Tuntut pilihan raya adil - Perhimpunan Rakyat 10 November ini di Dataran Merdeka

Intan Abdullah
Harakahdaily

Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) akan menganjurkan satu perhimpunan raksasa yang dinamakan perhimpunan rakyat pada Sabtu 10 November ini di Dataran Merdeka.

Dalam satu pengumuman yang dibuat pada sidang media hari ini, BERSIH dijangka akan mengadakan perhimpunan tersebut bermula jam 3 petang.

"Perhimpunan tersebut seterusnya akan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum tuntutan rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyuarakan hasrat rakyat untuk menjalani pilihan raya yang bersih dan adil seperti yang terkandung di dalam tuntutan BERSIH sebelum ini," ujar wakil Jawatankuasa Bersih di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut tengahari tadi.

Menurut Jawatankuasa BERSIH, Sivarasa Rasiah, ia juga sebagai satu ketetapan yang telah diambil oleh mereka yang menjangkakan bahawa pilihan raya umum ke-12 akan diadakan seawal November.

"Kami membuat telahan tersebut berdasarkan situasi Umno-BN yang kini berada keadaan terdesak, setelah melalui dua insiden yang menekan mereka iaitu peristiwa berdarah di Batu Buruk serta pendedahan video klip rasuah peguam dan hakim negara," jelasnya.

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ujarnya mungkin akan membuat pengumuman tarikh PRU 12 lebih awal untuk mengeluarkan diri mereka daripada tekanan-tekanan tersebut sepertimana yang dibuat oleh PM sebelumnya pada PRU 1999.

"Ia adalah suatu jangkaan kritikal dibuat BERSIH berbeza dengan beberapa tekaan yang dibuat oleh beberapa parti politik sebelum ini," ujar AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula,

Tindakan mengadakan perhimpunan tersebut adalah rentetan daripada resolusi Konvensyen Rakyat beberapa bulan yang lalu.

Koordinator Badan Penggerak Demokrasi Rakyat, Anuar Tahir berkata tarikh pilihan raya bukan suatu fokus yang utama bagi BERSIH sebaliknya tuntutan reformasi rakyat terhadap perjalanan pilihan raya perlu terus dihidupkan.

"Kerana ia mungkin akan mengundang kecurangan dalam PRU 12 sebagaimana yang berlaku dalam PRU 2004 yang lalu," jelasnya.

Penganjur juga ujarnya sedang berusaha menyelesaikan urusan mendapatkan permit untuk mengadakan perhimpunan tersebut, serta telah menggerakkan ahli-ahli parti atau pertubuhan yang bergabung dalam gabungan tersebut bagi menjayakannya.

"Kami juga telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan risiko yang bakal berlaku nanti," tambah Sivarasa.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama BERSIH turut memaklumkan bahawa mereka akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung isu tragedi berdarah di Batu Buruk pada 8 September lalu.

"Setelah mengadakan mesyuarat hari ini, kami membuat keputusan untuk menghantar surat kepada Suhakam mengenai permintaan kami agar diadakan satu siasatan menyeluruh terhadap tragedi tersebut memandangkan Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam telah membawanya ke mesyuarat mereka semalam," ujarnya.

Bersih berharap akan mendapat keputusan yang positif daripada hasil mesyuarat tersebut, seterusnya membawa kepada tindakan bersepadu supaya perkara tersebut tidak akan berulang.

"Malangnya, media arus perdana sengaja memainkan taktik 'kewartawanan jahat' yang sentiasa diulang tayangan menyebabkan persepsi buruk rakyat kepada Bersih dan parti pembangkang," tambah Dr Dzulkefly.

Bersih menyatakan kekesalan dan menyelar tindakan parti pemerintah yang menggunakan media arus perdana sebagai jentera menyebarkan propaganda jahat serta kempen untuk merosakkan imej parti-parti pembangkang.

Ulasan

Catatan Popular