30% lulusan IPTA menganggur

The Star Melayu

KUALA LUMPUR: Cuma 30 peratus pelajar lepasan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini masih menganggur walaupun selepas enam bulan mereka menamatkan pengajian.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Keat berkata angka itu diperolehi hasil satu kajian pengesanan yang dilakukan oleh kementerian tahun lepas yang membabitkan 108,236 responden dari masing-masing 18 universiti awam dan politeknik.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, beliau berkata kajian terhadap atas universiti awam mendapati dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian 42.2 peratus pelajar mendapat pekerjaan, manakala 31 peratus masih menganggur.

Selain itu, kataya 17.7 peratus pelajar melanjutkan pengajian, 1.8 peratus meneruskan pengajian dalam bidang lain, manakala 7.4 peratus menunggu tawaran latihan dalam bidang perguruan.

Ong berkata di politeknik pula 30.5 pelajar masih menganggur setelah enam bulan tamat pengajian manakala 49.8 peratus lagi berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh itu.

Katanya 18.4 peratus pelajar melanjutkan pelajaran manakala 1.2 peratus meningkatkan kemahiran dalam bidang lain manakala peratusan di kolej komuniti pula menunjukkan peratusan yang tidak banyak berbeza daripada universiti awam dan politeknik.

Beliau berkata pengangguran di kalangan siswazah didorong oleh banyak sebab termasuk bidang pengkhususan yang diambil tidak menepati keperluan semasa.

"Bagaimanapun, punca utama ialah sikap pelajar itu sendiri yang ada kalanya terlalu memilih pekerjaan," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) pada sesi soal jawab di sidang Dewan Rakyat, Ong berkata kerajaan sentiasa memantau kursus yang ditawarkan di IPTA dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi mempastikan ia menepati kehendak pasaran kerja semasa.

Beliau berkata ini merupakan salah satu strategi pembangunan modal insan bagi memenuhi perancangan dan keperluan guna tenaga negara untuk menghadapi cabaran globalisasi.

"Kita akan sentiasa menyemak dan mengemas kini kurikulum IPTA agar ia sentiasa relevan dengan kehendak pasaran kerja.

"Selain itu, kementerian juga menyelaraskan latihan industri selama enam bulan bagi memberikan lebih pendedahan secara praktikal, kemahiran berkomunikasi dan pengalaman bekerja kepada pelajar sewaktu pengajian di IPTA, kataya. BERNAMA

Ulasan

Catatan Popular