Syabas Bersih! Mari perbetulkan demokrasi pilihan raya yang pincang

Bagi pihak PAS saya merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, keturunan dan fahaman politik, yang telah turun berama-ramai untuk menjayakan Himpunan Aman BERSIH pada hari Sabtu 10 November, 2007 yang lalu.
Ternyata Himpunan Aman BERSIH itu telah berjaya walaupun terdapat usaha untuk menggagalkannya dari berbagai pihak.

Mudah-mudahan semangat dan daya juang yang telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil itu, akan berterusan sehinggalah ianya dipenuhi oleh pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Sesungguhnya demokrasi yang diamalkan di negara kita ini tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya sistem pilihan rayanya pincang dan tempang.

Saya turut merakamkan tahniah khas kepada Unit Amal Malaysia yang di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat kerana berjaya menjalankan tugas dengan penuh berani, amanah dan dedikasi.

Dan hakikat ini bukan hanya diiktiraf oleh pihak PAS malah semua yang hadir termasuklah kebanyakkan laman-laman web bukan PAS yang turut mengiktiraf dan menghargai peranan Unit Amal Malaysia itu.

Pimpinan dan seluruh ahli-ahli dan penyokong PAS berbangga dengan keberanian, amanah dan dedikasi pasukan Unit Amal yang bertugas pada hari tersebut khasnya di kawasan Masjid Jamek, yang telah sekaligus mengharumkan nama parti dikalangan orang-ramai termasuklah media antarabangsa yang membuat liputan.

Ternyata pihak penganjur dengan bantuan Unit Amal Malaysia mampu untuk memastikan kelicinan dan ketenteraman mereka yang berhimpun secara aman pada hari tersebut, dan jika ianya berjalan tanpa gangguan sudah pasti tiada tangkapan atau penyuraian secara paksa perlu dilakukan.

Syabas dan tahniah kepada semua pihak, dan semoga perjuangan murni kita ini akan beroleh kejayaan, insyallah.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Ulasan

Catatan Popular