Dewan Pemuda PAS Putrajaya berjaya ditubuhkan

Oleh AJK Penerangan Pemuda PAS Putrajaya

Ahad, 22 Zulka'edah 1428H (02 Dis 2007) - PAS Kawasan Putrajaya sekali lagi telah mengukuhkan batu asas perjuangannya apabila telah berlangsungnya Mesyuarat Penubuhan Dewan Pemuda PAS Putrajaya pada pagi tadi. Program yang berlangsung seawal jam 9.00 pagi telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hj. Hasan At-Tantawi.

Mesyuarat itu juga turut disemarakkan dengan kedatangan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, saudara Kamaruzzaman Mohamed, Ketua-ketua Pemuda Kawasan serta beberapa orang pemerhati-pemerhati dari PAS Kawasan sekitar Kuala Lumpur.

Program itu telah menampakkan kesungguhan Dewan Pemuda PAS Putrajaya apabila pihak penganjur berjaya menghimpunkan lebih 50 orang pemuda yang mendaftar sebagai ahli di kawasan Putrajaya. Program yang telah dirancang sebelum berlangsungnya Himpunan Bersih pada 10 November lalu tetap mendapat sambutan dan sokongan dari ahli-ahlinya walaupun hanya dijayakan sebetulnya dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Mesyuarat penubuhan yang pertama ini telah menyaksikan berlakunya pemilihan beberapa orang exco bagi menggerakkan Pemuda Putrajaya seperti yang diharapkan. Mesyuarat penubuhan Dewan Pemuda PAS Putrajaya ini juga merupakan milestone yang sangat sigfinikan kepada perjuangan PAS berikutan demam pilihanraya yang kian terasa hangatnya. Justeru, Pemuda PAS Putrajaya sedang giat menggerakkan ahlinya melalui beberapa program tarbiyyah dan kemasyarakatan sebagai exercise untuk mendepani cabaran dan massa.

Ini telah terbukti apabila ahli-ahlinya setelah sekian lama berjuang menegakkan agenda rakyat dan perjuangan Islam di Putrajaya ini dan telah berdepan dengan sekian banyak ancaman dan ugutan yang berbaur sinis dan dengki. Demikian seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Putrajaya yang menggantikan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Putrajaya, Yg. Bhg. Al-Fadhil Ustaz Nazir Bin Zakaria.

Katanya lagi, "Pemuda PAS Putrajaya merupakan tulang belakang perjuangan yang telah melatari perjuangan rakyat di Putrajaya ini seawal kewujudan pusat pentadbiran ini dan pilihanraya umum yang lalu."

Manakala Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Tantawi pula di dalam ucap rasminya telah menggariskan 5 tabiat perjuangan yang mesti dilalui oleh setiap Pemuda yang mendakwa dirinya sebagai seorang pejuang. " 5 Tabiat Perjuangan ini adalah warisan perjuangan para Nabi dan baginda Nabi Muhammad SAW, iaitulah berdepan dengan hukuman penjara, buang daerah, bunuh, ranjau perjuangan yang sukar dan perjalanannya yang jauh.


" Namun, katanya lagi, "Perjuangan menegakkan Islam adalah sesuatu yang mesti diteruskan kerana sudah menjadi kemestian bagi seorang pejuang yang mengimpikan keredhaan Allah. Bahkan biarlah kita, Pemuda Putrajaya, menjadi sebahagian dari apa yang dimaksudkan oleh Baginda Nabi SAW sebagai golongan yang banyak membantu perjuangan Islam."

Program yang dijadualkan berakhir pada jam 12.30 tengahari itu telah diteruskankan dengan ucapan penangguhan oleh Ketua Pemuda PAS Putrajaya yang baru sahaja dilantik. Beliau telah mengajak semua Pemuda Putrajaya untuk bersama-sama mengembleng tenaga untuk memenangkan perjuangan Islam dan rakyat pada pilihanraya umum yang akan datang.

Katanya, "Kalau dulu kita telah berjuang walau hanya dengan sedikit persediaan dan tanpa ada forum yang sah seperti pada hari ini. Maka sekarang sudah sampai masanya untuk kita maju dan berdepan secara lebih gagah untuk menelanjangkan segala kebobrokan pemerintah dan kepincangan pemerintahan yang ada. Untuk itu perjuangan kita memerlukan perngorbanan tanpa syarat samada dengan keadaan selesa ataupun berdepan dengan kesusahan."

Mesyuarat kemudiannya ditamatkan dengan acara pemberian sijil penubuhan Dewan Pemuda PAS Putrajaya sebagai simbolik kepada penubuhannya dan sesi fotografi bersama-sama perasmi dan para jemputan, sebelum masing-masing menikmati jamuan makan tengahari dan solat Zohor berjemaah.

- AJK Penerangan Pemuda PAS Putrajaya.juga di http://helangdeli.blogspot.com/

AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN>>> DPP PUTRA JAYA

Ulasan

Catatan Popular