Memang tugas saya lemahkan parti pembangkang’

REMBAU 27 Mei – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, memang menjadi tugasnya untuk melemah dan merosakkan parti pembangkang.

‘‘Memanglah kerana saya orang UMNO dan tugas saya adalah untuk merosak dan membunuh pembangkang,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi segera berhubung cadangan seorang wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya beliau dihalang daripada mengkritik kepimpinan pembangkang.

Dalam Kongres Nasional Tahunan PKR ke-4 hari ini, wakil dari Wilayah Persekutuan, Othman Karim mendakwa, Khairy merupakan perosak parti pembangkang malahan pembangkang perlu menghalang serangan yang dilakukan oleh Khairy terhadap mereka.

‘‘Khairy perosak parti pembangkang, dia ‘membunuh’ perjuangan pembangkang. Kita perlu hentikan serangan Khairy ini,’’ katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau tidak gentar dengan ‘ancaman’ pembangkang yang mahu melontarnya dengan terung atau telur busuk dan tomato.

‘‘Kalau mereka nak sambut saya dengan terung atau telur busuk dan tomato… silalah saya tak takut,’’ ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat UMNO cawangan Pedas Tengah, di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy menegur sikap sesetengah ahli UMNO yang menjadi alat kepada parti pembangkang untuk melemahkan parti dan barisan kepimpinan.

Beliau menasihatkan mereka supaya menumpukan perhatian kepada agenda untuk menguat dan mengukuhkan parti dan bukannya menjadi perosak kepada UMNO.

Menurutnya, jika berasa tidak puas hati terhadap parti, mereka disaran menggunakan saluran yang sepatutnya dan bukan menyuarakannya kepada pihak pembangkang.

“Saya harap kepimpinan dan ahli-ahli parti jangan layan dan beri sokongan kepada mereka kerana apa yang penting kita mesti tumpukan kepada agenda sebenar perjuangan UMNO,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai sikap sesetengah ahli UMNO yang menggunakan akhbar pembangkang untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap parti dan pemimpin.

Tegas Khairy, ahli-ahli terbabit tidak boleh membuang masa dengan membuat serangan dalam parti kerana musuh yang sebenar ialah pihak pembangkang yang berada di luar.

Sepatutnya, kata beliau, mereka harus menumpukan usaha untuk menguatkan sokongan rakyat kepada UMNO dan bukannya membantu pihak pembangkang mendapat simpati rakyat.

“Akhirnya kita sendiri yang akan rugi kerana parti akan menjadi lemah dan sokongan rakyat berpindah kepada pembangkang. Pastikan kita tumpu perhatian untuk menguatkan parti,” ujarnya.

May 27th, 2007 Posted by radenjowo

Ulasan

Catatan Popular