Jihad Putera UMNO

Dalam Buletin Utama siaran Khamis 22hb Mac yang lalu, ada disiarkan berita mengenai kumpulan penerjun payung Putera UMNO yang akan terjun di Kutub Utara tidak berapa lama lagi. Dalam siaran tersebut, ada ulasan dari bekas
imam Masjid Negara, Mohd. Pirdaus yang menyatakan bahawa penerjunan tersebut adalah satu jihad dengan alasan, semua perbuatan menaikkan nama Islam adalah satu jihad.

Saya jadi tersentak. "Ugh… UMNO sudah terdesak hendak dapatkan sokongan rakyat," bisik hati saya.
Cerita ini, cerita tentang 'keberanian' Putera UMNO ini memang sudah lama tersebar. Dan seperti mana kebiasaan, apa sahaja yang dilakukan oleh pihak parti pemerintah akan dilihat sebagai mulia dan bijak. Namun saya tidak
mahu komen tentang ini. Dan tentang penerjunan ini, walaupun disifatkan sebagai membazir oleh sesetengah pihak, bagi saya tidak menjadi masalah selagi ianya tidak menggunakan dana rakyat.



Tetapi tindakan melabelkan perbuatan ini sebagai satu jihad saya lihat sebagai melampau. Mungkin tujuannya untuk menaikkan semangat peserta dan 'memuliakan' tindakan Putera UMNO tetapi sebenarnya ianya menjatuhkan
kemuliaan Jihad itu sendiri. Ia sebenarnya menghina Jihad. Menjadikan Jihad itu sebagai satu aktiviti biasa, seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kursus Biro Tatanegara (BTN).

Manakan tidak, cuba lihat para peserta yang bakal membuat penerjunan. Dengan rambut yang berwarna, terutama di bahagian jambul yang termasuk dalam anggota wajib wudhu, bolehkah orang seperti ini dilabelkan sebagai
mujahid? Mujahid UMNO, mungkin. Tetapi Mujahid Islam adalah jauh panggang dari api. Takkanlah hanya kerana kuliah agama yang diadakan pada setiap malam maka aktiviti ini sudah boleh dianggap Islamik?

Sekali lagi, saya tidak menentang program ini. Mungkin ada baiknya Putera UMNO memancing mereka yang pernah terlibat dalam aktiviti sia-sia menyertai program ini. Sekurang-kurangnya ada juga yang boleh mereka lakukan. Hanya
saya terkilan dengan kenyataan bekas Imam Masjid negara. Mengapa memartabatkan mereka sehingga sebegitu rupa? Apa yang mulia sangat terjun di kutub utara itu?

Jika penerjunan itu dianggap satu jihad, satu kerja mulia, bagaimana pula dengan aktiviti keagamaan yang lain? Bagaimana dengan menuntu ilmu? Setahu saya, inilah aktiviti yang disebut sebagai satu jihad. Malahan, jika
seorang penuntut meninggal dunia ketika sedang menuntut ilmu atau dalam perjalanan ke arah itu, maka dia dikatakan mati syahid. Tetapi, apa yang UMNO lakukan kepada mereka?

Sekolah Agama Rakyat dipaksa tutup. Bantuan dihentikan. Malah sekolah ini dilabel sebagai sekolah pengganas. Apakah menuntut ilmu agama lebih hina dari terjun payung di kutub utara? Baiklah, bagaimana dengan menuntut ilmu
di sekolah-sekolah kerajaan? Para pelajar dinafikan hak mendapat bantuan dengan penamatan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Apakah menuntut ilmu ini juga tidak semulia perbuatan penerjunan Putera UMNO?

Bagaimana pula dengan pergerakan yang lain yang sibuk berusaha memartabatkan Islam dengan pelbagai cara dan bentuk? Bagaimana dengan kumpulan dakwah Jemaah Tabligh yang sering dihalang dalam tugas menyampai
mereka? Bukan setakat dikenakan bayaran apabila iktiqaf di masjid-masjid, bahkan di sesetengah surau milik UMNO, jemaah ini dilarang terus untuk mengunjunginya.

Apakah tugas menyampaikan ini juga tidak cukup mulia untuk diisytiharkan sebagai Jihad? Dan, bagaimana pula dengan kedudukan satu parti politik yang cuba meletakkan Islam sebagai sistem pentadbiran di Malaysia, yang cuba
mengamalkan Hukum Hudud yang telah diwajibkan. Mereka ini dituduh dengan pelbagai tuduhan palsu sedangkan, inila kerja memartabatkan Islam yang sebenarnya.

Bukan membuat penerjunan di Kutub Utara. Baiklah, setelah terjunan dibuat, apa kesannya kepada agama? Berapa ramai orang kafir yang dijangka akan memeluk agama Islam? Berapa ramai perbuatan mungkar dapat dihalang dan
perbuatan ma'ruf dapat diamalkan? Berapa ramai orang yang akan menyertai jemaah di masjid hanya kerana penerjunan ini? Lalu, dari segi apa hendak ia dikatakan satu jihad?

Jihad mestilah mengundang kebaikan kepada umat Islam secara umumnya. Seperti perperangan yang akan membuat orang kafir tunduk kepada Islam. Juga seperti menuntut ilmu. Tidak kiralah ilmu dunia atau ilmu agama asalkan
dengan ilmu itu, kemaslahatan masyarakat sejagat terpelihara contohnya seperti menjadi doktor atau mekanik. Di sini, barulah boleh dilihat kemuliaan satu-satu perbuatan.

Saya betul-betul kecewa dengan kenyataan tersebut. Sesungguhnya Islam telah direndahkan martabatnya oleh sesetengah orang yang berkepentingan duniawi walaupun berpengetahuan mengenai Islam. Mujurlah saya kenal Pirdaus. Seorang yang sanggup melepaskan jawatan imamnya kerana yakin dapat menewaskan Datin Seri Dr. Wan Azizah di parlimen Permatang Pauh dengan alasan kerja sebagai ahli parlimen lebih mulia dari kerja sebagai imam…

Hairan juga. Dahulu ada segerombolan anak muda dari negara kita yang berusaha memasuki Iraq dan Palestin untuk menyertai mujahid di sana menentang keganasan tentera Amerika dan Zionis tetapi telah dihalang oleh parti pemerintah dengan alasan, ianya bukan satu jihad dan masuk ke negara yang sedang kucar-kacir akibat perperangan adalah membunuh diri. Rupanya, takrifan mereka mengenai jihad adalah berbeza.

Mereka juga mengatakan pengebom berani mati yang mengebom sebuah disko di Bali sebagai pengganas kerana membunuh nyawa yang tidak berdosa (Hm… Minum arak, bergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram masih tidak berdosa rupanya) dan membunuh diri rupanya kerana mereka menganggap jihad adalah membuat apa sahaja perkara yang telah dilakukan oleh orang kafir sebelum ini. Patutlah…

Saya sendiri tidak menyokong tindakan pengebom berani mati kerana bagi saya kudrat si pengebom masih boleh digunakan untuk tugas mulia yang lain. Tetapi untuk mengatakan mereka sebagai pengganas dan membunuh diri, bukan saya orangnya. Apatah lagi untuk mengangkat kerja yang tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat ini sebagai jihad… Er… Berapa ramai memeluk Islam selepas pelayaran Datuk Azhar Mansur dahulu ya???

P/S: Maaf jika ada yang terasa. Saya kira Malaysia sebuah negara Demokrasi…
Bukan?

Ditulis oleh Abu Naqibah

Ulasan

Catatan Popular