Pengenalan kepada Usrah

1.0 PENGERTIAN USRAH

Kalimah ‘usrah’ bererti ‘keluarga’. Ianya menggambarkan sebuah keluarga yang dipertautkan ahli-ahlinya oleh satu ikatan hati yang kukuh dan mesra, yang wujud interaksi dan komunikasi yang baik antara satu sama lain. Dalam konteks Jama’ah Islam, usrah merupakan satu unit atau kumpulan kecil di kalangan ahli dan pemimpin yang diketuai oleh seorang naqib; bertindak sebagai sebuah keluarga yang saling kasih mengasihi dan mengambil berat antara satu sama lain serta sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu, kefahaman, amalan dan penghayatan Islam melalui berbagai aktiviti yang sesuai dan munasabah.

Usrah menjadi satu wasilah dan institusi penting dalam merekrut kader-kader dakwah yang berperanan di dalam tanzim jamaah juga di dalam masyarakat. Kader dakwah yang diperlukan mestilah seorang yang mempunyai ilmu dan fikrah yang jelas, syaksiah yang boleh dicontohi serta iltizam yang kukuh terhadap penghayatan Islam dan perjuangannya.

Oleh itu, usrah mempunyai matlamat dan tujuan yang perlu dicapai dan ia juga diikat oleh rukun dan adab tertentu demi keutuhan dan keberkesanan penubuhannya.
1.0 MATLAMAT DAN TUJUAN

Usrah adalah merupakan nadi pergerakan jama’ah Islam. Ianya adalah sebuah keluarga yang terhimpun di dalamnya keyakinan, ukhuwwah dan iltizam. Secara umumnya usra mestilah mencapai matlamat:

Mengukuhkan keyakinan ahli kepada dan cita-cita perjuangan Islam.
Membina ukhuwwah Islamiyyah sebagai kekuatan jama’ah Islam.
Memantapkan iltizam pegangan dan penghayatan serta penglibatan ahli di dalam kerja-kerja Islami.

Secara khususnya, usrah mestilah:

Mendedahkan kefahaman yang betul tentang Islam dan pejuangannya.
Menjelaskan matlamat dan dasar serta usaha dan pendekatan jama’ah Islam dalam konteks perjuangan di Malaysia.
Mendidik ahli agar berpegang teguh dan mengamalkan ajaran Islam di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Menekankan hubungan baik antara manusia dan akhlak yang mulia di dalam kehidupan berjama’ah dan bermasyarakat.
Mendedahkan kerja-kerja berjama’ah sebagai satu usaha jihad untuk merealisasikan perjuangan Islam.
Membina petugas-petugas Islam yang dinamik dan produktif di dalam menjalankan tugasan dakwah, tarbiyyah dan amar makruf nahi mungkar dalam konteks amal Islam.

3.0 AKTIVITI USRAH

Di antara aktiviti-aktiviti usrah yang boleh dirancang:

Liqa’ (pertemuan mingguan)

Program boleh diisi dengan pengisian ilmu, fikrah, tazkirah dan perbincangn tentang isu-isu semasa dan masaalah peribadi ahli.

Halaqah ilmu umum dan khusus

Bertujuan menyempurnakan penguasaan ilmu ahli-ahli usrah. Penekanan boleh dibuat untuk menyelesaikan penguasaan ilmu fardhu ain (aqidah, fiqh dan akhlak), Al-Quran, Al-Hadith, Fiqh Dakwah, Fiqh Sirah, Ulum Lughoh Arabiyah dan sebagainya.

Tamrin (kursus)

Program ini dibuat bertujuan untuk melengkapkan kefahaman ahli tentang tajuk-tajuk tertentu atau kemahiran-kemahiran tertentu seperti pengurusan jama’ah, pengurusan dakwah dan tarbiyyah dan sebagainya.

Rehlah (perkelahan)

Program ini lebih bersifat ukhuwwah dan rekreasi. Ianya akan dapat mengeratkan hubungan ukhuwwah di kalangan ahli di samping ianya memperluaskan pengetahuan ahli-ahli tentang alam persekitaran.

Mukhayyam tarbawi (perkhemahan tarbiyyah)

Program menekankan aktiviti-aktiviti rekreasi, survival dan semangat berpasukan di samping membentuk fizikal, mental dan ruh yang kental di dalam menghadapi segala keadaan.

Sunduq (tabung kebajikan usrah)

Tabungan kewangan untuk membantu ahli yang memerlukan.
3.0 RUKUN-RUKUN USRAH

Rukun-rukun usrah yang wajib ditegakkan ialah:

Ta’aruf (Saling berkenalan)

Setiap ahli mestilah berusaha untuk mengenali ahli yang lain supaya pengertian persahabatan yang sebenar dapat dirasai. Dengan itu, setiap ahli akan dapat memelihara perhubungan ukhuwwah serta menyuburkannya sebaik mungkin.


Tafahum (Saling bersefahaman)

Asas kesefahaman yang penting ialah semua ahli mestilah bercita-cita menghayati hidup Islam. Ini bermakna segala usaha mestilah difahami sebagai bertujuan untuk mencapai cita-cita tersebut. Jangan ada ahli yang merasa terpinggir atau merasakan dirinya terasing dari usaha-usaha tersebut.

Takaful (Saling melindungi)

Seluruh ahli adalah ibarat tubuh yang satu. Perasaan ini akan menjadikan usrah satu tubuh yang saling kuat memperkuat antara satu sama lain. Maka tidak akan ada seorang ahli yang di dalam kesusahan melainkan seluruh ahli akan merasainya bersama. Inilah kemuncak ukhuwwah Islamiyyah yang dituntut oleh Islam.

4.0 ADAB-ADAB USRAH

Adab-adab usrah yang perlu dipelihara:

Memelihara persaudaraan kerana nilai persaudaraan amat tinggi dan berharga di sisi Islam.
Memelihara adab-adab persahabatan.
Berusaha menghadiri semua program yang dirancang oleh usrah.
Berusaha menepati masa.
Menghormati naqib sebagai pemimpin.
Melatih diri supaya terlibat dengan perbincangan dalam pertemuan usrah.
Menyediakan diri untuk ditarbiyyah.
Mematuhi arahan dan keputusan usrah dan jama’ah.
Berusaha menghayati kehidupan Islam yang sebenar.
Menjadikan usrah sebagai rujukan di dalam segala perkara samaada bersifat peribadi atau yang lainnya.
Mengelakkan pertengkaran dan perdebatan di dalam liqa’ yang boleh membawa keruh hubungan persaudaraan.
Menegur sahabat dengan penuh hikmah semoga yang ditegur berubah dan yang menegur tidak merasai dirinya lebih baik.
Melatih diri berkorban demi kepentingan Islam dan perjuangan.

5.0 PENUTUP

Jalan kemenangan Islam masih jauh lagi. Ianya perlu dilalui oleh pendokong-pendokong perjuangan Islam yang teguh peribadi dan kuat keyakinannya. Itulah natijah yang dicita-citakan akan dapat dilahirkan melalui program usrah. Semoga ianya akan berhasil demi keredhaan Allah Azza wa Jalla.. Wallahu a’lam.

Nukilan El Fakir Al Fadhil Ust Mohd Noor Omar

Ulasan

Catatan Popular