SYABAS YB MB SELANGOR

BismiLlahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Tiada lain yang agung melainkan DIA.

Rentetan demi rentetan kita lalui. Semakin jauh langkahan semakin banyak debu dikaki. Semakin onak diterjahi, semakin menusuk duri dihati. Begitulah perumpamaan yang layak kita kaitkan dengan kesemua pimpinan di 5 negeri PR hari ini.

Namun dalam yang banyak, hanya satu yang tersangat diuji kini iaitu YB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Negeri Selangor Darul Ehsan.

Ditepis kiri, yang kanan menghentam. Dikilasnya depan, yang belakang merusuk. Namun gunung didaki, didakinya jua. Hebat benar beliau ini.

Kalau sebelum ini, hanya Khir Toyo dan puak juaknya aje yang memukul tetapi kini sepupu sepapat pun turut hendak menduga. Alangkah busuknya permainan politik ini. Tetapi harus diingat, yang menjadikan politik itu busuk bukan sifatnya tetapi manusia itu sendiri yang salah mewarnainya. Jika betul tata dan cara, segala perkara menjadi manis, namun andai segalanya dilanggar diterpa, usahkan insan, haiwan juga jijik memandang.

Itulah, setiap yang telus dan jujur, segala yang ikhlas dan amanah, rupanya tak semua yang suka. Yang jelik juga dicari orang.

Inilah matlamat perjuangan PR. Jauhi penyelewengan, hindari salahlaku dan benteras kemungkaran. Tiada istilah lawan ataupun kawan jika sesuatu yang keji dilakukan. Sesiapa jua yang melanggari etika, tindakan mesti diambil. Jangan jadi seperti BN yang tiada ruang lagi untuk menutup segala kebusukan hingga hampir siapa saja yang berada didalamnya sentiasa takut untuk berkata benar kerana bimbang perkara salahlaku akan diungkit.

Namun YB Tan Sri, ketahuilah segala yang benar tetap benar, segala yang betul adalah betul. Jangan anda rasa tertekan atau hati rasa keruan. Segala yang baik kita lakukan bukan untuk manusia tetapi semata-mata untuk mendapat redha Allah Yang Satu.

Memang benar kata anda, kita tak boleh puaskan hati semua orang. Walaupun yang baik kita laksanakan, orang tak suka, maknanya hati mereka penuh dengan penyakit.

Kita mengharapkan kepada yang terlibat dengan salahlaku agar muhasabah diri. Perbetulkan keadaan serta berilah kerjasama. Tiada apa yang anda rugikan malah disanjung rakan dan taulan. Begitu juga dengan rakan-rakan yang mendokong, janganlah ada pertikaian dan subahat. Sepatutnya kita memberi nasihat, agar yang silap segera diperbetulkan. Jangan pula menjadi duri di dalam daging, bergerak sakit, tak gerak pun bisa. Ambil jalan yang tepat agar kita sentiasa dilandasan yang betul. Kita bukan ingin berkuasa sehari tetapi kalau boleh sampai bila-bila. Agar kemakmuran sebenar dapat dirasai.

Jika dulu kita lari dari kezaliman, jangan kepada kezaliman pula kita pergi. Biarpun benar itu pahit, tetapi percayalah, yang pahit itulah penawar yang boleh mengubati penyakit.

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa kamu dan janganlah kamu menurut jejak syaitan-syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata. Oleh itu jika kamu tergelincir juga setelah datang kepada kamu keterangan-keterangan yang jelas, maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah ayat 208-209)

Dari itu wahai teman, marilah kita selesaikan segala perbalahan dengan musyawarah serta ambillah Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan, agar gerak kita mendapat berkat serta petunjuk dari Yang Maha Esa. Amin Ya Rabbal Alamin

Ulasan

Catatan Popular