Kerja gila HEP UIAM

Oleh:Ahmad Lutfi Othman
Apa yang berlaku di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), satu-satunya universiti yang belum dikuasai Aspirasi-Umno, lewat petang semalam, membuktikan "ketamakan kuasa" mengatasi segala pertimbangan waras. Proses penamaan calon yang sudahpun berakhir tiba-tiba dibuka semula.

Memang ada alasan dan rasional (sebenarnya langsung tak masuk akal) daripada pihak HEP, tetapi motifnya jelas, yakni untuk, sedaya mungkin, menimbulkan kekecohan dan provokasi, seterusnya bagi memberi laluan sukar kepada kumpulan Pro-Mahasiswa, yang secara rasmi telahpun menang tanpa bertanding pada 9 kerusi.

(Malah, saya yakin UIAM mahu membatalkan proses pilihan raya kampus itu sendiri bagi membolehkan mereka sendiri membuat perlantikan anggota MPP. Ini disebabkan kumpulan Aspirasi-Umno terbukti tiada jalan lagi untuk mengalahkan Pro-Mahasiswa di UIAM).

Sebenarnya kumpulan Pro-Mahasiswa menambahkan lagi penguasaan kerusi tanpa bertanding apabila seorang calon Aspirasi-Umno Kuliah Kejuruteraan menarik diri. Sebelum ini hanya tiga calon mendaftar, dua lagi daripada Pro-Mahasiswa.

Dengan itu, kerusi yang dimenangi sebelum hari mengundi meningkat kepada 11 kerusi.

"Malang" bertindan-tindih kepada kumpulan Aspirasi-Umno yang dikaitkan dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu apabila dua lagi calonnya telah melanggar peraturan kempen. Mereka mempamerkan poster calon tanpa mendapat kebenaran pihak HEP. Mengikuti rekod ada calon yang terbatal kelayakan mereka selepas melakukan kesalahan serupa.

Maka, kumpulan Pro-Mahasiswa memperolehi dua lagi kerusi di Kuliah Ekonomi kerana Aspirasi hanya menghantar seorang calon di situ bagi merebut dua kerusi. Secara keseluruhan Pro-Mahasiswa "senang-senang" dapat meraih 13 kerusi dan peluangnya untuk menguasai MPP amat cerah memandangkan mereka hanya perlu menang satu kerusi sahaja lagi pada hari mengundi, 2 Oktober nanti. Majoriti mudah ialah menang 14 kerusi daripada 27 kerusi yang ditawarkan.

Sepatutnya Pro-Mahasiswa sudah menang 13 kerusi tanpa bertanding

Lantaran itu mungkin pihak UIAM menghadapi tekanan teruk daripada "taukeh politik" mereka kerana membiarkan Pro-Mahasiswa menang mudah sebelum hari mengundi lagi. Perlu ditegaskan bahawa orang di belakang kumpulan Aspirasi di UIAM ialah Presiden GPMS, Reezal Merican Naina Merican, iaitu Setiausaha Politik Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri.

Dengan notis baru itu, semua calon yang diisytihar menang tanpa bertanding, tidak boleh menarik nafas lega kerana jika pada hari penamaan calon kedua nanti, 30 September, ada pelajar lain yang menawarkan diri, maka kemenangan tanpa bertanding itu akan terbatal secara automatik. Ini bermakna calon-calon hanya mempunyai sehari setengah untuk berkempen kerana hari mengundi pada 2 Oktober tidak pula ditunda.

Bayangkan dalam waktu sesuntuk itu bagaimana calon-calon dapat berkempen dan memberi penjelasan tentang visi dan misi mereka kepada masyarakat kampus? Dari segi lain, calon-calon yang mendaftar pada 26 September kini dihukum bukan disebabkan kecuaian mereka, tetapi berpunca daripada "ketempangan" pengurusan UIAM sendiri mengatur pilihan raya kampus. Jelas, ia satu "lawak-jenaka" demokrasi yang patut dimasukkan dalam senarai rekod Malaysia Boleh!

Saya tidak fikir calon-calon yang menang tanpa bertanding itu gentar untuk menghadapi proses pemilihan, malah pertandingan akan menjadi lebih rancak dan bertambah sihat jika semakin ramai pelajar yang berminat untuk mengetengahkan bakat kepimpinan masing-masing. Bukankah kampus merupakan gelanggang paling sesuai untuk anak-anak muda kita menyuburkan potensi diri khususnya bagi mencedok pengalaman berorganisasi dan menyelami dengan lebih dekat ragam "percaturan politik" menara gading?

Peranan Prof Syed Arabi Idid

Walau bagaimanapun, tujuan pentadbiran UIAM membuka semula pencalonan itu tidak sukar untuk diteka motif jahatnya. Ia adalah rentetan taktik kotor yang dirancang sejak sekian lama, dan tambah menjadi-jadi dengan perlantikan rektor barunya, Prof Syed Arabi Idid. Sekurang-kurangnya pegawai-pegawai kanan UIAM mahu menunjukkan kepada Umno bahawa mereka telah melakukan apa juga strategi dan kaedah bagi menyekat kumpulan pelajar yang dianggap tidak selari dengan pemerintah daripada terus menguasai MPPUIAM.

Bukankah sekarang musim pegawai-pegawai kanan universiti, khususnya di peringkat timbalan-timbalan naib canselor dan dekan HEP ghairah berlumba-lumba menunjukkan "jasa-bakti" mereka kepada elit politik di Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri sendiri?

Di UIAM, perancangan busuk itu dikatakan bermula di pejabat Rektor sendiri apabila Timbalan Rektor HEP, Ustaz Hamidon Abdul Hamid dicurigai berupaya melaksanakan konspirasi jelik. Menurut sumber, banyak pertemuan sulit TTNC HEP yang membabitkan semua IPTA mengecualikan Timbalan Rektor HEP UIAM itu, mungkin untuk mengelak kebocoran "maklumat", walaupun hakikatnya ia sering bolos ke bilik berita Harakah dengan perantaraan tertentu.

Peristiwa "penggantungan" MPP UIAM sessi lalu selama lebih 4 bulan merupakan rakaman sejarah politik kampus terburuk yang harus selalu diungkit. Pada hemat saya, tindakan itu perlu dikutuk, bukan sahaja kerana menafikan suara majoriti mahasiswa UIAM, tetapi juga melambangkan sikap memihak pentadbiran universiti dalam "ribut di cawan kopi" sesama pelajar.

Semua pihak mesti bantah penamaan calon semula

Ia juga menunjukkan Rektor mahu terus menjalankan fungsinya dahulu (sebelum bertugas di UIAM) sebagai "petugas Umno" dan ini melanggar amanah negara untuk membina modal insan bertaraf dunia.

Saya menggesa semua pihak yang prihatin dengan perkembangan demokrasi di negara ini, khususnya parti-parti politik pembangkang dan NGO hak asasi menyuarakan bantahan rasmi terus langsung kepada UIAM. Apa yang berlaku di sana begitu menjolok mata, tak masuk akal dan sengaja mahu mencetuskan provokasi agar mahasiswa berang dan "bangun memberontak", seterusnya mudahlah pihak universiti membatalkan pilihan raya kampus berkenaan.

Seluruh mahasiswa UIAM mesti didedahkan dengan situasi sebenar di kampus mereka sendiri. Biar mereka tahu tentang segala "kebusukan" yang berlaku. Kepada semua calon yang sudah mendaftar, usah termakan umpan provokasi murahan ini. Tidak timbul isu pilihan raya kampus perlu diboikot kerana itulah yang dimahukan pihak universiti.

Apa pun mereka wajar sekali merakamkan bantahan sekeras-kerasnya, bukan sahaja kepada "abdi Umno di UIAM" itu, tetapi juga kepada Perdana Menteri, KPT dan juga Suhakam.

Maklumat perlu disebar-luaskan. Inilah masanya rakyat dimaklumkan sejelas-jelasnya tentang taktik keji golongan desperado yang sanggup melakukan apa saja kaedah bagi memenuhi nafsu serakah mereka.

Ulasan

Catatan Popular