12 JAN : ABG MAT TUNDUK KEPADA SARANAN NAJIB

PETALING JAYA, 2 Jan — Seketariat Himpunan Kebangkitan Rakyat mengharapkan Najib Razak untuk memberikan kebenaran kepada kumpulan itu mengadakan perhimpunan 12 Januari ini di Stadium Merdeka.

“Kami memilih Stadium Merdeka seperti mana saranan Datuk Seri Najib ketika perhimpunan Bersih 3.0 yang mahukan perhimpunan dilakukan di stadium,” kata Pengarah Seketariat Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu (gambar).

“Pihak stadium bagaimanapun masih belum memberikan jawapan walaupun kami telah memberikan surat permohonan pada 26 Disember.”

Jelas beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pihaknya tidak menyediakan sebarang rancangan alternatif untuk menukar lokasi perhimpunan itu sekiranya pihak Stadium Merdeka tidak memberikan kebenaran kepada mereka.

“Sekarang ini hanya Stadium Merdeka, tiada pelan alternatif,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini.

Timbalan Presiden PAS itu turut mengumumkan di akhir perhimpunan tersebut, pihaknya akan melancarkan “Deklarasi Rakyat 12 Januari” yang akan dibaca ketika perhimpunan tersebut dijalankan.

“Ia bukan mengenai rejim ini ... ia berkaitan dengan kerajaan baru,” katanya selepas sidang media itu kepada pemberita, apabila ditanya intipati deklarasi tersebut.

Jelasnya, kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) dijangka akan menemui Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk mendapatkan bantuan mereka untuk memastikan perhimpunan itu berjalan dengan aman.

“Sementara seketariat himpunan akan berjumpa Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Mohamad Salleh)untuk tujuan sama,” kata Mat Sabu.

Malah, Mat Sabu turut menjanjikan perhimpunan pada hari itu akan berlangsung dengan aman, serta akan turut melibatkan perhimpunan sama di luar negara seperti di Australia, Mesir, termasuk Dubai.
“Himpunan sama akan turut berlangsung di luar negara,” tambah Mat Sabu.

Ulasan

Catatan Popular