Ezam: Hasil turning over terbaik

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohd Nor disifatkan sebagai hasil kerja terbaik 'turning over' (pengubahan minda dan sikap) pasukan Cawangan Khas.


Kerja 'turning over' itu dijangka berlaku semasa Ezam menjalani hukuman penjara kerana didapati bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi.



Ahli Majlis Tertinggi PKR yang turut bersama menjadi setiausaha kepada Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khalid Jaafar berkata, jika tidak masakan Ezam boleh menulis surat panjang kepada Perdana Menteri menjelang pembebasannya dari penjara sebelum ini.

"Ezam juga tahanan ISA yang paling diraikan tetapi dia tidak pernah mahu berada dalam satu sidang akhbar bersama mereka (tahanan ISA yang lain) dan juga mengelakkan diri dari berada dalam satu majlis dengan mereka," tulis Khalid Jaafar dalam Malaysia Insider.

Ezam telah menawarkan diri untuk menjadi calon BN bagi menentang bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan ditentukan tarikhnya tidak lama lagi.

"Ya, dia boleh tawarkan diri tetapi terserah kepada parti untuk memutuskannya," kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas tawaran Ezam itu.

Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid menolak Ezam dan berkata, pihaknya mahukan anak tempatan Permatang Pauh untuk bertanding.

Bekas calon BN di situ, Datuk Pisdaus Ismail pula bersedia untuk mencuba buat kali ketiga di situ.
Menurut Khalid, Ezam hanya dua tahun sahaja berkhidmat untuk Anwar iaitu sebagai Setiausaha Politik. Dia menjadi Setiausaha Akhbar Anwar lebih 10 tahun begitu juga Azmin Ali juga berkhidmat lebih 10 tahun.
"Saya menyesal kerana memberikan sokongan yang kuat ketika mahu mengambil Ezam bekerja dahulu," kata Khalid lagi dalam tulisannya.
"

Ulasan

Catatan Popular