulan ini nanti, setahun mendatang pula baru bisa kita bertemu dengannya kembali. Namun persoalannya, akan adakah umur kita tatkala Ramadhan kembali menjenguk kita ketika itu. Ramadhan tetap akan datang tetapi umur kitalah yang tiada ketahuan samada masih ada sedetik menjelang. Dari itu wahai teman, rebutlah peluang ini, perhebatkanlah taubat serta perbanyakkanlah amalan agar jika kita mati selepas ini, moganya banyak amalan kita dapat mengimbangi dosa yang ada.

1. Namun agak malang dan sedih sekali, pada hari Juma'at (29/08/08) yang lalu, ketika kita menanti menjelangnya Hari Kemerdekaan negara kita ini sekaligus bulan Ramadhan yang mulia, kerajaan kita dengan bersenang hati serta berlapang dada meluluskan konsert penyanyi barat yang penuh kontroversi, Avril Lavigne ditengah kotaraya ini. Kalaupun dinyatakan lebih dikunjungi oleh mereka yang bukan islam tetapi masih ramai remaja 'melayu islam' yang menyertainya. Tidakkah ini yang mengundang mungkar dan maksiat dari berleluasa. Apakah persediaan yang dapat kita berikan kepada mereka untuk menghadapi Ramadhan nanti?

2. Ekspidisi Dakwah pada malam sambutan 'Kemerdekaan' sekali lagi menyayatkan hati apabila kita melihat begitu ramai 'syaitan-syaitan manusia' berkeliaran dimana sahaja. Kecil besar, tua dan muda malah yang bertudung juga bersepakat untuk menjadi syaitan-syaitan manusia ini. Mereka dengan bangganya mengenakan cekak rambut yang dihiasi tanduk yang bercahaya pula sambil meniup seruling syaitan untuk menghirukkan sambutan pada malam tersebut. Mufti-mufti kerajaan telahpun mengeluarkan fatwa dengan pengharaman pemakaian perhiasan ini. Namun adakah cukup dengan fatwa tanpa tindakan. Di manakah pihak berkuasa serta yang berwajib untuk mengambil tindakan terhadap mereka-mereka ini terutamanya sipenjual yang majoritinya juga si melayu islam. Jika pendemonstrasi dihalang keras ketika menyuarakan bantahan terhadap konsert maksiat, kenapa tiada tindakan yang lebih keras diambil ke atas benda yang nyata mungkar ini? Bukan tiada penguatkuasa disekitar kawasan sambutan namun kemaksiatan ini tidak langsung mengugat iman mereka. Inilah yang dinamakan akhir zaman bilamana orang yang ingin Amar Makruf dan Nahi Mungkar dianggap songsang tetapi sipelaku maksiat yang nyata mungkar dibiar berkeliaran. Allahu akbar

3. Kesedihan saya tidak terhenti di situ. Pada petang Ahad (31/08/08) yang lalu, saya dan beberapa sahabat DPPWM telah menyertai pula program 'Ziarah Kasih' ke Lorong Hj Taib anjuran Pas Titiwangsa yang diketuai oleh YB Dr Lo'lo' Hj Ghazali. Dengan berjaket serta berkopiah laksana pengawai penguasa agama, membuat si 'lembut' bertempiaran lari menyembunyikan diri. Begitu juga si penikam ekor, yang rata-ratanya bermuka melayu, kelihatan merah padam mukanya apabila terpandang kelibat kami. Namun setelah dipujuk serta dinyatakan hasrat dan tujuan kami kesana sekadar ingin menyampaikan salam Ramadhan, mereka kembali turun dan tunduk dan dengan muka yang sayu, mereka mendengar nasihat Yang berhormat agar membuka pintu hati untuk segera bertaubat atau sekurang-kurangnya 'menutup perniagaan' sementara sepanjang Ramadhan nanti.

Saya rasa inilah antara program yang patut kita teruskan demi mengambil alih tugasan pihak berwajib yang mereka tinggalkan.

4. Pagi ini, Rabu (3/09/08), perasaan saya kembali tersentuh. Keratan akhbar "Operasi Perkid tidak ikut syarat:JAIS" membuatkan saya terbungkam. Jais mengatakan bahawa Perkid tidak mempunyai kuasa untuk menahan dan membawa 80 remaja yang terlibat dalam masalah sosial ketika sambutan malam kemerdekaan untuk menghadiri kaunseling mereka. Mereka menambah jika mengikut undang-undang Perkid tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Persoalannya, dimanakah perginya pihak yang mempunyai kuasa itu? Mengapa tiada tindakan yang diambil oleh mereka yang mempunyai hak ini? Adakah mereka akan mengatakan bahawa mereka ada menjalankan tugasan malam itu tetapi tertumpu disebahagian tempat sahaja kerana kekurangan anggota. Jika ini yang berlaku, kenapa tidak diberikan iktiraf sahaja kepada badan-badan ini untuk sama-sama membantu. Bukankah Amar Makruf dan Nahi Mungkar itu adalah tanggungjawab setiap individu islam? Adakah dengan tiadanya kuasa mencegah ini, maka kita tidak boleh mengambil sebarang tindakan menghalang sedangkan kemungkaran ini terjadi didepan mata?

Saya percaya, atas segala sebab inilah puncanya terjadi begitu banyak maksiat dan mungkar dimuka bumi Malaysia ini. Orang ramai tidak boleh menegur serta menegah kerana tiada kuasa. Tidak boleh ambil tindakan kerana tiada hak. Akhirnya sipelaku maksiat begitu rakus dan berani berbuat sesuka hati mereka di depan sesiapa sahaja tanpa rasa takut apatah lagi malu.

Marilah kita kembali kepada Al-Quran dan sunnah. Laksanakan semula perintah-perintah Allah. Jika tidak ingin bala diturunkan, perelokkanlah minda serta iman kita. Yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah. Jangan nanti bila kita mati, anak-cucu-cicit kita mengungkiti kerja buat Tok Wan nya yang entah apa.ALlahu alam bissowab

Ulasan

Catatan Popular