Penerimaan terhadap PM merudum paling rendah

Abdul Halim Mohd Rashid


KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) - Penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi merudum ke tahap yang paling rendah, kata blogger Jeff Ooi dalam blognya, Screenshots.


Menurut Jeff, pihaknya diberitahu bahawa penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri selepas peristiwa demonstrasi Hindraf 25 November lalu merudum ke tahap paling teruk, iaitu 61 peratus.

Keyakinan yang semakin terhakis terhadap kepimpinan Abdullah itu dapat dilihat dalam tinjauan Merdeka Center yang terbaru.

Tinjauan tersebut, kata Jeff, dijalankan di seluruh negara dengan tumpuan kepada 'sampling' Lembah Klang.

Keputusan tinjauan itu, katanya, akan disiarkan tidak lama lagi.

Menurt Jeff, kadar penerimaan yang paling teruk terhadap kepimpinan Abdullah sebelum ini ialah 64 peratus, akibat kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kemampuannya sebagai Perdana Menteri.

"Mari kita lihat bagaimana media aliran perdana memutar-mutarkan berita ini," katanya lagi.

Mengulas kepimpinan Abdullah dalam prolog bukunya "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders", Dr Mahathir berkata, "Malangnya Malaysia!"

"Selepas meletakkan jawatan (pada Oktober 2003), tidak pernah terlintas dalam fikiran saya (akan) berlaku perubahan yang sebegitu rupa hingga meletakkan tindakan menggembirakan Perdana Menteri lebih penting dari segala-galanya," kata bekas Perdana Menteri.

Merujuk kepada tahap kebebasan media di bawah pentadbiran Abdullah, Dr Mahathir menyifatkan berita-berita dalam media aliran perdana "begitu ditapis dan diputar oleh kaki-kaki putar (spin doctors) sehingga perdana menteri tidak mungkin tahu perasaan dan kekecewaan majoriti rakyat... kerajaan bernasib baik kerana rakyat Malaysia menolak keganasan sebagai cara menyuarakan kemarahan mereka".

"Lantaran itu, keadaan tentulah bertambah teruk sebelum rakyat menzahirkan perasaan sebenar mereka dalam apa jua cara. Pada masa yang sama, pengampu-pengampu terus mengecapi nikmat mereka. Malangnya Malaysia!"

Ahad lalu, Dr Mahathir bagaikan mengulangi pengakuan bahawa beliau telah melakukan kesilapan memilih Abdullah sebagai penggantinya apabila berkata, "tidak kira berapa banyak yang kita belajar mengenai kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik, masih tidak mustahil yang kita memilih pemimpin yang salah".

Seolah-olah mengingatkan rakyat supaya membuat keputusan yang tepat dalam pilihan raya akan datang, beliau juga berkata, apabila pemimpin tidak cekap, negara akan jatuh.

"Rakyatnya mungkin sama, latar belakang dan kekayaan dan sumber mungkin sama, tetapi apabila pemimpinnya tidak cekap atau lemah, dengan itu negara-negara terkemuka, malahan empayar besar pun boleh jatuh," tegas beliau.

Peringatan Dr Mahathir dilihat lebih mendalam apabila berkata, mungkin terdapat mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang lemah tetapi mereka mungkin menjadi pemimpin kerana kepimpinan diamanahkan kepada mereka.

"Mungkin terdapat 1,000 orang di Malaysia yang memiliki kualiti kepimpinan yang baik tetapi mereka tidak berjaya hanya kerana keadaan tidak memihak kepada mereka," katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengakui beliau mungkin telah membuat keputusan yang silap dengan memilih Abdullah sebagai penggantinya.

Secara terus terang beliau juga mendedahkan bahawa Abdullah bukanlah pilihan pertamanya untuk mengambil alih pucuk pimpinan apabila beliau bersara pada 2003 selepas 22 tahun menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada beliau kesal kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya, Dr Mahathir berkata: "Saya telah membuat banyak kesilapan sepanjang kerjaya saya. Saya telah membantu ramai orang tetapi mereka telah menikam saya dari belakang...saya ada tabiat silap memilih orang."

Apabila terus didesak sama ada Abdullah telah menikamkan dari belakang, beliau menjawab: "Calar-calar sikit".

"Siapa yang tahu apa seseorang itu akan lakukan apabila dia tidak lagi di bawah kawalan kita. Jadi, saya sangka saya telah membuat pilihan yang baik," kata bekas Perdana Menteri itu.

Ulasan

Catatan Popular