POLIS ARAH PINDAH HKR 12 KE BUKIT JALIL

Perhimpunan besar-besaran Himpunan Kebangkitan Rakyat akan diteruskan seperti dirancang di Stadium Merdeka esok, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu  mengesahkan, memberitahu bahawa polis secara tidak rasmi meminta agar mereka memindahkan acara itu ke Stadium Bukit Jalil.

Beliau memberitahu, satu perjanjian dengan polis telah dicapai dan juga dimeterai, dengan kedua-dua pihak bersetuju dengan tempat acara dan keadaan keselamatan tertentu yang dikenakan terhadap penganjur perhimpunan.

“Tiada arahan polis dikeluarkan menyuruh kami berpindah. Saya sudah bercakap dengan OCPD (ketua polis daerah) Dang Wangi dan ia adalah perbincangan yang baik, dan semuanya teratur,” tegas beliau apabila dihubungi melalui telefon.

“Perhimpunan kita akan diadakan di Stadium Merdeka,” katanya malam tadi.

Beliau merespon kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh yang menyarankan malam tadi supaya penganjur perhimpunan menggunakan Stadium Nasional di Bukit Jalil sebagai tempat berhimpun kerana ia lebih sesuai dan mampu menampung kapasiti lebih besar berbanding Stadium Merdeka.

“Dengan melihat matlamat penganjur perhimpunan untuk mengumpulkan satu juta peserta, adalah logik untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata pegawai polis itu dalam satu kenyataan.

Tetapi Mat Sabu menegaskan ini adalah bukan lagi satu isu, menyatakan berulang kali perjanjian yang ditandatangani antara penganjur perhimpunan dan polis sebelum itu.

Beliau mengakui bahawa jemputan ke Bukit Jalil ada disebut, tetapi berkata pemilik Stadium Merdeka yang ikonik sudah memberi lampu hijau kepada penganjur bagi menggunakan tempat tersebut untuk perhimpunan esok.

Apabila ditanya tentang rancangan penganjur jika polis bertegas dengan pertukaran tempat, pemimpin PAS tersebut mengingatkan lagi perjanjian yang ditandatangani dengan polis itu.
“Tetapi jangan bimbang, tidak akan ada masalah,” beliau memberi jaminan. “Perhimpunan akan berjalan dengan aman, detik bersejarah bagi Malaysia.”

Ulasan

Catatan Popular