Awas, tanpa tauliah anda tak boleh jadi imam solat fardhu!

NIBUNG TEBAL, 31 Julai (Hrkh) - Awas kepada seluruh umat Islam di Malaysia! Kalau anda tidak ada tauliah, jangan cuba atau memandai untuk menjadi imam solat fardhu di mana-mana surau atau masjid.

Begitulah yang boleh disimpulkan apabila kerajaan Islam Hadhari pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kini seolah membawa umat Islam ke arah ajaran baru yang membahayakan iaitu seseorang tidak boleh menjadi imam tanpa tauliah.


Jika tidak ditauliah, anda tidak boleh menjadi imam walaupun diajak oleh kariah di surau atau masjid berkenaan.

Dan jika tiada imam lantikan daripada Pejabat Agama, maka sesiapa pun tidak boleh mengimami solat-solat di surau atau masjid sekaligus membiarkan waktu solat berlaku tanpa didirikan solat secara jemaah.

Dan akhirnya, jika anda tetap untuk mengimamkan solat jemaah walaupun dengan niat untuk berjemaah, memakmurkan masjid atau surau walau disuruh oleh kariah di sesebuah surau dan masjid maka akhirnya anda akan ditangkap polis dan didakwa di mahkamah!

Demikian senario mutahihr yang berlaku. Ikuti pertemuan wartawan Harakahdaily dengan mangsa bekas Imam yang ditangkap kerana mengimamkan solat fardhu di Seberang Perai Selatan baru-baru ini.

Imam dan Bilal Masjid Jamek Tasek Chempedak, Simpang Empat, Seberang Perai Selatan (SPS), Haji Shabudin Haji Ismail, 65 dan Haji Zakaria Rejab ,60, yang disoal siasat penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Isnin lepas kerana kesalahan mengingkari arahan Pejabat Agama menganggap diri mereka diperangkap untuk menakutkan masyarakat supaya akur terhadap pelantikan imam baru, Haji Zakaria Saad.

Masalahnya sekarang, imam yang dilantik jarang ada di kariah dan jika ada pun jarang ke masjid tambahan lagi malam yang ada kuliah agama.

"Pejabat Agama patut panggil imam yang dilantik supaya lebih agresif dan amanah menjalankan tugasnya bukan menahan kami yang cuba menyelamatkan keadaan apabila ketiadaan imam yang bertauliah," ujar Haji Shabudin terhadap soalan penguatkuasa kenapa beliau terus jadi imam sedangkan jawatan yang disandangnya selama 10 tahun ditamatkan 27 Julai lepas.

Katanya, beliau menjadi imam pada malam selepas dipecat bukan kehendaknya bahkan kehendak makmun kerana imam yang dilantik tidak 'nampak batang hidung'.

Rupanya malam itu satu perangkap untuk mengaitkan dirinya kerana melanggar arahan Pejabat Agama kononnya imam yang bertauliah sahaja boleh mengimamkan sembahyang sama ada sembahyang lima waktu atau fardhu Jumaat.

Bilal masjid yang turut ditahan untuk disoal siasat di Balai Polis Simpang Empat, Haji Zakaria Rejab hairan dirinya juga dipersalahkan kerana pernah menjadi imam sembahyang lima waktu di masjid berkenaan.

Padahal dulu tegasnya, perbuatan seumpama itu tidak pernah timbul sebaliknya digalakkan bagi melahirkan generasi yang boleh ke hadapan untuk memimpin ummah.

"Imam bukan jawatan 'glamour' tapi tanggungjawab yang berat. Ia bukan sahaja bertindak memimpin ummah ketika mengadap Allah SWT tetapi juga bertindak mengawasi masyarakat agar tidak melanggari suruhan agama, " terangnya lagi.

Semasa disoal siasat pun sambungnya, beliau memberitahu penguatkuasa Pejabat Agama supaya lebih menitik beratkan golongan yang tidak sembayang daripada mengawasi golongan yang tunduk dengan perintah ilahi.

Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) pada 23 Julai lalu dalam mesyuarat bilangan 3/2007 telah memutuskan untuk menamatkan jawatan imam, Haji Shabudin Haji Ismail dan surat pemecatan diterima pada tengahari hari Jumaat 27 Julai.

Setiausaha Maipp, Haji Sazali Haji Husein bukan sahaja menandatangani surat pemecatan itu bahkan sebelum ini juga bertindak mempamerkan kepada masyarakat di situ tentang notis arahan yang dikeluarkan oleh Maipp.

Antara 10 arahan tersebut ialah dilarang mengadakan solat jemaah dua imam secara serentak, dilarang mengadakan solat zohor sama ada berjemaah atau berseorangan semasa solat Jumaat atau selepas solat Jumaat.

Dilarang imam yang tidak dilantik dan tidak ditauliahkan oleh Maipp atau diberi kebenaran khas oleh Maipp untuk mengimamkan solat Jumaat atau solat fardhu yang lain.

Di larang menjemput penceramah yang tidak bertauliah atau tidak mendapat kebenaran Maipp, di larang mengatur atau mengendalikan ceramah, kuliah, usrah dan apa-apa aktiviti dalam atau di kawasan masjid tanpa kebenaran bertulis daripada Pengerusi Jawatankuasa Qariah Masjid.

Dilarang mengadakan aktiviti ibadah atau lain-lain program dalam bentuk atau cara yang boleh disifatkan mengganggu jemaah lain dalam masjid, dilarang menggunakan masjid lama Tasek Chempedak seperti arahan surat (22PADSPS/Q/6) bertarikh 20 Jun 2007.

Dilarang menimbulkan unsur-unsur kacau ganggu sehingga boleh menimbulkan ketidak selesaan, pertelingkahan, perpecahan dan lain-lain kepada anak qariah, dilarang menyebarkan fitnah, buruk sangka termasuk menghasut anak -anak qariah di dalam masjid dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Qariah melalui mesyuarat jawatankuasa.

Kedua-dua mangsa Kerajaan Islam Hadhari itu ditahan sekitar jam 7.00 malam di kediaman masing- masing 29 Julai lalu dan dibawa dengan kenderaan penguatkuasa Maipp menuju ke Balai Polis Simpang Empat untuk disoal siasat.

Mereka akhirnya dibebaskan jam 10.30 malam dengan jamin mulut dan kes mereka akan didengar di Mahkamah Jawi pada 24 Ogos nanti jam 9.00 pagi. - mks.

Ulasan

Catatan Popular