Isu Hindraf: Awas api perkauman yang ditiup Umno
Basiron Abdul Wahab
Wed | Dec 05, 07 | 7:02:45 pm MYT
MARAN, 5 Dis (Hrkh) -Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu agar berwaspada dengan tindak-tanduk Umno yang sedang rancak meniupkan sentimen perkauman sempit untuk menarik sokongan orang Melayu terhadap parti itu menjelang pilihan raya umum ke-12.
Berucap dalam satu majlis penerangan di Cenur, Mahfuz berkata, melalui sentimen perkauman sempit, Umno mengharapkan orang Melayu yang sudah jemu dengan tindak-tanduk parti itu akan kembali menyokongnya; kononnya demi kepentingan orang Melayu dan agama Islam yang terancam ekoran tunjuk perasaan kaum India penyokong Hindraf, 25 November lalu.
Melalui sentimen itu Umno, ujarnya berhujah bahawa orang Melayu mesti bersatu di bawah parti itu bagi menjaga kepentingan bangsa dan agama dari ancaman kaum lain.
Mahfuz menyifatkan muslihat Umno itu sebagai pengulangan taktik yang digunakan pada tahun 1987 dahulu.
Katanya, pada waktu itu Pemuda Umno di bawah pimpinan Dato' Seri Najib Razak bertelingkah dengan Pemuda MCA yang dipimpin Dato' Lee Kim Sai.
"Kedua-duanya mengapi-apikan isu perkauman Melayu dan Cina, ekoran itu pihak keselamatan bertindak menangkap lebih seratus pemimpin politik dan NGO kononya demi keselamatan negara; mereka di tahan di bawah ISA.
"Kerana Umno dan MCA bergaduh, polis melancarkan 'Operasi Lalang' dan menangkap lebih seratus pemimpin politik dan NGO termasuklah saya di bawah ISA," katanya.
Kini ujar beliau, suasana 1987 itu sudah hampir berulang apabila Umno dan Hindraf meniupkan api perkauman untuk kepentingan masing-masing.
Walhal menurut Mahfuz, sebahagian daripada tuntutan kaun India yang disuarakan Hindraf berkaitan hak istimewa orang Melayu sebenarnya sudah dilaksanakan oleh Umno.
"Apa hak istimewa orang Melayu yang masih tinggal? Soal biasiswa, soal kuota pelajar di universiti, soal bahasa Melayu dan sebagainya telah lama dihapuskan oleh Umno," ujarnya.
Mahfuz menambah, hak istimewa orang Melayu sudah dihapuskan oleh Umno demi mendapatkan sokongan dalam pilihan raya.
"Orang Melayu kini tidak mempunyai apa-apa keistemewaan lagi di tanah airnya sendiri," katanya.
Menurut Mahfuz, tuntutan kaum India menerusi Hindraf juga memperjelaskan kegagalan konsep perkongsian kuasa ala-BN yang didakwa kononnya terbaik di dunia.
Umno, katanya gagal membentuk persepakatan di dalam BN sehingga ada anggota komponennya masih menyuarakan tuntutan dalam perkara asas yang membabitkan kepentingan orang Melayu yang sudah diterima sebelum ini.
Bekas Ketua Pemuda PAS itu juga mencabar BN mengambil tindakan terhadap wakil BN dari Cameron Highlands dan seorang anggota Exco Pulau Pinang yang telah melanggar prinsip BN dengan memberi sokongan terhadap tuntutan Hindraf.- tajdid
Ulasan
Catat Ulasan