Masjid Islam Hadhari ,, APA KOMEN ANDA?

Masjid Islam Hadhari sedia warung teh tarik
Oleh MARZUKI YUSOFF

JERTIH 10 April 2005- Sebuah masjid baru berkonsepkan Islam Hadhari yang pertama di negara ini akan dibina di bandar ini yang antara lain menyediakan kemudahan warung teh tarik, kedai runcit, perpustakaan dan pusat tuisyen.

Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, masjid yang mungkin dinamakan Masjid Hadhari dan menelan kos kira-kira RM8 juta itu akan turut dilengkapi dengan sebuah dewan, pusat sumber atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemudahan penginapan dengan kadar sewaan rendah bagi musafir.
Selain pembinaan masjid Islam Hadhari di bandar ini, beliau juga mengumumkan cadangan kerajaan negeri membina 20 lagi masjid baru di seluruh negeri dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pusat Tamadun Islam unggul di negara ini.

``Oleh kerana kos untuk membina masjid berkonsep komuniti ini terlalu besar, maka, kita akan mulakan Masjid Islam Hadhari yang pertama di bandar Jertih yang akan dibina tidak lama lagi.

``Masjid itu bukan saja indah dari segi bentuk bangunannya yang menggabungkan seni bina Islam unggul Cordova dan Al-Hambhra, tetapi ia lengkap plbagai kemudahan yang menjadikan fungsi masjid itu berbagai dan bukan setakat tempat beribadat semata-mata, '' katanya.

Idris mengumumkan pembinaan masjid baru itu ketika berucap merasmikan pembukaan cawangan pajak gadai Islam, Muassasah Ar-Rahnu Maidam-KPAT di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Negeri, Wan Mohamad Wan Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Alwi Muhammad.

Mengenai kemudahan pusat tuisyen, Idris memberitahu, dengan adanya kemudahan itu, ibu bapa berpeluang menyertai program-program keagamaan di masjid manakala anak-anak mereka pula pada masa yang sama dapat mengikuti tuisyen.

``Apabila program agama sudah selesai, ibu bapa dapat minum teh tarik di warung yang disediakan sementara menunggu anak-anak mereka habis kelas tuisyen di masjid.
``Jika ibu bapa teringat nak beli barangan setelah selesai solat dan kedai tutup, mereka tidak perlu keluar jauh-jauh kerana mereka boleh mendapatkan barangan itu di kedai runcit dalam Masjid Hadhari yang turut dilengkapi mesin fotostat, alat tulis dan sebagainya,' ' katanya

Ulasan

Catatan Popular