HUDUD BUKAN PAKSAAN BUKAN ISLAM... WAJIB ATAS ISLAM

Pelaksanaan hukum hudud adalah hak orang Islam dan PAS tidak memaksa golongan bukan Islam menerima hukum itu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi ketika sidang media sejurus tamat Muktamar Tahunan PAS ke-58 di Pusat Tarbiah Islamyiah Kelantan (Putik) hari ini bagaimanapun menegaskan PAS akan melaksanakan hudud melalui proses demokrasi.

"Hudud hak kita ... dan kita tidak paksa orang bukan Islam, dan kita akan melaksanakan melalui proses demokrasi.

"Hak bukan Islam diizinkan untuk agama mereka ... contohnya  arak, itu diizinkan agama dia ... walaupun Islam mengharamkan, tetapi itu hak dia," katanya kepada pemberita.
Mengambil contoh penjualan arak kepada bukan Islam di Kelantan, Abdul Hadi (gambar) menjelaskan itu adalah salah satu perkara di dalam hudud.

"Di Kelantan kita benarkan jual arak kepada bukan Islam ... itu adalah hudud, tetapi bukan untuk Islam," katanya lagi.

Memetik laporan Bernama sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu PAS memperjelaskan tafsiran mereka mengenai pelaksanaan hukum hudud.

Beliau berkata pelaksanaannya harus berlandaskan keadilan sepertimana yang terkandung dalam ajaran Islam.

Dr Mahathir berkata parti itu seharusnya melaksanakan hukum yang dapat diterima pakai oleh semua golongan termasuk bukan Islam sesuai dengan kedudukan negara ini yang mempunyai penduduk berbilang agama.

"Saya hendak tahu hudud yang dikenakan oleh orang Islam dan bukan Islam itu sebagai adil seperti yang dikehendaki oleh agama Islam.
"Terdapat 43 ayat dalam Al-Quran iaitu kalau mahu hukum, hukumlah dengan adil dan tidak adil itu bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.  

"Hukum orang Islam potong tangan manakala bukan Islam dikenakan penjara dua bulan akibat kesalahan mencuri.

"Itu dilihat tidak adil dan bertentangan dengan agama Islam," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu semalam.

Mengulas berkenaan perkara itu, Ahli Parlimen Marang itu dalam nada sinis berkata perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu tidak memahami maksud hudud.

"Dia (Dr Mahathir) bukan tahu ... dia cakap pasal perubatan sahaja lah," katanya lagi.

Pemimpin PAS yang dicadangkan untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara selepas pilihan raya umum ke-13 dalam muktamar hari ini turut berkata, pihaknya telah menjalankan kaji selidik berhubung pelaksanaan hudud dan peratusan kumpulan bukan Muslim menerima hudud adalah tinggi.

"Kita telah buat kaji selidik ... peratus besar bukan Islam sokong kerana undang-undang sedia ada gagal tangani jenayah," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS atuk Mustafa Ali turut mempertahankan rakan parti komponen dari DAP, Karpal Singh yang menolak pelaksanaan hudud dengan menegaskan, pengerusi DAP itu tidak menolak Islam, sebaliknya itu adalah pendapat beliau.

"DAP bukan tolak Islam, itu dia beri pandangan, kalau tidak dah lama mereka masuk Islam.

"DAP dan PKR sudah menerima negara Islam dan Hudud sudah selesai, kita bersetuju untuk tidak bersetuju," katanya.

Abdul Hadi turut menerangkan, kerjasama Umno dan MCA adalah menggadai prinsip, sehingga menimbulkan kefahaman judi apabila mempunyai lesen sebagai halal, dan tiada lesen haram.
"Kita benarkan orang bukan Islam buka kedai arak, apa yang dibenarkan untuk dia, hanya untuk dia sahaja," katanya lagi.

Ulasan

Catatan Popular