MUHYIDDIN TAK SABAR GANTI NAJIB LEPAS PRU


Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) boleh diadakan tahun ini, menunjukkan bahawa timbalan perdana menteri itu “tidak sabar untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.”

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin, yang juga merupakan Timbalan Presiden Umno itu adalah jelas  “bercanggah” dengan Najib yang menurutnya mahu melengkapkan tempoh mandat lima tahun yang tamat April tahun hadapan.

“Timbalan perdana menteri mungkin ada perkiraan bahawa BN tidak akan menang dua pertiga majoriti. (Jadi) Najib mesti turun macam mana Pak Lah turun,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini melahirkan pandangannya PRU13 tidak akan diadakan tahun depan memandangkan tahun ini merupakan masa yang lebih sesuai.

“Saya tak fikir ia akan berlarut sehingga  tahun 2013, wallahua’lam. Tetapi itu terpulang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Tapi saya bagi tahu, saya kata yang paling baik adalah tahun inilah,” kata Muhyiddin dipetik Bernama Online.

Tambah pemimpin PAS itu lagi, Muhyiddin juga berkemungkinan mempunyai perkiraan Barisan Nasional (BN) tidak akan memperolehi dua pertiga majoriti seperti pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepada Najib.

“Mungkin Muhyiddin juga mengharapkan BN tidak akan menang dengan majoriti besar, dan beliau akan menjatuhkan Najib seperti mana Najib jatuhkan Pak Lah.

“Kenyataan timbalan perdana menteri itu seolah-olah mengulangi zaman peralihan kuasa Pak Lah selepas pilihan raya 2008,” katanya merujuk kepada Abdullah.

Malah, Mahfuz juga turut menegaskan, Muhyiddin seharusnya menyokong kenyataan Najib selaku Presiden Umno dan bukan mengeluarkan sebaliknya.


Ulasan

Catatan Popular