PAS-UMNO BUBAR - UMNO BERANI KE?

Tok Guru rela korbankan parti

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan sanggup mengorbankan parti untuk kepentingan Islam dan perpaduan Melayu.

Nik Aziz berkata, beliau sanggup membubarkan partinya untuk mengukuhkan Islam dan mengeratkan hubungan antara kaum termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

“Kalau macam tu saya cadangkan kita (Pas dan UMNO) pakat bubar parti. Kita bubar Pas. UMNO pun bubar juga. “Kita bubar kedua-dua parti tubuhkan parti lain untuk kuatkan dasar agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pembangunan Industri Halal Nasional, Kelantan semalam.
Menteri Besar turut memberitahu cadangan tersebut akan dibawa ke Muktamar Tahunan ke 54 di Ipoh, Perak berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos nanti.

Tambahnya, perjuangan Pas sememangnya berlandaskan Islam tetapi pengorbanan membubarkan parti ini untuk mengelak UMNO kecil hati sekiranya parti itu sahaja dibubarkan. “Kita akan bawa usul ini nanti ke peringkat muktamar dan saya sendiri akan menjawab semua persoalan berkaitan isu ini. “Kita tak payah sebut tentang bangsa. Kita buat atas sebab Islam. Dengan cara ini semua termasuk Cina, India, Orang Asli pun akan terbela,” jelasnya. Beliau juga menjelaskan, hasratnya tersebut bukan sahaja untuk kepentingan agama tetapi turut menjurus kepada menjaga ketuanan Melayu dan bangsa lain.

Sebelum itu, Nik Aziz pernah menyuarakan hasratnya untuk menubuhkan satu parti baru berasaskan Islam yang didukung bersama Pas dan UMNO dengan berlandaskan Islam bagi menyatupadukan masyarakat Melayu dan agama Islam.
Selain itu parti baru itu juga diharap dapat mengukuhkan perpaduan orang Melayu yang dilihat semakin tertekan sekarang ini.

Ulasan

Catatan Popular