PAS , PKR , DAP = Pakatan Rakyat

KENYATAAN PIMPINAN PARTI PAS,PKR dan DAP.

Pimpinan tertinggi parti-parti PKR,DAP dan PAS hari ini telah mengadakan mesyuarat sebagai lanjutan daripada mesyuarat yang telah diadakan pada 18 Mac 2008.

Mesyuarat hari ini dihadiri antara lain oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB En Lim Kit Siang, YB Dato Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang dan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada mesyuarat hari ini kami telah mencadangkan untuk memantapkan lagi kerjasama ketiga-tiga parti ini atas nama PAKATAN RAKYAT. Nama ini telah dicadangkan dan akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan pimpinan masing-masing dalam masa terdekat ini.

Pakatan Rakyat juga berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.


PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim
bersama Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan di Petaling Jaya,
semalam, untuk menubuhkan gabungan Pakatan Rakyat bagi menggambarkan
kerjasama antara ketiga-tiga parti itu.



Dengan keputusan pilihanraya yang lepas, kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan nantinya dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat.

Bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar, wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008.

Kami juga memperkemas dan memantapkan struktur Pakatan Rakyat dengan diwujudkan di bawah Majlis Pimpinan yang terdiri daripada ketua-ketua tiga parti, sebuah Sekretariat Bersama yang akan diwakili oleh tiga pimpinan daripada setiap parti. Sekretariat Bersama ini telah ditugaskan untuk membina asas dan kerangka pakatan untuk disahkan oleh Majlis Pimpinan nanti.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim
YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail
YB Lim Kit Siang

Ulasan

Catatan Popular