DSAI DI TAHAN

Assalamualaikum wrt

Menonton rancangan debat malam kelmarin (Selasa-15/7) diantara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Shaberry Chik agak istimewa serta memberi makna pada saya. Walaupun kurang padatnya dari segi fakta namun saya percaya ada banyak impaknya kepada rakyat marhaen terutamanya penyokong-penyokong BN.

DSAI kelihatan begitu bersungguh-sungguh menggunakan ruang yang terhad itu dengan sebaiknya untuk mengikat hati rakyat agar segera faham akan percaturan kerajaan Pakatan Rakyat untuk memperjuangkan hak rakyat jika diberi amanah untuk mentadbir negara ini. Namun kedengkelan ilmu serta pengetahuan dari sudut ekonomi serta prejudis membuat serangan peribadi oleh Shaberry Chik sering mengganggu hujah-hujah yang ingin diusulkan oleh beliau. Namun saya amat percaya ramai penyokong BN yang berakal akan mudah faham lantas mengiakan apa yang telah disampaikan oleh DSAI itu.

Beliau dan PR bercita-cita untuk membantu rakyat. Adakah kita tetap menutup pintu hati untuk terus memilih orang yang semakin menekan hidup kita berbanding yang ingin meringankan hidup kita. Ini adalah realiti bukan fantasi. Lihatlah sahaja bagaimana kerajaan Negeri Selangor telah mengotakan janji pemberian air percumanya. Jangan nafikan ini dengan ego kita. Jangan bangkitkan yang lain dulu. Kita akan melunaskan segala janji secara berperingkat-peringkat. Masih jauh perjalanan serta banyak lagi masa. INsya Allah

Namun berita semalam (Rabu-16/7) tentang penahanan DSAI oleh Polis Raja Di Malaysia (PRDM) sungguh meruntun hati. Saya sebutkan ini kerana pasukan polis memang seperti raja di Malaysia ini. Mereka memperkenalkan berbagai prosedur undang-undang tetapi di dalam banyak kes termasuk kes Altantuya, keterangan mereka sering saja menyanggahi prosedur-prosedur itu. Bukan ke raja namanya tu.

Bengang ada, marah ada, terbakar pun ada dan bermacam-macam ada lagilah. Tindakan PRDM & BN ini memang tak bertamaddun serta tidak demokrasi. Bagaimana masih ada orang-orang yang bersenang hati dengan mereka-mereka ini?

Alahai!!

DSAI telahpun memberikan komitmen untuk ke IPKKL sebelum pukul 2 petang semalam (Rabu). Tup-tup pukul 12.55 tengahari dah gelabah pi ambik dia. Apa ni? Apa yang panik sangat? Penjenayah berbahaya ke DSAI ni? Mafia ke dia atau pengebom berani mati ke dia? Saya cukup yakin pasti ada beribu persoalan yang tersirat disebalik segala kegelabahan ini. Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang melainkan ada beruk kat atas pokok tu. Tak tahulah.

Kita akui memang seseorang suspek di dalam sesuatu kes pertuduhan perlu disoalsiasat hatta ditahan jika tidak memberikan kerjasama atau melanggari waran tetapi DSAI ni belum lagi dikira melanggari masa yang diperintahkan. Lainlah kalau beliau sahih berbuat demikian. Kita pun tidak hendak mempertikaikannya. Cuma sefaham saya, waran tangkap itu dikeluarkan apabila DSAI gagal hadir ke IPKKL pada Isnin lalu seperti yang diperintahkan mahkamah. Namun beliau bertindak demikian kerana memboikot sikap polis yang seperti menakut-nakutkan keluarganya yang sudah sedia fobia akibat perkara sedekad lalu dengan datang beberapa kali ke rumah beliau untuk memberikan surat arahan agar hadir ke IPKKL walhal DSAI pada hari Jumaat-11/7 telah pun bersetuju untuk berbuat demikian. Kenapa gelabah sangat?

Faktor 'double standard' wujud di dalam sistem penguatkusaan di Malaysia ini. Suspek kes liwat di tahan dan segera disoalsiasat sementara penuduhnya bebas tanpa mendatangkan 4 orang saksi untuk mengesahkan tuduhannya. Tapi lain pula halnya dengan kes pembunuhan Altantuya. Suspek yang dikaitkan terlibat iaitu Dato' Seri Najib Tun Razak bukan nak di kata dia ditahan atau disoalsiasat tetapi orang yang menuduh iaitu Raja Petra pula yang ditahan polis. Apakah istimewanya beliau ini. Kes mana yang lebih berbahaya dan berprofil tinggi? Kes bunuh ke, kes liwat? Kata sesiapa sahaja tidak akan terlepas dari diambil tindakan undang-undang jika didapati terlibat di dalam sesuatu kesalahan tetapi ini sebaliknya pula.

Malam tadi, lebih kurang pukul 11.15 malam, saya dan lima orang sahabat diizinkan ALLah untuk ke IPKKL untuk meninjau keadaan di sana. Ianya adalah secara kebetulan apabila kelas menadah kitab di Datuk Senu dibatalkan lalu kami pun mengambil kesempatan masa yang ada untuk melihat perkembangan yang berlaku.

Sampai disana, kami melihat penyokong-penyokong DSAI ini berkumpul di dua tempat. Satunya (lebih kurang 200 orang) kelihatan berkumpul di Jalan Hang Tuah, berhadapan dengan Penjara Pudu (Balai Polis Hang Tuah). Agak ramai polis dan SB berada disekitar situ untuk mengawal keadaan lalu kami mengambil keputusan untuk menyertai kumpulan yang berada dipintu belakang IPKKL tersebut (lebih kurang 100 orang) kerana disitu, kami dapat melihat pimpinan-pimpinan PR yang datang untuk bertemu dengan DSAI.

Lima belas minit sebelum 12 tengah malam, kedengaran kumpulan yang di hadapan Penjara Pudu bertempiaran lari kerana disembur 'water canon'. Hah! Pra reformasi telah bermula nampaknya. Fikir saya dalam hati. Risau juga takut-takut 'water canon' menghala ke arah kami pula tapi selepas lima belas minit, perkara itu tidak berlaku. Akhirnya keadaan kembali tenang dan secara tiba-tiba kami didatangi oleh seorang anggota polis trafik berpangkat sarjan dengan didahului ucapan salam. Selepas kami menyambut salamnya, beliau pun mula membebel.

"Kenapalah sibuk-sibuk nak kumpul, susahkan orang je, be" katanya. Daripada loghat bahasa, hem...ore kelate rupanya.

"Dulu kita marah ke Hindu (orang India) yang berkumpul, rupa-rupanya Melayu pun sama. Biarlah kalau dia bersalah ke, tak salah ke, kita serahkan pada perundangan. Serah pada Allah" Wah cakap pasal tuhan lah polis ni lalu seorang sahabat mencelah "tahu tak apasal orang dok berkumpul ni?" tanya sahabat. "Pasal orang marah lah" jawab sarjan tu. "Ha! Tau tak pasal apa orang marah? Sebab polis buat kerja tak betul cara" sahabat bertanya lagi lantas menjawabnya sekali.

Sarjan cuba kalih cerita "Bukan apa, kalau orang muda macam abang ni takpelah, kalau kena kejar nanti, bolehlah lari, tapi macam mana yang tua-tua ni. Tak payah lah susah berhimpun ni. Kena tembak air nanti susah" bebel dia lagi. Orang lain semakin ramai mengerumuninya lalu seorang India bertanya "Kalau UMNO buat demo kenapa tak tembak air? Seorang lagi menambah "kenapa tak marah pulak dengan dia orang? Kalau pembangkang buat semua tak boleh, semua haram. Kalau orang UMNO semua takpe". Soalan bertubi-tubi datang, dia sorang. Akhir sekali dia menjawab sambil tersengeh-sengeh "Kadang-kadang ambo pun tak puas hati dengan kerajaan ni. Bukan apo, kalau takde himpun-himpun macam ni, ambo bolehlah balik". Laaa....itu yang terbuku dihati dia rupanya. Patut lah dia marah.

Lima minit selepas itu, peguam DSAI, Sivarasa dan Tian Chua pun keluar lalu membuat kenyataan tentang keadaan DSAI yang di dalam tahanan polis. Saya tak berapa dengar biji butir percakapan beliau sebab perlahan sangat, orang dah lah ramai. Berselang 10 minit, kenyataan media pun tamat lalu kami pun mengambil keputusan untuk pulang sahaja dan menunggu keputusan sepenuhnya kes penahanan DSAI itu. Sebelum pulang, seorang sahabat pun menghampiri sarjan tadi. Sambil menghulurkan tangan, sahabat berkata "Marilah kita balik be, serahkan ajelah semua perkara ni pada Allah" perli sahabat lalu berlalu pergi meninggalkan sarjan kebengangan.

Syukurlah pagi tadi, mendapat berita yang DSAI telahpun dibebaskan. Syabas kita ucapkan kepada pihak polis kerana mengambil tindakan singkat untuk menyelesaikan perkara ini, kalau tidak, tak tahulah apa akan terjadi jika rakyat mula memprotes. Reformasi lagi kut!

Minta-minta janganlah.

Ulasan

  1. betul2... harap dia terus taat walau bertukar kerajaan lepas nie..

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular