Madrasah...

BismiLlahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, tuhan pencipta sekelian alam. Dialah yang Maha menguasai segalanya, begitu juga masa. Baru sahaja kita menikmati Ramadhan, kini sudah 26 hari kita lalui. Segalanya bercampur-baur, khusyuk disertai lalai.

Suatu hari, seorang pegawai sedang membacakan surat pengumuman dari BOS BESAR kepada semua pekerjanya di sebuah kilang yang bekerja wajib 5 sessi. Antara lain ianya berbunyi, pada bulan ini semua pekerja akan diberikan imbuhan yang maha dahsyat.

Para pekerja secara individu yang purata gajinya RM10/sessi akan dibayar RM700 sesessi. Sementara yang bekerja secara kumpulan pula, yang purata gajinya RM270/orang/sessi akan dibayar sebanyak RM18900/orang/sessi.

Jadi untuk lebih beruntungan, kesemua pekerja tadi sepakat untuk bekerja secara berkumpulan. Sudah semestinya ia lebih lumayan. Tiada siapa dilihat ingin bersahaja kali ini.

Itu baru kerja-kerja 'office hour', belum dicampur lagi kerja-kerja lebih masa. Fuhhhh....bersorak gembira kesemuanya namun dalam hati berkata-kata, betul ke bos ni. Banyak sangat ke duit syarikat ni. Tapi buat apa nak pening kepala, dah bos kata nak bagi, mesti yakin dia bagi.

Maka, mulai hari pertama bulan yang 'maha pelik' itu, kesemua pekerja bertungkus lumus. Tak cukup kerja lima sessi, 'overtime time' pula mereka pulun. Dari hening pagi bawa ke petang, dari malam hingga dinihari, tiada tanda yang menunjukkan mereka ini bakal letih. Cuma apabila terlalu penat, mereka akan mencuri masa 6 jam sahaja sehari untuk beristirehat sebelum bangun kembali untuk menyambung kerja. Nampak gayanya begitu sayangnya mereka jika bulan bertuah itu berlalu pergi.

Setelah dua puluh hari berlalu, satu lagi perutusan tiba lalu sekali lagi dibaca oleh sang pegawai tadi. Untuk beberapa hari berbaki, akan ada suatu hari dimana jika sesiapa didapati bekerja bersungguh-sungguh, akan diberikan pencen seumur hidup. Wah!!! Apa-apaan ini. Adakah bos ini benar-benar waras? Tetapi persoalan demi persoalan tidak menjadi halangan kepada pekerja-pekerja itu. Lalu didapatinya, tidak seorang pun yang ingin mensesiakan tawaran tambahan ini. Tiada hari-hari khusus yang mereka pilih melainkan menyapu bersih kesemua hari tersebut. Dari tidur 6 jam sahaja semalam, mereka semakin mengurangkannya kepada 3 jam sahaja.

Akhirnya bulan yang penuh misteri tiba dipenghujungnya. Setelah dihitung kesemua pekerja mendapat RM567000 tunai secara purata setiap seorang. Wah!!! Hati-hati mereka terus bersorak-sorakan namun kesedihan tidak dapat dibendung kerana jika berakhirnya bulan ini, maka tiada lagilah peluang untuk mereka mengumpul ganjaran sebanyak ini. Dan adakah akan bertemu lagi mereka dengan bulan seperti ini dilain kali.

Dihari terakhir, kesemua pekerja itu terutama pegawai tadi telah menangis teresak-esak. Tangisan mereka tidak lain kerana sedih akan ditinggalkan oleh bulan yang misteri itu. Tiada lagilah peluang untuk mereka mengumpul harta kerana bulan-bulan yang lain ganjarannya adalah biasa-biasa sahaja.

Teman-teman...

Perumpaan di atas adalah mengenai Ramadhan. Jikalah manusia nampak dan dapat tunai akan ganjaran yang Allah janjikan, sudah pastilah tiada seorang pun akan lari dari menyembah serta beribadah kepada Tuhannya. Kedatangan Ramadhan pasti dinanti-nanti serta kepergiannya akan ditangisi. Kerana benar memang ia suatu bulan yang amat misteri. Setiap amal dan ibadah dibayar berganda. Namun ganjaran-ganjaran di atas adalah sebagai gambaran semata-mata sedangkan Allah Maha Kaya untuk memberi yang lebih hebat dari itu.

Namun, oleh kerana ganjaran yang Allah janjikan itu hanya menanti mereka di akhirat, tak semua yang ambil peduli kecuali sedikit sahaja yang percaya akan janji Tuhannya kepada mereka.

Inilah manusia yang Allah jadikan penuh dengan ragu-ragu. Mereka sukar yakin dengan nikmat Allah yang dijanjikanNya diakhirat kelak kerana nikmat dunia lebih mengaburi mata dan hati mereka. Mereka hanya berpegang kepada yang boleh digenggam serta melepaskan apa yang diawang-awangan. Alangkah ruginya kita jika beranggapan yang sedemikian.

Jadi untuk kita wahai teman-teman seperjuangan. Perhebatkanlah amal kita dibaki Ramadhan yang ada untuk kita mengumpul sebanyak amal untuk bekal kita bertemu dengan Dia, Robbul Izzati. Semoga kita adalah antara yang berjaya mendapat 'pencen' yang dijanjikannya utuk kita dibulan yang penuh rahmat ini. Seandainya Ramadhan yang lain tidak sempat kita temui, berharaplah kita semoga Ramadhan inilah yang terbaik buat kita. InsyaAllah.

Selamat menyambut Eidul Fitri. Maaf zahir dan bathin. Illaliqa'

Ulasan

Catatan Popular