Menyanyi Separuh Bogel atas pentas dapat permit, Ulama ceramah bagi ilmu kena ‘gam’

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (pemudawilayah) mengambil pandangan yang serius terhadap tindakan seorang artis Malaysia yang menanggalkan pakaiannya semasa sedang menyanyi di atas pentas 8TV di Central Park Avenue, Bandar Utama pada 13 Januari baru-baru ini.

Tindakan naib juara pertandingan realiti TV, One In A Million (OIAM), Faizal Tahir yang juga bekas ahli kumpulan nasyid Mirwana ini benar-benar memburukkan imej golongan artis negara ini. Perlakuan yang tidak senonoh yang diambil dari pengaruh artis barat tidak sewajarnya dilakukan oleh artis Malaysia walau dalam apa keadaan sekali pun.

Menurut laporan Harian Metro, 14 Januari 2007;

“Faizal yang tampil lengkap berpakaian secara tiba-tiba tidak dapat mengawal diri dengan menanggalkan pakaiannya satu persatu bermula dengan jaket, singlet dan seterusnya tali pinggang yang dipakainya dan melemparnya kepada penonton.

Bintang OIAM musim pertama yang digelar ‘Superman Malaysia’ itu melakukan perbuatan berkenaan di hadapan lebih 8,000 penonton yang menyaksikan persembahannya secara langsung yang disiarkan menerusi saluran 8TV.”

Menyanyi Separuh Bogel atas pentas dapat permit

Sebelum ini negara turut digemparkan oleh Kontroversi artis dari barat yang bermula pada malam R&B Nite di Stadium Negara pada 28 November lalu apabila K-Ci & Jojo membuka baju dan memasukkan tangannya ke dalam seluar. Lil G Of Silk turut mencemarkan persembahan dengan aksi kurang sopan ketika menari bersama dua penonton wanita.

Dalam konsert Live & Loud 07 di Bukit Kiara Equestrian Park. Pada 1 Disember lalu pula, Shaggy tampil dengan lagak lucah apabila sedang asyik menyanyi tiba-tiba memasukkan pembesar suara ke dalam seluarnya dan mengeluarkannya perlahan-lahan.

Pihak Polis, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) dan juga Kementerian Penerangan (KEMPEN) yang keluarkan permit hanya berdiam diri dan tidak mengambil apa-apa tindakkan walaupun ramai yang merungut. Akhirnya, Faizal menyanyi separuh ‘bogel’ dan tindakan ini benar-benar mencabar ‘kebisuan’ agensi Kerajaan yang mengeluarkan permit kepada penganjur.

Walaupun penonton terhibur dengan persembahan mereka, namun aksi sebegitu sungguh memalukan sekali gus mencemarkan imej negara dan juga ‘mengotorkan’ budaya Melayu yang penuh dengan sifat ketimuran.

Golongan artis adalah contoh yang sering menjadi ikutan muda mudi. Jika inilah generasi modal insan hadhari yang ditempa oleh negara ini, pada masa akan datang akan rosaklah institusi kebudayaan dan moral belia dinegara ini.

Ulama ceramah bagi ilmu kena ‘gam’

Pemudawilayah juga melahirkan rasa kesal kepada sikap Polis dan Kerajaan BN yang mengeluarkan permit untuk Konsert ‘lucah’ berkenaan sedangkan majlis-majlis ilmu yang dikelolakan oleh PAS melalui ulama’ - ulama seperti Harun Din, Nik Aziz dan ramai lagi digam dengan bersungguh-sungguh.

Program tazkirah ramadhan juga diharamkan di Selangor. Majlis ilmu dipantau sana-sini. Kalau BA dan BERSIH mohon permit mereka tolak, SB Polis dan Unit Pencegah Rusuhan akan terus dihantar atas alasan menjaga ketenteraman awam.

Begitulah cara mereka jaga rakyat dan negara ini.

Tindakan Tegas Perlu Diambil

Kalau buat perkara baik pun mereka pantau dan ambil tindakan segera, perkara buruk seperti ini kenalah lebih pantas dari itu.

Sehubungan dengan insiden yang memalukan ini, Pemudawilayah mendesak agar pihak KeKKWa dan juga KEMPEN mengambil tindakan tegas terhadap perlakuan beliau ini agar ianya tidak diulangi oleh artis-artis lain.

Selain itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga boleh mengambil tindakan undang-undang kepada beliau kerana kesalahan berkelakuan lucah dan berpakaian tidak senonoh dikhalayak ramai.

Pemudawilayah juga menasihatkan agar Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengeluarkan garis disiplin dan etika bagi ikutan artis-artis Malaysia agar mereka tidak rosak dan merosakkan orang lain.

Diharapkan agar pihak polis yang mengeluarkan permit juga bertanggungjawab ke atas hal ini kerana gagal menjaga kelakuan artis ini. Kalau parti bukan BN mohon permit buat program, Polis tak nak beri atas alasan mengganggu ketenteraman awam, tapi bila konsert sebegini yang jelas - jelas memalukan negara mereka boleh beri pula?

Jika hari ini semua pihak masih berdiam diri, tidak mustahil pada masa akan datang akan ada pula artis yang menyanyi dan berbogel atas pentas.

Diharapkan Faizal dapat sedar dari kesilapannya dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia. Kita tidak mahu budaya buruk dari luar terus menerus dibawa masuk ke negara ini sama ada melalui artis dari luar atau dalam negara sendiri.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Ulasan

Catatan Popular