HUJJAH MENYANGKAL SAIDINA UMAR MENANAM ANAK PEREMPUANNYA

KOMENTAR TERHADAP KISAH 'UMAR RADHIYALLAHU'ANHU MENANAM
ANAK PEREMPUAN BELIAU HIDUP-HIDUP.

Kisah ini sangat masyhur diperkatakan, sehingga ianya dijadikan sebagai modal buat para pendakwah dan golongangolongan ustaz di dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah mereka. Hal ini tidak sahaja tersebar dinegara kita, bahkan berdasarkan apa yang penulis sedia maklum, ianya turut tersebar dinegara-negara Arab.


Kemasyhuran kisah ini menyebabkan ada sesetengah pihak mengatakan ianya sebagai shahih. Pada mulanya, penulis tidak berhasrat untuk memuatkan perbahasan tersebut diruangan ini. Namun, setelah mendapat respon daripada sahabat-sahabat yang rata-ratanya menganggap shahih kisah tersebut. Kerana itu, penulis memuatkan perbahasannya disini agar tidak lagi timbul kekeliruan berkenaan kisah ini.

Penulis sendiri agak kesulitan mencari sumber kisah ini, kerana ianya tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadits atau pun sirah yang muktabar disisi Ahli al-Sunnah. Namun, di dalam sebuah tulisan hasil karya 'Abbas Mahmud al-'Uqqad yang bertajuk 'Abqariyah 'Umar pada halaman 222, menyebutkan:

وخلاصتها: أنه رضي الله عنه آان جالساً مع بعض أصحابه إذ ضحك قليلاً، ثم بكى، فسأله من حضر؟ فقال: آنا
في الجاهلية نصنع صنماً من العجوة، فنعبده، ثم نأآله، وهذا سبب ضحكي، أما بكائي، فلأنه آانت لي ابنة، فأردت وأدها،
فأخذتها معي، وحفرت لها حفرة، فصارت تنفض التراب عن لحيتي، فدفنتها حية.
"Kesimpulannya: "Bahawa 'Umar Radhiyallahu'anhu sedang duduk bersama teman-teman beliau, ketika itu beliau tertawa sedikit, kemudian beliau menangis. Lalu, teman-teman yang hadir pun bertanya (mengapa beliau sedemikian)? Lantas beliau ('Umar) menjawab: "Kita ketika masa jahiliyyah membuat sebuah berhala daripada tamar al-'Ajwah, setelah (kita membuatnya) itu, kita menyembahnya. Kemudian kita makan (Tuhan yang kita sembah itu). Kerana itulah aku tertawa, adapun berkenaan tangisanku, ianya adalah kerana aku pernah mempunyai seorang anak perempuan, lalu aku ingin menanamnya hidup-hidup. Maka aku bawa dia bersamaku, kemudian aku gali untuknya satu lubang. Setelah itu, dia menhilangkan (menyapu) tanah daripada janggutku, kemudian aku menanamnya dalam keadaan hidup-hidup."[1]

Dengan lafaz inilah yang pernah disebutkan oleh seorang ustaz penulis sewaktu penulis di peringkat pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Masih jelas lagi dalam gambaran penulis berkenaan kisah ini yang pernah diceritakan dahulu.

Berkemungkinan ianya adalah dipetik daripada kitab yang telah penulis sebutkan. Bahkan turut ditokok tambah bahawa amalan menanam bayi perempuan hidup-hidup adalah amalan yang menjadi adat masyarakat 'Arab semasa Jahiliyah. Para pengkaji telah merumuskan bahawa kisah ini adalah tidak berdasarkan sumber yang shahih, kerana terdapat beberapa kecacatan pada kisah ini.

Pertama: Seperti yang sedia maklum bahawa 'Umar Radhiyallahu'anhu mempunya anak perempuan sulung yang bernama Hafshah. Melalui Hafshahlah beliau digelarkan sebagai Abu Hafsh. Jika kita menerima bahawa 'Umar yang mengikuti amalan tradisi masyarakat Jahiliyah dengan menanam anak perempuan, maka mengapa pula Hafshah tidak menjadi mangsa?

Bahkan, jika diselidiki, sekian ramai sahabiyah (sahabat Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang terdiri daripada kaum perempuan) yang hidup semenjak zaman Jahiliyah sehinggalah era kemunculan Islam. Jika amalan tersebut menjadi adat golongan Jahiliyah, pasti tidak berbekal lagi anak-anak perempuan yang tinggal.

Kedua: Amalan menanam bayi perempuan secara hidup-hidup juga bukanlah daripada adat Bani 'Adi iaitu kaum dimana 'Umar dinisbahkan. Buktinya dapat dilihat dengan jelas bahawa saudara perempuan 'Umar sendiri, iaitu Fathimah. Fathimah masih hidup dan telah berkahwin dengan Sa'id bin Zaid, sepupu 'Umar al-Khaththab Radhiyallahu'anhu. Jika amalan tersebut adalah amalan golongan Bani 'Adi, pasti Fathimah turut tidak terlepas daripada tertimpa adat yang zhalim tersebut. Ini menunjukkan mereka tidaklah melaksanakan adat sebegitu rupa.

Ketiga: Kisah ini tidak mempunyai sumbernya daripada mana-mana kitab hadits, sirah, mahupun sejarah Islam yang boleh dipegangi. Bahkan, al-'Uqqad di dalam kitab beliau 'Abqariyyah 'Umar sendiri tidak menyebutkan daripada manakah kisah ini diambil. Sebahagian pengkaji yang penulis temui menyatakan bahawa kisah ini adalah rekaan dan tipu daya yang diadaadakan oleh golongan Syiah al-Rafidhah yang sememangnya menyimpang dendam kesumat dan kebencian yang membara terhadap sebahagian besar para sahabat Radhiyallahu'anhum Ajma'iin, lebih-lebih lagi terhadap al-Syaikhain atau al- 'Umarain[2].

Keempat: al-Dokter 'Abd al-Salam bin Muhsin Ali 'Isa di dalam kita beliau, Dirasah Naqdiyyah fi al-Marwiyyat al- Waridah fi Syakhsiyyah 'Umar bin al-Khaththab Radhiyallahu'anhu berkata:
ولم أجد من روى ذلك عن عمر فيما اطلعت عليه من المصادر ولكني وجدت الأستاذ عباس محمود العقاد أشار
إليها في آتابه عبقرية عمر.
"Dan aku tidak dapati siapakah yang meriwayatkan (kisah) demikian daripada 'Umar sejauh yang telah aku selidiki berkenaannya daripada sumber-sumber rujukan. Akan tetapi aku telah dapati al-Ustaz 'Abbas Mahmud al-'Uqqad telah mengisyaratkan berkenaan kisah tersebut di dalam kitab beliau, 'Abqariyah 'Umar."[3]

Bagaimanakah kisah dan riwayat yang tidak mempunyai sumber rujukan serta tidak mempunyai rangkaian sanad boleh dianggap sebagai shahih?

Kelima: Terdapat riwayat yang shahih yang menunjukkan isyarat bahawa amalan menanam bayi perempuan hidup-hidup tidak dilakukan oleh 'Umar Radhiyallahu'anhu.

Riwayat tersebut telah diriwayatkan oleh al-Nu'man bin Basyir Radhiyallahu'anhu, katanya:
عن عمر بن الخطاب في قوله تعالى: (وإذا الموؤدة سئلت )، قال: جاء قيس بن عاصم إلى رسول الله - صلى الله
عليه وسلم -، فقال: يا رسول الله! إني وأدت ثماني بنات لي في الجاهلية؟ فقال: أعتق عن آل واحدة منهن رقبة، قال:
إني صاحب إبل؟ قال: فانحر (وفي رواية: فاهد إن شئت) عن آل واحدة بدنة.
"Daripada 'Umar bin al-Khaththab Radhiyallahu'anhu berhubung firman Allah Ta'ala (yang bermaksud): "Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya." [4] Beliau ('Umar) berkata: Qais bin 'Ashim telah datang menemui Rasulullah SAW, lalu beliau pun bertanya: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah menanam secara hidup-hidup lapan anak perempuanku semasa zaman Jahiliyyah?" Lalu Baginda SAW pun berkata: "Bebaskanlah setiap seorang daripada mereka seorang hamba." Beliau berkata: "Sesungguhnya aku adalah pemilik unta?" Baginda bersanda: "Maka, (jika begitu) sembelihlah (dalam sesetengah riwayat menyebutkan: "Maka hadiahkanlah sekiranya kamu mahu") bagi setiap seorang dengan seekor unta." Riwayat ini telah pun dikeluarkan oleh al-Bazzar, al-Thabarani, al-Baihaqi, Ibn Katsir di dalam Tafsir beliau dan lainlain. Al-Syaikh Nashr al-Din al-Albani menilai hadits ini sebagai shahih seperti yang beliau sebutkan di dalam Silsilah al- Shahihah [5].

Apa yang dapat difahami daripada hadits ini adalah, ianya menjadi isyarat bahawa perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh 'Umar Radhiyallahu'anhu, kerana 'Umar meriwayatkan hadits ini yang berhubung dengan kaffarah bagi sesiapa yang telah melakukan perbuatan menanam bayi perempuan hidup-hidup pada zaman Jahiliyah. Mengapa 'Umar tidak pula menyebutkan bahawa perbuatan tersebut dilakukannya oleh beliau sendiri, sebaliknya beliau meriwayatkannya daripada Qais bin 'Ashim. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak melakukan perbuatan tersebut. Wallahua'lam.

(sumber : Himpunan Sirah-sirah Yang Tidak Shahih, Ibnu al-Razi al-Thantawi, Penerbit Jahabersa)

Ulasan

  1. Sedikit tambahan,apa yang pernah aku dengar dari seorang ustaz,memang umar ada mempunyai seorang anak perempuan,tapi untuk ia amat sayang terhadap anaknya,lalu ia memekaikan pakaian anak lelaki bagi menggelakkan dari di ketahui oleh sahabatnya yg dia ada mempunyai anak perempuan.Namun pada suatu hari ketika ia pulang kerumah bersama sahabat anaknya meluru keluar(kerana gembira menyambut kepulangan bapa) tanpa pakaian,alangkah malunya umar ketika itu,oleh kerana malu pada sahabat dengan hati yang berat ia terpaksa juga menanam anaknya,Wallah huaklam....

    BalasPadam
  2. tak pernah dgr pulak kisah tue...

    BalasPadam
  3. bukan ke hadith ini sudah ditegur oleh maulana di seri petaling .

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular