Ustaz Halim tegaskan tidak pernah bincang kerajaan perpaduan


KUALA LUMPUR, 17 Jun : - Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini menegaskan persoalan kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama sebelum ini.

Ketika menjawab soalan dari ahli Parlimen BN Putatan, Marcus Mojinggoh di Dewan Rakyat, Ustaz Halim (PAS Pengkalan Chepa) menyatakan, adapun kenyataan balas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah kenyataan peribadi dan bukan mewakili parti.

Untuk makluman, Ustaz Halim berbahas hari ini dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pindaan 2009.Isu kerajaan perpaduan dijawab selepas memberi respon kepada Marcus yang bertanyakan isu tersebut dalam perbahasan semalam.

Beliau merujuk pertanyaan beberapa ahli Parlimen BN yang mahu penjelasan mengenai kenyataan Ustaz Nasharudin yang dilaporkan berkata beliau positif ke atas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai isu kerajaan perpaduan.

Kenyataan Ustaz Halim kemudian disambut oleh beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat, antaranya Lim Kit Siang (DAP Ipoh Timur) yang menyifatkan kenyataan Najib adalah hanya untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat sahaja.

Kit Siang seterusnya menyatakan, kenyataan Najib itu sebenarnya tidak terkesan kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya umpan sahaja.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, dilaporkan menyambut baik kesediaan Najib mengadakan perbincangan mengenai isu kerajaan perpaduan.

Katanya, merupakan reaksi serius pertama dari perdana menteri terhadap cadangan kerajaan perpaduan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat bercakap bagi pihak PAS tetapi perlu membawa perkara itu kepada presiden dan pihak parti.

Namun begitu, katanya, PAS terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak.

Terdahulu, Najib Razak berkata beliau melihat PAS ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disuarakan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perdana Menteri berkata beliau tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk negara.

"Umno sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS," katanya selepas merasmikan Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Negara-negara Komanwel ke-17 di ibu negara semalam.

Ditanya sama ada beliau yakin dengan cadangan itu, Najib berkata ini adalah satu titik permulaan tetapi beliau perlu juga melihat terlebih dahulu bentuk kerjasama yang sesuai antara kedua-dua parti itu.

Harakahdaily.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular