Apakah Najib Menghitung Hari?



Oleh: Raja Petra Kamarudin - Malaysia Today

Ada satu bidalan Bahasa Inggeris di Malaysia yang bermaksud wang menguasai segala-galanya. Ataupun’ money controls all’ ataupun ‘MCA’. Tidaklah menghairankan kalau parti MCA disebut sebagai parti masyarakat tauke. Sesungguhnya MCA adalah mengenai perniagaan yang besar-besar. Apapun jadinya, MCA ternyata merupakan anjing suruhan kepada UMNO, abang tua dalam gagasan Barisan Nasional. Ada semacam satu undang-undang yang tidak bertulis betapa kaum Cina menguasai duit sedangkan orang Melayu (UMNO) menguasai politik negara ini. Namun demikian, apabila anda sudah menjadi kaya-raya, tentu ada kepinginkan sedikit kuasa politik ataupun sebaliknya, dan apabila


Itulah salah satu sebab kenapa saya tidak berminat berpolitik, tarikan untuk menjadi kaya adalah terlalu perkasa dan dalam politik anda mempunyai ruang untuk merangkul kuasa dan mudah dipaut oleh nafsu. Kini, saya hanya mengimpikan kekayaan itu, tetapi saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menjadi demikian. Sebab kedua saya mengetepikan politik ialah kerana orang politik tidak boleh cakap apa yang dimaksudkannya dan tidak penuhi apa yang dicakapkannya. Seseorang politikus perlu menjadi seorang hipokrit dan saya lebih rela bercakap secara bebas dan tanpa takut-takut. Alasan yang ketiga semestinya disebabkan semua laluan ke Putrajaya hanya boleh diterokai melalui UMNO, Untuk berlenggang melalui anjung kuasa, seseorang mesti berjalan dahulu melalui dewan UMNO dan ini memang tidak menarik minat saya.

Kalau orang politik UMNO tidak mempunyai simpanan wang seperti yang diperolehi oleh orang Cina, ini tidak bermakna mereka tidak mempunyai ruang untuk mendapatkan wang. Memang, orang Cina tahu buat duit, cara lama, melalui kerja kuat dan dengan berniaga, tetapi orang Politik UMNO boleh membuat duit dengan cara menggunakan ataupun lebih tepat lagi menyalahgunakan kuasa dan kekuasaan yang ada di tangan mereka. Apabila seseorang itu melalui anjung kuasa adalah amat mudah membalun harta negara seolah-olah itu harta bapak mereka. Memang inilah yang mereka lakukan tanpa segan-silu semahu nafsu.

Pada bulan September tahun lalu, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah membelanjakan RM600 juta wang negara untuk memfaraidkannya kepada 191 cawangan UMNO. Setiap cawangan menerima sekitar RM3 juta yang kemudiannya diagihkan kepada segelintir ahli jawatankuasa UMNO yang terpilih kerana sokongan mereka itu yang amat ditagih. Pemberian itu dimasukkan dalam perkiraan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMNK9) sedangkan Parlimen mahupun Kabinet tidakpun memberikan kelulusan kepada perbelanjaan itu. Sesungguhnya gelagat demikian amat menekan dan memeranjatkan semua pihak. Tentu anda terfikir betapa marahnya rakyat Malaysia dengan salahguna kuasa itu dan yang menghairankan kita ialah hampir semua rakyat berdiam diri dan menelan air liur sahaja.

Timbalan Perdana Menteri Abdul Najib Tun Razak sedar betapa kisah ini tidak serasi pada dirinya. Siapa sahaja yang menguasai 191 cawangan UMNO sudah tentu akhirnya menguasai seluruh negara ini. Sesungguhnya ketua 191 cawangan UMNO yang menentukan siapa nanti yang akan menjadi Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Sudah menjadi adat di negara ini apabila Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri., walaupun tidak ada undang-undang yang berkata demikian. Satu pergerakan anti-Najib yang dikenali sebagai Gerakan Anti-Najib (GAN) telah ditubuhkan pada tahun lalu untuk menentukan segala paku terakhir dapat dipasak dalam keranda yang disediakan untuk Najib.

Pada tahap awalnya Najib ketawa dan perlekeh keseluruhan agenda itu dan menganggapnya sebagai cakap kosong untuk mencetuskan perbalahan antara beliau dan bosnya. Bagi beliau orang yang dimaksudkan ‘bos’ itu tentulah Perdana Menteri. Akan tetapi Perdana Menteri tidak pula menganggap dirinya sebagai bos kepada Najib. Bagi Abdullah Ahmad Badawi, bos kepada Najib ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Inilah orangnya yang bertegas supaya Najib dilantik menjadi orang nombor dua terkuat di negara ini. Kalau kuasa pilihan terserah kepada Abdullah sudah pasti dia memilih Muhiyuddin Yassin yang sudah tentu pada hari ini merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Akhirnya Najib sedar juga akan konspirasi mahu menggulingkannya. Dia sudah sedar kini betapa dia sudah kehilangan sokongan mahagurunya - Mahathir. Seperti yang Mahathir katakan, adalah amat sukar untuk Najib menepis segala tohmahan yang melibatkannya dengan kemelut pembunuhan wanita Mongolia. Sama ada dia terlibat ataupun tidak adalah satu perkara lain pula. Mungkin juga Peguam Negara telah terlalu celupar dengan pengumuman terbuka di tahap awal perbicaraan kes itu dengan menyebut hanya tiga orang yang terlibat dan tidak ada pernglibatan malaun lain dalam kes itu. Hakikat dia perlu mengumumkan perkara itu demikian rupa adalah satu gambaran betapa banyak udang yang tersorok di sebalik batu. Apa sebenarnya tujuan beliau membuat pengumuman tidak ada pihak lain yang terlibat selain yang tertuduh? Pengumuman semacam itu membuatkan andaian betapa ada pihak lain yang terlibat menjadi semakin kencang dan merebak dengan pantas.

Sesungguhnya bukan apa yang dimaksudkan oleh Peguam Negara yang penting sangat. Malahan tidak juga kemungkinan apa yang akan terbongkar dalam perbicaraan itu nanti. Politik adalah melibatkan persepsi dan apa yang menjadi persepsi orang yang dianggap penting. Ada orang yang membuat andaian bahawa Najib berserta ataupun isterinya dan terlibat dalam perkara itu. Persepsi ini memanglah tidak adil, tetapi politik bukannya menjurus sangat kepada kesaksamaan. Politik adalah mengenai persepsi dan persepsi itu selalunya memang tidak adil langsung.

Pada mulanya Najib beranggapan dia hanya perlu diam membisu dan menunjukkan sokongan padunya terhadap Perdana Menteri kerana dia fikir ini adalah satu langkah yang paling selamat. Ketika berlaku kemelut Mahathir– Abdullah, Najib telah bertindak memberikan sokongannya kepada Perdana Menteri dengan harapan itu adalah satu isyarat yang jelas mengenai taat dan setianya. Akan tetapi langkah demikian bukannya dihiraukan langsung. Dia tidak berjaya meyakinkan Abdullah Badawi akan kesetiaan itu, sedangkan pada waktu yang sama dia kehilangan sokongan Mahathir yang kini nampak jelas betapa kesilapan besarnya yang kedua ialah memaksa Abdullah melantik Najib sebagai Timbalannya.

Bekas Bendahari UMNO merangkap Menteri Kewangan Daim Zainuddin telah bertemu Perdana Menteri baru-baru ini setelah menerima pelawaan berbuat demikian. Apa yang diberitahu oleh Abdullah kepada Daim bolehlah ditafsirkan sebagai bermulanya pusingan terakhir untuk Najib. Daim adalah orang yang suka bercakap terus terang dan telah bertanya Abdullah dengan jelas kenapa dia mempercepatkan perbicaraan Razak Baginda setahun lebih awal daripada jadual perbicaraannya. Abdullah Badawi menjawab bahawa itu bukan urusan yang dilakukannya tetapi itu adalah kerja seseorang di pejabatnya. “Seseorang’ yang dimaksudkannya itu hanya boleh merupakan anak menantunya Khairy Jamaluddin.

Abdullah Badawi menjelaskan dengan lantang kepada Daim betapa dia lebih serasi dengan Muhiyuddin daripada Najib. Dia dapat bekerjasama lebih selesa dengan Muhiyuddin. Rumah Muhiyuddin yang dahulunya sentiasa lengang kini kerap dikunjungi ramai manusia kerana orang UMNO sudah mula sedar bahawa inilah insan yang bakal menggantikan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mereka mahu menonjolkan muka tarpal sebagai golongan yang mula-mula memberikan semangat pada beliau walaupun dia belum lagi mendapat jawatan itu. Demikianlah budaya UMNO di mana hanya yang menang dianggap penting dan yang kalah disisihkan seolah-olah dia sudah terkena penyakit kusta.

Perbicaraan pembunuhan yang membabitkan Razak Baginda memang tidak memberi keselesaan kepada Najib. Bahan bukti bahawa Najib pernah mengeluarkan sepucuk surat kepada Jabatan Imigeresen agar mengizinkan visa kepada si mati sudah berada dalam tangan pihak yang mahu melihat Najib mengambil persaraan awal. Bukti betapa Najib, Razak dan si mati pernah membuat lawatan luar negara bersama-sama memang berada di tangan pihak yang sama. Bahan bukti itu memang boleh diperkecilkan seandainya Najib membuat pengakuan sukarela untuk berundur daripada politik. Namun, kalau dia masih berdegil, bahan bukti itu boleh dikemukakan di mahkamah dan Najib menghadapi risiko yang lebih besar daripada kehilangan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Satu perkara yang akan menjadi begitu paling sukar untuk menjelaskan ialah pertemuan antara Ketua Inspektor dan Razak Baginda yang kini menghadapi tuduhan membunuh di pejabat Najib di mana si Ketua Inspektor telah membuat pengakuan yang dia pernah membunuh enam orang sebelum itu. Di sebalik pengakuan itu dia masih bersedia membunuh Razak Baginda menyelesaikan masalahnya dengan wanita Mongolia itu. Kisah ini termasuk kisah lawatan luar negara yang dibuat bersama Najib dan Razak serta surat Najib kepada Jabatan Imigeresen . menunjukkan wujudnya konspirasi di peringkat paling tertinggi dan seandainya semua itu masih tidak mencukupi untuk mengheret Najib dalam pembabitan pembunuhan, ia sudah tentu memadai meyakinkan negara ini betapa dia tidak seharusnya kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri. Seandainya Abdullah Badawi menyingkirkan Najib hanya kerana dia lebih selesa dengan Muhiyuddin, sudah tentu ini akan mencetuskan satu krisis dalam UMNO. Akan tetapi usaha beliau menyingkirkan Najib berasaskan bahan bukti ini sudah tentu Abdullah dilihat sebagai melaksanakan sesuatu yang tepat.

Kini Najib perlu bertindak. Beliau tidak lagi mempunyai pilihan lain dalam perkara ini. Satu ketika dahulu dia beranggapan tidak perlu berbuat sesuatu selain berlagak yang dia setia di belakang Perdana Menteri. Pertukaran hakim dan tarikh perbicaraan Razak Baginda adalah sesuatu yang sungguh mendebarkan dengan andaian bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Jelas ini bukan isu pentadbiran mahkamah yang biasa. Sudah ada kuasa ghaib yang memainkan peranan di sebalik tabir menggoyahkan kedudukan Najib agar kecundang. Seandainya nama Najib di sebut dalam perbicaraan itu dan isteri beliau disapina untuk memberi keterangan pada perbicaraan nanti sudah tentu ini akan mencetuskan petaka yang akan menggugat kedudukan Najib. Apa yang mereka perlu laksanakan ialah mengulangi semula peristiwa ‘2 September 1998’ ke atas Najib dan dia akan menjadi bahan sejarah seperti yang pernah terjadi kepada Anwar Ibrahim hampir satu dekad yang lalu.

Untuk menentukan pertahanannya diperkasakan, Najib kini membawa bersamanya beberapa ketua cawangan UMNO menyertai rombongannya ke luar negara. Di tidak boleh menyogok ketua cawangan itu secara peribadi daripada sakunya walaupun dia memang mampu berbuat demikian, kerana dia berkemungkinan dituduh menggunakan politik wang dan boleh dipecat ataupun digantung daripada Parti. Jadi, dia membawa mereka menyertai lawatan keluar negara sebagai anggota rombongan dengan biayaan kerajaan.

Mahathir tidak fikir Najib akan berjaya mempertahankan dirinya. Anda sendiri dapat melihat betapa Mahathir sendiri sudah melembutkan kritikan beliau terhadap Abdullah Badawi kononnya disebabkan keadaannya yang kurang sihat dan para doktor sudah memberi nasihat agar Mahathir sentiasa tenang sebagai menjaga jantungnya yang perlu banyak rehat. Gelagat itu berubah kerana timbul kesedaran bahawa bukannya Abdullah yang semakin ketara akan berundur tetapi Najib. Akan tetapi Najib tidak akan menerima nasib begini dengan mudah tanpa bertarung. Dia akan bertarung mati-matian untuk mengekalkan kedudukannya. Dia mungkin boleh mencuba, seperti Anwar Ibrahim satu ketika yang mencubanya juga. Hakikatnya, dalam politik Malaysia apa yang diingini oleh Perdana Menteri, dia pasti mendapatnya.

Ulasan

Catatan Popular