KERJA KITA SEBARKAN PADA SEMUA

Pakatan Rakyat (PR) menggesa penyokong mereka menyebarkan segala maklumat berkenaan penyelewengan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan sesuatu isu itu diterima rakyat, terutamanya mereka di kawasan luar bandar.

Pemimpin-pemimpin PR, dalam satu ceramah anjuran Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, malam tadi menegaskan, setiap maklumat berkenaan isu dan penyelewengan BN perlu disampaikan secara meluas bagi memudahkan rakyat memahami perkara tersebut.

“Saya menggesa kita tingkatkan usaha untuk menyampaikan maklumat kepada rakan-rakan kita,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di sini malam tadi.
“Ini bagi memudahkan mereka memahami sesetengah isu itu dengan jelas ... seperti mana yang kita lakukan terhadap isu NFC (Pusat Fidlot Nasional).”


Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, menegaskan, PR juga telah berjaya menarik lebih ramai sokongan belia untuk menyokong mereka melalui isu pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 
 
“Kita telah menang sokongan orang muda melalui isu pemansuhan PTPTN,” katanya di hadapan hampir 1,000 penyokong PR berbangsa Cina dalam majlis Makan Malam Mengumpul Dana Parlimen Lembah Pantai di Dewan Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan di sini.

Ketua Umum PKR itu juga turut menjelaskan, pendidikan akan menjadi kerangka utama dalam pemerintahan PR jika pakatan pembangkang itu berjaya menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Pendidikan akan menjadi kerangka utama kita. Kita mahu membentuk semangat bahawa rakyat di bawah kami akan merasai nikmat  yang sama rata tanpa melibatkan perkauman.
“Itu tanggungjawab kerajaan,” tegasnya lagi.


Ceramah bertajuk “Selamatkan Negara, Maruah, dan Kekayaan Kita” itu juga turut menampilkan wakil pemimpin PR daripada setiap parti komponen termasuk Nurul Izzah, Ahli Parlimen Puchong Gobin Singh Deo dari DAP, dan bekas Menteri Besar Perak, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, yang mewakili PAS.


Ulasan

Catatan Popular