Sheih Merapu: Baju Baru, Seluar Dalam Lama

Saya tertarik menelaah “Kajian Saintifik Tentang Isu-Isu Di Malaysia” oleh Dr. Dzulkifley Ahmad. Apa yang paling menarik ialah hasil kajian itu menunjukkan hanya 4% pengundi beragama Islam yang meletakkan faktor agama sebagai isu penting di dalam mereka membuat keputusan membuang undi.

Saya juga tertarik dengan rumusan beliau bahawa undi kepada parti pembangkang kini sudah mencapai tahap tepu iaitu 40%. Tidak mungkin parti-parti pembangkang Malaysia akan dapat menikmati jumlah undian lebih tinggi dari itu dengan menggunakan strategi dan isu-isu yang mereka perjuangkan sekarang. Dengan kata lain, berdasarkan strategi dan isu-isu mereka sekarang, adalah mustahil mereka akan dapat menawan Parlimen Malaysia bahkan, lebih dari itu, berdasarkan rekod pilihanraya yang lalu, perolehan sebanyak 40% undi popular tidak juga memungkinkan mereka mendapat jumlah kerusi yang membanggakan di Parlimen. Bahkan, adalah tidak mustahil, dengan memperoleh 40% undi popular, mereka mungkin hanya ada 1 atau dua kerusi di Parlimen Malaysia.

Pandangan peribadi saya menerusi analisa tidak saintifik, turut diperkukuhkan oleh kajian saintifik Dr. Dzul, apabila beliau merumuskan bahawa “voters are willing to vote for the oppositions”. Jawapan yang mendahului persoalan itu ternyata dibuktikan hari ini secara saintifik berdasarkan metodologi yang boleh diterima pakai. Jawapan ini menyelesaikan persoalan sentimen masyarakat bandar dan juga masyarakat bukan Melayu terhadap kepimpinan pemerintah negara sekarang.Namun begitu, seperti juga Dr. Dzul, saya juga berpendapat ada satu persoalan besar yang harus di majukan sebelum jawapan itu boleh di angkat.

Persoalannya ialah, “Are we ready to go and get that votes?”. Sudah pasti jawapannya “Yes!” Mana mungkin Parti PAS, DAP atau PKR tidak mahu menolak sebarang undi yang mahu diberikan kepada mereka.

Berdasarkan kepada andaian bahawa semua parti politik ingin semua undi yang mahu diberikan kepada mereka, saya majukan satu soalan cepu mas. Soalannya “Are we ready to go and get their votes?”.

Saya berharap hasil kajian saintifik ini dapat di sebarkan kepada umum menerusi percetakan yang berkualiti kerana jelas ia terkandung segala intipati strategi yang harus diperguna pakai.Dr. Dzul juga secara jelas tetapi berhalus mengetengahkan polemik berikut, “Politik” atau “Dakwah”. Tanpa mahu menyinggung mana-mana pihak atau menyentuh sensitiviti menjelang Muktamar Tahunan hujung minggu ini, Dr. Dzul hanya menyentuh polemik tersebut sekali lalu. Namun bagi saya, itulah klimaks kepada kajian saintifiknya dan seharusnya polemik itu bukan sahaja menjadi tajuk kepada kajian, tetapi juga menjadi matlamat utama yang cuba dikupas oleh kajian tersebut.

Berdasarkan pandangan peribadi saya, Parti Pas sudah memiliki satu rangkaian organ Parti yang berkesan didalam menyalurkan komunikasi intra parti sama ada antara ahli dan juga pemimpin peringkat negeri. Harakah dan TV PAS sebenarnya adalah benchmark kepada organ komunikasi intra parti di Malaysia. UMNO sendiri tidak mempunyai (tidak memerlukan) organ komunikasi sehebat itu untuk berkomunikasi dengan ahli parti. Organ komunikasi parti ini penting bagi menjamin ‘yang di kendung tidak berciciran’.

Namun dengan hanya bergantung kepada organ komunikasi parti ini parti sahaja sudah pasti menyebabkan ‘yang dikejar tak dapat’. Sebagai sebuah organ parti, Harakah ibarat sebuah akhbar makmal. Begitu juga TV PAS. Sebagai sebuah media makmal, editorialnya terikat kepada menyampaikan suara parti kepada ahlinya. Edarannya juga hanya dibenarkan buat ahli.Kebelakangan ini, kita juga diperkenalkan dengan kemunculan Sahsiah dan Wasilah. Jelas, harapannya ialah bagi mengejar pengundi yang diluar ruang lingkup Harakah.

Malangnya, kedua-dua akhbar ini masih taksub kepada semangat kepartiannya mengakibatkan ia menjadi akhbar untuk memperkukuhkan apa yang diutarakan oleh Harakah. Justeru itu penjenamaannya masih di dalam ruang lingkup Harakah dan juga peminat-peminat politik tanahair.

Siapakah yang mahu menodai pengundi dara yang berleluasa tanpa agenda politik. Majoriti pengundi yang berdaftar di Malaysia bukanlah ahli mana-mana parti politik. Mereka juga kebanyakannya tidak berminat dengan politik apatah lagi menghadiri ceramah-ceramah politik, menonton rangkaian politik dan membaca Harakah atau Siasah. Kebanyakan mereka bukan warga Kelantan atau berada di luar Kelantan dan diluar ruang sasar Wasilah.

Bagaimana kita mahu mengetuk pintu hati mereka? Apakah modus operandinya? Di dalam kita menyelar UMNOPUTRA kita harus sedar, selaran kita itu sebenarnya hanyalah sentimen. Tetapi UMNOPUTRA adalah satu kejayaan Public Relations yang hebat. UMNO menerusi akal Khairy Jamaluddin telah berjaya mengetuk pintu hati golongan yang kita singkirkan berdasarkan sentimen kebencian kita. Mat Rempit kini berterima kasih kepada Khairy kerana menjadikan mereka wira negara. Sedangkan kita masih lagi mengeluh bagaimana UMNO tergamak menjadikan Mat Rempit sebagai wira negara?

Bukankah PAS sebuah parti politik? Bukankah PAS merasakan mereka adalah government in waiting? Memang PAS layak. Tiada persoalan. Mereka telah membuktikannya di Kelantan menerusi gabungan kepimpinan ulamak dan golongan profesional.Haruskah di bakar jambatan itu sekarang sewaktu negara berdepan dengan polemik UMNO yang mengalami masalah kepimpinan maha hebat?

UMNO pernah berdepan dengan pelbagai polemik kepimpinan tetapi UMNO tidak pernah menghadapi masalah kepemimpinan yang berwibawa seperti hari ini. Haruskah PAS menolak peluang ini sedangan mereka sebuah Parti Politik?Projek Mat Rempit adalah salah satu projek opportunis yang secara tidak langsung menjenamakan semula UMNO bagi masyarakat muda. Ia tidak menjenamakan masyarakat muda dengan imej UMNO.

Sehingga hari ini, rata-rata warga negara Malaysia di luar Kelantan tidak arif dengan kejayaan PAS membangunkan Kelantan. Adakah salah mereka atau kesilapan strategi memasarkan kejayaan itu oleh PAS. Saya benar-benar yakin jika PAS berjaya menyalurkan maklumat kejayaan di Kelantan kepada warga Malaysia, dan mereka ini dapat menyaksikan sendiri kejayaan itu, PAS pasti dapat menawan hearts and minds golongan bukan Melayu dan juga golongan Melayu pertengahan.

Tertegaknya bangunan PAS di tengah bandar Kuala Lumpur di kawasan yang rata-ratanya bukan Melayu membuktikan ada daya usaha untuk membiasakan PAS dengan masyarakat bukan Melayu dan masyarakat bandar. PAS tidak harus lagi menjadi parti kampung yang tertumpu di kawasan kampung-kampung sebagai kubu kuat mereka.Jika sesetangah golongan merasakan bahawa peluang PAS cerah di kampung-kampung, mereka juga harus sedar, kubu kuat UMNO juga adalah di kawasan luar bandar. Jika sesetengah golongan merasakan bahawa kekuatan PAS hanyalah di kawasan majoriti Melayu, mereka juga harus sedar kekuatan UMNO juga di kawasan majoriti Melayu. UMNO menang lebih banyak kerusi berbanding PAS di kawasan-kawasan Melayu dan kawasan luar bandar.Kalau di eksportkan kejayaan di Kelantan kepada masyarakat bukan Melayu, sudah tentu mereka akan tertarik dengan perlaksanaan pembangunan ekonomi PAS kerana jelas mereka sudah jelak dengan segala titik-titik hitam di dalam perlaksanaan dasar ekonomi yang diterajui UMNO.Tetapi apakah kejayaan PAS di Kelantan yang amat-amat saya banggakan itu? Kalau anda tidak tahu, maka itu bukti bahawa sesuatu harus di lakukan segera bagi memperbaiki saluran penyampaian maklumat itu.

PAS memerlukan saluran penyampaian maklumat alternatif di dalam menyampaikan maklumat kepada golongan pengundi dan masyarakat yang bukan ahli PAS dan bukan penyokong PAS. Organ komunikasi Parti sekarang tidak akan berupaya menembusi tembok itu dengan berkesan dan meluas.

Sebagai sebuah parti politik, sudah tiba masanya PAS meruntuhkan tembok yang merintangi antara mereka dan masyarakat yang bukan penyokong mereka. Di waktu Harakah, Sahsiah, TV PAS, aktiviti ceramah, usrah dan lain-lain anjuran organ parti memastikan yang di kendong tidak berciciran, sesuatu jentera baru amat-amat diperlukan bagi memastikan yang di kejar akan dapat.

Bukankah PAS sebuah parti Politik? Noktah.

: Sheih Merapu

Ulasan

Catatan Popular