TAZKIRAH RAMADHAN 30 SAAT

Oleh : Nik Abduh Nik Abdul Aziz

Ibadah puasa difardhukan oleh Allah dengan matlamat yang cukup penting bagi setiap insan yang beriman kepada Allah iaitu untuk memperoleh taqwa.

Taqwa adalah sifat hati yang dengannya, seseorang mukmin memiliki pengenalan, kemampuan dan kekuatan untuk mengelak diri daripada terperangkap dengan godaan dunia yang melalaikan. Dengan sifat tersebut, ia mampu membezakan baik daripada buruk dan berupaya menjauhi perkara yang haram dan melalaikan.
Bagaimana ibadah puasa membibitkan dan mencetuskan sifat taqwa? Mari perhatikan keadaan berikut yang akan membantu orang yang berpuasa;

1) Orang yang berpuasa sanggup meninggalkan kebiasaan hariannya seperti makan, minum, jima’ dan kalam yang melalaikan semata-mata kerana ingin bertaqarrub kepada Allah. Ini adalah dorongan ketaqwaan. Ia melakukannya kerana Allah, bukan kerana menjaga kesihatan, diet, adat dan apa-apa tujuan selain ibadah.
2) Orang yang berpuasa sentiasa melatih dirinya bermuraqabah (merasai kehadiran Allah yang melihatnya) sepanjang masa dengan mengharapkan pahala (ihtisab) daripadaNya. Sifat dan amalan muraqabah adalah jalan terdekat menghimpunkan hati yang terpecah-pecah dengan sifat taqwa.

3) Orang yang berpuasa akan menyukarkan laluan syaitan memasuki tubuhnya. Syaitan berkuasa, dengan izin Allah, menyelinap ke segenap urat anak Adam untuk meracuni dan memperdayakannya. Dengan puasa, laluan menjadi sempit dan sukar. Sementelahan, dengan syaitan iblis diikat di bulan Ramadhan yang mulia ini, pengaruh sinar akal dan ruh akan membenihkan dan mencambahkan sifat taqwa di dalam diri orang yang berpuasa.

4) Orang yang berpuasa akan terdorong untuk menambahkan amal taat yang lain. Ini berlaku disebabkan semangat yang tinggi untuk memperkasakan kesan ibadah puasanya agar diterima Allah. Ibadah taat seperti membaca al Quran, berzikir, solat yang lebih khusyu’ dan berkebajikan sesama muslim adalah antara pemangkin menuju ketaqwaan.

5) Orang yang berada dan murah rezeki, melalui ibadah puasanya, akan merasai keperitan lapar dan dahaga yang merajai kehidupan orang-orang miskin. Ia membibitkan rasa insaf dan perihatin untuk membantu setiap insan dalam kesusahan. Mencintai orang-orang miskin dan amalan kebajikan sesama makhluk Allah adalah antara sifat orang-orang yang bertaqwa.

Begitulah amalan puasa yang begitu berkesan membibitkan sifat taqwa di dalam diri kita. Justeru sayugialah, demi puasa yang dimakbul oleh Allah dan tidak tersia-sia, kita menjernihkan keikhlasan dengan putih berseri dan memalarkan amalan kita dengan kehijauan penuh berseri.
Salam menuju Lailatul Qadr..

Ulasan

Catatan Popular