Hari Buruh @ Hari Pekerja

1 Mei atau 'May Day' adalah salah satu dari hasil perjuangan pihak sosialis yang telah di'raya'kan oleh majoriti negara didunia ini tanpa membatasi ideologi politik selagi mereka membela hak-hak pekerja.

Tarikh ini merupakan hari peringatan ke atas satu peristiwa yang berlaku pada di Chicago tahun 1886, dimana berdozen buruh-buruh telah terbunuh ketika berdemonstrasi menuntut hak mereka.

Dinegara-negara seperti India,Sweden,Finland,Norway, May day disambut dengan demostrasi menuntut hak2 pekerja dengan ucapan para pemimpin. Berlainan dengan Malaysia, 1 mei lebih merupakan hari santai atau satu hari rehat setelah lebih 1500 jam bekerja selama setahun. Cuti umum ini kononnya 'hadiah' dari kerajaan untuk menghargai penat lelah para pekerja. Walhal masih banyak lagi tuntutan pekerja yang masih 'pending' dan 'KIV' oleh majikan yang cekik darah dan kerajaan hanya memandang sepi hal ini.

Ikutilah perutusan hari buruh @ hari pekerja oleh Pengerusi Lajnah Pekerja & Peneroka Bandar PAS Pusat, Tuan Haji Mohd Anuar Tahir, untuk kita yakni golongan 'makan gaji' untuk bersama-sama menuntut hak seorang pekerja.

"PERUTUSAN 1 MEI BUAT SEMUA" (dipetik dari www.lajnahpekerja.com)

Di negara-negara maju kaum pekerja mempunyai kedudukan istimewa. Kaum pekerja tidak boleh diambil mudah bukan sahaja oleh para majikan, pemerintah, usahawan, jutawan atau warganegara lainnya.

Mereka punya kuasa besar dalam menentukan arah haluan di bidang politik, ekonomi maupun sosio-budaya. Mana-mana pihak yang cuba memanipulasi, memperkecil atau memperleceh golongan pekerja bererti menempah nahas.

Impak dari tindakan mereka bukan kepalang. Hormat dan simpati ke atas mereka selalunya dikongsi oleh rakyat jelata.

Para pekerja baik yang berkolar putih maupun berkolar biru atau yang bertali leher kemas atau berkemeja khaki sama-sama berwibawa. Seorang profesor atau seorang pencuci lantai sama-sama punya kehormatan dan kewibawaan.

Orang politik atau orang bisnis tidak mampu bersengketa dengan kesatuan mereka. Merekalah penentu kelancaran negara. Pemerintah yang tidak mesra pekerja sering digantikan dan syarikat-syarikat yang menindas pekerja banyak yang gulung tikar. Demikian citra pekerja di negara-negara maju dan negara-negara industri.

Justeru itu di Hari Buruh, Hari Pekerja 1 MEI 2008 ini, marilah kita bersama mengheningcipta mengingat betapa pula nasib kaum pekerja negara sendiri. Ramai sekali yang terus diselubungi mendung dan awan duka --- tidak berdaya dan tidak punya kuasa.

Terlalu ramai yang masih dinafikan hak berkesatuan - kebajikan hanya gembar-gembur semata. Pemberhentian dan pembuangan dengan berbagai nama terus menghantui mereka dan pampasan pula tidak seberapa. Golongan pekerja rendah terus kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Tuntutan elaun lebih masa terkadang dibayar penuh dan ada masanya tidak. Terlalu ramai "para pekerja" diambil secara kontrak --- tidak tetap. Boleh ditamatkan khidmat mereka pada bila-bila dan kebajikan mereka tidak seberapa. Pekerja secara kontrak / tidak tetap adalah fenomena semasa dipihak swasta dan anehnya di sektor awam pun sama.

Tuntutan gaji minima dan "cola" entah dikaji entah tidak atau dikunci rapat di kabinet besi Pak Menteri. Nah, berfikirlah semasak-masaknya sampai bila mereka perlu cemas dan berduka. Sedang negara lebih setengah abad "merdeka".

Sambutlah 1 MEI dengan lebih bermakna bukan dengan bercuti dan berehat seketika. Marilah kita perincikan masalah mereka berwacana atau mencambah minda mencari angka dan fakta. Bela mereka dengan semangat Malaysia berdaulat dan merdeka. Kesejahteraan kaum pekerja adalah kesejahteraan negara.

Selamat Hari Pekerja.

Hj Mohd Anuar Tahir
Pengerusi
Lajnah Pekerja & Peneroka Bandar PAS Pusat.


Ulasan

Catatan Popular